Pengasuhan Positif

Memudahkan Penyusuan Susu Ibu

Penyusuan susu ibu adalah cara terbaik untuk memberi khasiat kepada bayi anda pada awal kehidupannya. Ibu-ibu disarankan agar menyusukan bayi mereka secara eksklusif bagi tempoh enam bulan pertama, di mana bayi diberi susu ibu semata-mata tanpa tambahan makanan atau minuman lain, termasuk air. Kemudiannya bayi boleh diberi makanan pelengkap dan penyusuan susu ibu diteruskan sehingga bayi berusia 2 tahun atau lebih.

Penyusuan susu ibu merupakan sentuhan kulit ke kulit paling semula jadi di antara ibu dan bayinya. Seorang ibu boleh mula menyusukan bayinya dalam tempoh satu jam sejurus selepas kelahiran. Kemahiran menyusukan bayi memerlukan masa dan latihan, terutama bagi wanita yang baharu menjadi ibu buat pertama kali. Namun, dengan kemahiran yang betul dari awal, penyusuan susu ibu sememangnya boleh menjadi suatu yang mudah.

kemahiran-penyusuan-susu-ibu

Dapatkan posisi yang selesa bagi diri anda dan bayi kerana ia akan memudahkan penyusuan susu ibu. Terdapat beberapa cara untuk memegang bayi untuk penyusuan.

posisi-penyusuan-susu-ibu

Memerah susu ibu

Kebanyakan ibu bekerja bimbang tidak dapat meneruskan menyusukan anak mereka apabila kembali bekerja. Jangan bimbang, ibu-ibu boleh memerah dan menyimpan susu. Susu ibu boleh diperah dengan tangan dan pengepam payudara.

Memerah dengan tangan

  • Basuh tangan anda dengan bersih.
  • Urut payudara anda perlahan-lahan, ke bawah menuju ke arah areola.
  • Pegang payudara anda dengan sebelah tangan, jangan terlalu rapat pada puting. Angkat sedikit payudara dan tekan perlahan-lahan ke dalam ke arah dada anda.
  • Tekan payudara anda dengan lembut menggunakan gerakan beralun jari-jari menuju ke arah puting.
  • Tenangkan jejari anda buat beberapa saat kemudian ulang semula gerakan yang sama. Elak daripada memicit pangkal puting anda, kerana ia akan menyebabkan susu berhenti mengalir.

memerah-dengan-tangan

Menggunakan pengepam

Susu ibu juga boleh diperah menggunakan pam. Sebelum mula, jangan lupa mensteril semua peralatan dan membasuh tangan anda. Setiap pam mempunyai arahan yang berbeza, jangan lupa untuk merujuk kepada manual produk sebelum mula menggunakan pam. Jika terdapat kemusykilan, jangan teragak-agak untuk menghubungi doktor anda atau pakar laktasi.

Menyimpan perahan susu

Setelah memerah, simpan susu dengan cara yang bersesuaian. Setiap bekas hendaklah ditandakan dengan tarikh dan disimpan pada suhu yang betul.

Kaedah penyimpanan Tempoh penyimpanan
Suhu bilik (25-37°C) 3-4 jam
Bilik berhawa dingin (15-25°C) 8 jam
Peti sejuk (2-4 C°) 72 jam
Kotak penyejukbeku di dalam peti sejuk (peti sejuk satu pintu) 2 minggu
Bahagian penyejukbeku di dalam peti sejuk dengan pintu berasingan (peti sejuk dua pintu) 3 bulan
Penyejukbeku berasingan 6 bulan
Dicairkan di dalam peti sejuk 24 jam (jangan dibekukan semula)

Mengasuh seorang bayi merupakan masa yang mengujakan dalam kehidupan anda tetapi ia juga mungkin sedikit meletihkan dan mencabar. Ada diantara ibu-ibu mungkin menghadapi kesukaran semasa dalam tempoh penyusuan. Justeru itu, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan apabila anda memerlukannya. Penyusuan susu ibu, seperti kemahiran-kemahiran lain yang baharu dipelajari, boleh digilap dan dilatih sehingga menjadi sesuatu yang mudah dilakukan.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen