Pengasuhan Positif

Bayi Pramatang – Kebimbangan Utama

Bayi pramatang adalah bayi yang dilahirkan sebelum minggu ke-37 kehamilan (kehamilan normal mengambil masa sekitar 40 minggu). Oleh kerana dilahirkan sebelum mereka sempat matang secukupnya, bayi pramatang kurang bersedia untuk kehidupan di luar rahim ibu. Ini biasanya bermakna mereka akan menghadapi cabaran-cabaran yang boleh mengancam nyawa mereka. Punca bagi sesetengah kes kelahiran pramatang masih kurang difahami.

Faktor risiko kelahiran pramatang yang telah dikenal pasti termasuk, darah tinggi, diabetes, pendarahan disebabkan kedudukan uri tidak normal, jangkitan kuman, kehamilan kembar dan umur ibu yang berusia di bawah 19 atau melebihi 40 tahun.

Tahukah anda?

Usaha mencegah kelahiran pramatang merupakan satu cabaran yang sukar memandangkan punca kelahiran pramatang adalah banyak dan kompleks, serta kurang difahami. Namun, wanita hamil boleh mengambil langkahlangkah penting untuk mengurangkan risiko kelahiran pramatang dan memperbaiki kesihatan am mereka. Langkah-langkah tersebut termasuk mengelak daripada merokok, mengambil alkohol dan dadah, penjagaan antenatal yang tetap dan mendapatkan rawatan perubatan bagi tanda-tanda awal kelahiran.

Keperluan penjagaan khas

Mereka lebih ‘lemah’ berbanding bayi cukup bulan kerana kebanyakan organ dalaman mereka masih belum bersedia untuk berfungsi dengan sendiri. Amnya, lebih pramatang seseorang bayi, lebih tinggi risikonya untuk menghadapi komplikasi.

Setelah dilahirkan, mereka akan ditempatkan di Special Care Nursery (SCN) atau jika keadaan mereka lebih teruk, di unit rawatan intensif (NICU). NICU direka bentuk khas untuk memberi persekitaran yang lebih selesa serta selamat disamping menyediakan keperluan asas seperti memastikan suhu tubuh yang normal, pemakanan, dan perlindungan bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangannya.

Di antara komplikasi awal yang boleh berlaku termasuk:

  • Sukar mengawal suhu tubuh mereka sendiri – disebabkan saiz mereka yang kecil dan kekurangan glikogen/lemak tubuh, kebanyakan mereka mengalami hipotermia (suhu tubuh kurang daripada 36°C).
  • Jangkitan – sistem pertahanan mereka yang belum cukup matang dan paras immunoglobulin rendah bermakna mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti bakteria /virus di persekitaran mereka.
  • Sistem saraf belum cukup matang – boleh mengakibatkan peningkatan kadar apnea (keadaan pernafasan yang terhenti seketika) dan nadi perlahan (bradikardia). Kemungkinan berlakunya pendarahan di ventrikal di dalam otak juga meningkat. Amnya, mereka kurang refleks menghisap dan menelan, maka terdapat keperluan untuk menyusukannya secara intravena atau melalui tiub.
  • Paru-paru kurang matang – kekurangan surfaktan membuatkan paru-parunya mudah gagal, sukar untuk bernafas dan mungkin memerlukan oksigen atau bantuan alat pernafasan.
  • Sistem kardiovaskular kurang matang – menyebabkan peningkatan insiden duktus ateriosus yang berulang, dan jika ianya cukup besar, boleh menyebabkan kegagalan jantung.
  • Sistem gastro usus kurang matang – menyebabkan insiden ileus (kurang pergerakan normal usus) yang lebih tinggi dan enterokolitis nekrosis yang memerlukan pembedahan jika keadaannya teruk.
  • Hati kurang matang – menyebabkan episod jaundis yang lebih kerap.

mom-with-baby

Masalah jangka panjang yang mungkin terjadi

Kebanyakan mereka akan membesar dan berkembang sama seperti bayi cukup bulan yang lain. Namun, terdapat beberapa komplikasi jangka panjang yang lazim berlaku, termasuk:

  • Sistem saraf pusat – sekitar 10% (terutama yang dilahirkan lebih awal daripada 28 minggu gestasi dengan berat lahir kurang daripada 1000 gram) akan mengalami komplikasi seperti palsi serebral, kurang keupayaan mental, epilepsi, atau hidrosefalus akibat perdarahan otak yang dialaminya.
  • Pertumbuhan – segelintir akan mengalami kegagalan tumbesaran, mengidap riket, dan anemia.
  • Sistem kardiovaskular – Komplikasi duktus ateriosus yang persisten sehingga menyebabkan masalah pernafasan dan jantung mungkin perlu dirawat melalui pembedahan.
  • Masalah iatrogenik – pendedahan kepada berlebihan oksigen boleh mengakibatkan penyakit mata, retinopati pramatang (ROP) atau penyakit paru-paru kronik (CLD). Mereka yang memerlukan tiub endotrakea untuk membantunya bernafas juga boleh menghidapi stenos subglotik (pengecutan saluran pernafasan sebelah atas).
  • Masalah psikososial – hubungan di antara ibu dan anak renggang disebabkan keperluan untuk memisahkan daripada ibu bapanya ketika di rawat di NICU. Ini mungkin akan mengakibatkan ibu bapa tidak menyayangi, mengabaikan, dan juga mendera bayi mereka. Mereka juga merupakan kumpulan berisiko tinggi bagi sindrom bayi mati mengejut (SIDS).

Menyediakan diri anda

Dalam penjagaan bayi pramatang, anda perlu bekerja rapat dengan dengan pakar pediatrik dan jururawat neonatal. SCN atau NICU lazimnya membenarkan ibu bapa mendapat akses tanpa batasan kepada bayi mereka untuk meningkatkan hubungan emosi, sentuhan fizikal dan memberikan susu ibu untuk bayi. Sebelum meninggalkan hospital, anda digalakkan untuk tinggal sebilik dengan bayi anda untuk melakukan jagaan harian di bawah penyeliaan jururawat neonatal dan mengatasi sebarang masalah yang mungkin berlaku. Di beberapa NICU, ibu bapa diajar beberapa asas resusitasi neonatal untuk menyediakan mereka bagi sebarang kejadian kecemasan semasa berada di rumah.

Bayi akan diperiksa secara berkala di klinik pediatrik untuk menilai tahap perkembangan, pertumbuhan dan mengemaskini imunisasi mereka. Pakar pediatrik anda mungkin akan melibatkan pakar-pakar lain seperti pakar pediatrik perkembangan, juru pulih anggota, pakar terapi pekerjaan untuk memberi terapi yang diperlukan sepanjang dia membesar.

Akhir sekali, sokongan keluarga adalah yang paling penting – menjaga seorang bayi pramatang adalah mencabar, lebih lagi daripada menjaga bayi yang ‘normal’.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen