Pengasuhan Positif

Bagaimana dengan Diabetes Gestasi?

Diabetes melitus gestasi atau Gestational diabetes mellitus (GDM) terjadi ketika kehamilan (gestasi). Namun, di Malaysia kebanyakan wanita tidak melakukan pemeriksaan perubatan sebelum hamil. Oleh yang demikian, diabetes melitus yang ketara lazimnya dikesan apabila wanita hamil pergi untuk pemeriksaan rutin mereka.

Menjadi polisi kebangsaan untuk menyaring wanita berdasarkan faktor risiko mereka namun terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa semua kehamilan harus disaring untuk diabetes. Lebih awal diabetes dikesan dan dikendalikan, lebih baik peluang untuk mengurangkan komplikasinya.

Seperti semua jenis diabetes, diabetes melitus gestasi menyebabkan paras glukosa darah yang tinggi (paras glukosa darah ≥ 7.8 mmol/L). Ini boleh menjejaskan kehamilan dan kesihatan bayi anda.

Komplikasi GDM:

  • Nutrisi dan tumbesaran bayi yang berlebihan. Berat lahir melebihi 4kg atau dipanggil makrosomia
  • Saiz bayi besar yang luar biasa meningkatkan keperluan untuk kelahiran cetusan atau caesarean dan boleh menyebabkan masalah kelahiran atau kecederaan kepada ibu dan bayi
  • Kecacatan kelahiran (menjejaskan organ utama seperti otak dan jantung)
  • Risiko keguguran meningkat
  • Risiko bayi mati ketika lahir meningkat
  • Kelahiran pramatang – kelahiran sebelum 37 minggu kehamilan
  • Risiko menghidap diabetes gestasi bagi kehamilan akan datang meningkat
  • Bayi lebih berisiko menghidap diabetes, penyakit jantung atau obesiti di masa akan datang

Hampir kesemua wanita mempunyai tahap tolerans glukosa terganggu disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku semasa hamil. Namun, paras glukosa darah lazimnya kembali normal sejurus selepas kelahiran.

Adakah anda berisiko?

Mana-mana wanita boleh menghidapi diabetes gestasi, dan faktor-faktor risiko sebarang jenis diabetes jenis 2 adalah serupa. Ini termasuk:

  • Wanita berumur lebih daripada 25 tahun
  • Sejarah keluarga atau sendiri yang menghidap diabetes melitus
  • Berlebihan berat badan atau obes (BMI ≥30)
  • Kelahiran terdahulu bayi dengan berat lahir melebihi 4kg atau bayi meninggal lahir.

Namun, masih ramai wanita yang menghidapi diabetes gestasi tanpa faktor risiko yang diketahui – atas alasan ini anda harus pergi mendapatkan saringan kesihatan yang dijadualkan. Kemungkinan besar anda akan melalui ujian saringan dalam trimester kedua anda – di antara 24 dan 28 minggu kehamilan. Jika doktor anda mensyaki anda berisiko tinggi bagi GDM, ujian mungkin dilakukan sebelum minggu ke-13 kehamilan.

Ujian
Tolerans Glukosa

Ujian ini mengukur tindak balas tubuh anda terhadap gula (glukosa). Anda akan berpuasa semalaman, kemudian paras gula darah anda akan diukur. Seterusnya, anda akan diberi minuman manis – mengandungi kepekatan glukosa yang tinggi – dan paras glukosa darah anda akan diperiksa sebelum dan selepas 2 jam anda minum. Jika sebarang bacaan gula darah adalah lebih tinggi daripada normal, anda akan didiagnosis sebagai mengidap diabetes gestasi.

Pencegahan GDM melibatkan:

Pengambilan makanan yang kaya dengan serat serta rendah lemak dan kalori. Fokus kepada buah, sayur dan bijirin penuh. Berusaha untuk mempelbagaikan diet anda untuk mencapai matlamat tanpa mengkompromikan rasa atau nilai pemakanan. Anda boleh merujuk kepada Piramid Makanan Malaysia untuk saiz hidangan.

Jenis Makanan Manfaat kepada wanita hamil
Bijirin penuh
Mil oat, roti bijirin penuh, pasta bijirin penuh atau beras perang.
Diperkaya dengan asid folik, zat besi dan serat.
Kekacang
Kacang hitam, kacang putih, kacang pinto, dal, kacang duduk dan kacang soya.
Protein, serat, sumber baik bagi nutrien utama seperti, zat besi, folat, kalsium, dan zink.
Ikan
Salmon, tilapia, sardin dan makerel.
Asid lemak omega-3, protein, vitamin B dan rendah merkuri.
Buah beri
Beri biru, raspberi, dan beri hitam.
Padat dengan vitamin C, kalium, folat dan serat.
Yogurt rendah lemak Lebih kalsium berbanding susu, tinggi dengan protein, dan tiada gula tambahan.

Bersenam sebelum dan semasa hamil. Sasarkan 30 minit aktiviti sederhana hampir setiap hari dalam seminggu. Berjalan pantas setiap hari, berkebun atau berenang.

Jika anda telah didiagnosis positif GDM, langkah yang sama juga digunakan untuk membantu anda mengendalikan keadaan anda. Namun, para doktor tidak menasihatkan untuk mengurangkan berat badan atau menyarankan senaman kuat semasa hamil. Doktor atau pakar diet anda boleh membantu merangka plan pemakanan untuk membantu anda mengendalikan GDM. Plan diet yang mengikut keadaan adalah paling berjaya kerana mengambil kira berat badan, ketinggian, kadar aktiviti, tahap kehamilan dan paras glukosa anda secara spesifik.

Doktor anda juga akan membuat keputusan sama ada anda harus mengambil suntikan insulin atau tidak. Ini berdasarkan paras glukosa darah yang dipantau dari masa ke semasa. Anda mungkin melahirkan bayi lebih awal berdasarkan tahap pengawalan glukosa darah serta dos insulin yang diperlukan untuk mengendalikan diabetes anda. Anda perlu berbincang dengan doktor mengenai pilihan yang ada.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen