Pengasuhan Positif

Interaksi Positif dengan Haiwan Kesayangan

Bagi kebanyakan kanak-kanak, memiliki haiwan kesayangan boleh menyumbang kepada perkembangan mereka. Di samping itu, ia juga membantu mereka mengatasi rasa bimbang atau kemurungan serta memberi beberapa pengajaran penting dalam kehidupan. Namun, perlu diingatkan bahawa haiwan kesayangan tidak mengajar tentang nilai-nilai, fikiran yang bermanfaat ataupun moral kepada anak anda. Sebagai ibubapa, anda yang harus membimbing mereka – kerana haiwan kesayangan hanya bertindak sebagai alat pembelajaran harian yang boleh digunakan untuk anak anda.

Memilih Haiwan Kesayangan

Haiwan yang secara semula jadinya lebih suka berinteraksi dan responsif terhadap anak anda apabila dibelai mesra lazimnya merupakan haiwan peliharaan yang paling berkesan. Oleh sebab itu jugalah kita lebih cenderung kepada haiwan yang mempunyai “faktor dakapan” (contohnya seperti, kucing, anjing, hamster, dll). Namun, terdapat juga sesetengah kanak-kanak yang suka kepada haiwan yang kurang interaktif atau comel seperti ikan, iguana, tuntung, dan sebagainya. Walau apa pun pilihan mereka, yang penting ibu bapa dapat memberi bimbingan yang sewajarnya. Selain itu, anda juga harus sentiasa menggunakan pertimbangan akal dan membuat pilihan haiwan yang sesuai bagi umur anak anda.

Tiga Kaedah C.A.R.E: Bagaimana Haiwan Kesayangan Mempengaruhi Kesejahteraan Anak Anda

Haiwan peliharaan merupakan fasilitator pembelajaran yang baik dan boleh diringkaskan dalam apa yang saya panggil ’Triple C.A.R.E’ yang merangkumi perkembangan diri, sosial dan juga mental:

C.A.R.E #1

C.A.R.E pertama adalah singkatan untuk Compassion (Belas Kasihan), Affection (Kasih Sayang), Responsibility (Tanggungjawab) dan Efficacy (Keberkesanan) dalam perkembangan diri. Haiwan peliharaan membantu kanak-kanak memahami tentang perasaan belas kasihan dan keperluan memberi kasih sayang kepada haiwan kesayangan mereka. Ini seterusnya memudahkan perkembangan peribadi, menjadikannya seorang yang baik hati, lemah lembut dan mesra. Kanak-kanak juga belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan menjaga haiwan kesayangan mereka dan membuat mereka lebih cekap dan yakin dalam menyelesaikan masalah harian.

C.A.R.E #2

C.A.R.E seterusnya bertumpu kepada perkembangan sosial iaitu Connection (Perhubungan), Acknowledgement (Pengakuan), Relating (Berhubungan) dan Empathy (Empati). Haiwan kesayangan bertindak sebagai objek transisi yang baik untuk kanak-kanak dengan memberi mereka perasaan selamat, dilindungi dan selesa. Ia membantu anak anda membuat perubahan emosi iaitu daripada sifat kebergantungan kepada berdikari. Haiwan kesayangan juga tidak menilai, mentertawa atau mengejek anak anda apabila anak anda membuat kesilapan. Ini membantu mereka untuk beransur-ansur membina harga diri dan keyakinan. Berhubungan dengan haiwan kesayangan juga mengajar anak anda mengenai saling berhubungan, terutama dalam membentuk rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Selain itu, ia juga memberi peluang kepada anak anda untuk mempelajari mengenai kehidupan; pembiakan, kelahiran, penyakit, kemalangan, kematian, kedukaan, belas kasihan dan empati.

Haiwan kesayangan memberi ketenangan dan menjadi teman ketika dalam ketakutan atau keseorangan serta membantu kanak-kanak untuk melupakan seketika masalah yang mereka perlu hadapi dengan persekitaran baru di sekolah, taman asuhan, dan sebagainya. Haiwan kesayangan membantu mereka mengimbangi perasaan dan kembali kepada pemikiran yang lebih positif.

paw-sitive-interactions-2

C.A.R.E #3

C.A.R.E ketiga meliputi perkembangan kognitif atau mental di mana Cognitive abilities (Kebolehan Kognitif), Applied learning (Pembelajaran Gunaan), Reflective skills (Kemahiran Reflektif) dan Emotional regulation (Kawalan Emosi) adalah kuncinya. Kebolehan kognitif kanak-kanak boleh ditingkatkan dengan memperbanyakkan pembelajaran reflektif yang datangnya dari keterpesonaan mereka memerhati gelagat haiwan peliharaan. Pembelajaran reflektif juga seiring dengan kawalan emosi di mana kanak-kanak merasai dan mempelajari sendiri bagaimana seharusnya mereka bertindakbalas terhadap tingkah laku dan memahami luahan emosi haiwan kesayangan mereka.

Selain itu, kebanyakan kemahiran penyesuaian harian seperti komunikasi, rutin harian, kebolehan pergerakan, penjagaan diri, kemahiran domestik, dan kemahiran berkaitan komuniti dapat diperkuatkan manakala kemahiran bersosial seperti berkawan, kemahiran bermain, dan penyelesaian masalah sosial dapat diperkukuhkan.

Penting!

Pastikan tugasan yang berkaitan dengan haiwan peliharaan adalah bersesuaian dengan umur anak anda bagi memastikan dia serta haiwan kesayangan sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Pastikan Anda Betul-Betul Bersedia

Ibu bapa perlu mempertimbangkan dengan teliti kos dan manfaat jika ingin mendapatkan haiwan peliharaan untuk keluarga. Walaupun pengalaman memiliki haiwan mungkin membantu untuk menguatkan semangat kekeluargaan, namun jika tiada kerjasama dalam keluarga, ia boleh menyumbang kepada penderitaan yang berlanjutan. Keputusan untuk memelihara seekor haiwan perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ingat, haiwan kesayangan bukan barangan pakai buang yang anda boleh buang sesuka hati apabila sudah tidak mahu digunakan lagi. Mereka layak dilayan seperti sebahagian daripada keluarga.

Sumbangan daripada Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen