Pengasuhan Positif

Jangkitan Telinga dan Tekak

Kanak-kanak memang cenderung mengidap jangkitan telinga dan tekak. Yang pastinya, saluran telinga mereka adalah lebih pendek dan menegak berbanding saluran telinga orang dewasa – ini memudahkan cecair terperangkap di dalam telinga tengah dan kuman boleh merebak. Apabila dijangkiti, sistem imun mereka yang lemah terpaksa bekerja keras untuk melawan serangan tersebut. Memandangkan telinga tengah terletak di bahagian tengah-tengah saluran hidung dan tekak, kuman dengan mudahnya boleh merebak ke bahagian-bahagian ini serta bahagian lain tubuh anak anda.

Mengenal pasti jangkitan telinga

Bayi dan kanak-kanak kecil belum boleh mengkomunikasikan kesakitan mereka kepada ibu bapa, justeru itu, anda harus lebih berwaspada. Simptom-simptom jangkitan telinga atau tekak tidak semestinya mudah untuk dikesan. Antara simptom-simptom yang mungkin menunjukkan terjadinya jangkitan termasuk:

  • Bayi menangis lebih kerap daripada biasa, terutamanya apabila dia berbaring
  • Anak anda sukar untuk tidur, bernafas, atau mendengar
  • Terdapat cecair keluar dari telinganya
  • Mengalami demam atau mengadu sakit kepala

ear-infection

Kebanyakan jangkitan telinga biasa tidak memerlukan ubat-ubatan kecuali jika terlalu teruk atau berlaku dalam kalangan bayi kecil. Sistem imun anak anda lazimnya boleh mengatasi jangkitan tersebut, dan ramai pakar pediatrik menyokong pendekatan ‘tunggu dan lihat’ berbanding memberi antibiotik serta-merta. Bawa anak anda berjumpa doktor jika anda masih kurang pasti, tetapi bersedialah anda mungkin akan diarah oleh pakar pediatrik untuk memerhatikan anak anda selama 48 hingga 72 jam. Bergantung kepada keterukannya, pakar pediatrik anda mungkin akan memberi titisan telinga dan mencadangkan ubat untuk melegakan kesakitan yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor semasa tempoh pemerhatian tersebut.

Jangkitan tekak

Penyebab paling biasa bagi sakit tekak ialah jangkitan virus yang selalunya tidak memerlukan ubat-ubatan yang khusus, dan kebanyakan kanak-kanak biasanya akan pulih dalam masa beberapa hari. Sakit tekak juga boleh disebabkan oleh bakteria.

Sakit tekak lazimnya disertai selesema dan/atau batuk (disebabkan oleh mukus berlebihan di dalam tekak). Batuk merupakan cara tubuh membuang kahak atau mukus pada anak tekak. Malah, tiada apa yang perlu dibimbangkan selagi anak anda makan, minum, dan bernafas dengan normal. Namun, jika batuknya teruk dan berpanjangan, sukar bernafas, demam panas, atau sukar menelan cecair atau air liur, bawa dia berjumpa pakar pediatrik dengan serta merta.

Jatuh sakit adalah ‘normal’

Memandangkan terdapat pelbagai jenis virus dan bakteria yang boleh menyebabkan anak anda mendapat selsema, selsema akan datang lapan atau lebih kali dalam setahun dan ini dikira ‘normal’. Apabila keimunannya semakin meningkat, kekerapannya untuk jatuh sakit akan berkurang. Kebanyakan selsema akan pulih dalam masa lima hingga tujuh hari, tetapi terdapat beberapa perkara mudah yang anda perlu lakukan untuk melegakan simptom-simptom selsema:

  • Pastikan dia meminum air secukupnya. Jika hidungnya tersumbat, anda boleh menggunakan semburan/titisan salina untuk membantu mencairkan sebarang rembesan hidung. Jangan gunakan dekongestan hidung melebihi lima hari kerana ia mungkin akan membuat hidungnya semakin tersumbat.
  • Jika dia demam sedikit atau mengadu sakit atau tidak selesa, ubat yang mengandungi paracetamol atau ibuprofen boleh diberi (dos berbeza mengikut umur kanak-kanak). Namun, jika dia mengalami demam tinggi dan/atau berpanjangan, bawa dia berjumpa doktor serta merta.
  • Kebersihan adalah penting! Dapatkan semua ahli keluarga untuk membasuh tangan secara tetap dengan menggunakan sabun – ini membantu mencegah selsema daripada merebak.

Mencegah jangkitan

Sebagai ibu bapa, terdapat beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kemungkinan anak anda menghidapi jangkitan telinga dan tekak:

  • Elakkan terdedah kepada asap rokok (second-hand smoke) – ia terbukti sebagai penyumbang penting kepada penyakit kanak-kanak, termasuk jangkitan telinga dan tekak. Jika anda merokok, pertimbangkanlah untuk berhenti merokok kerana dengan berbuat demikian akan memberi manfaat kepada kesihatan anda dan anak anda.
  • Amalkan kebersihan yang sempurna – tidak menjaga kebersihan akan mengakibatkan anak anda terdedah kepada lebih banyak bakteria. Didik anak anda untuk membasuh tangan dengan kerap untuk mencegah daripada menyebarkan kuman yang menyebabkan penyakit.
  • Pastikan vaksinasi anak anda mengikut jadual – memvaksin anak anda akan membantu sistem imunnya. Berbincang dengan pakar pediatrik anda untuk mengetahui perbezaan jenis-jenis vaksin yang boleh melindungi anak anda.
  • Menyusukan bayi – pastikan anak anda disusukan dengan susu ibu dalam tempoh dua tahun pertama kehidupannya. Susu ibu mengandungi faktor-faktor anti-jangkitan dan membantu meningkatkan sistem imun. Ini membolehkan tubuhnya melawan jangkitan bakteria dan virus dengan lebih baik.

Sumbangan daripaday Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen