Pengasuhan Positif

Keselamatan Daripada Matahari Ketika Bermain Di Luar

Kita semua memerlukan sedikit pendedahan kepada matahari setiap hari kerana ia adalah sumber Vitamin D yang utama. Walau bagaimanapun, pendedahan yang tidak dilindungi daripada sinaran ultraungu (UV) matahari boleh menyebabkan kerosakan kulit, kerosakan mata, ketidaktahanan sistem imun dan kanser kulit.

Terlalu banyak terdedah kepada cahaya matahari adalah amat berbahaya kepada kanak-kanak, terutamanya bayi yang perlu dijauhkan daripada sinaran terus cahaya matahari pada setiap masa. Ini adalah kerana kulit halus mereka mengandungi kandungan melanin yang sedikit, iaitu pigmen yang memberikan warna kepada kulit, rambut dan mata dan memberikan sedikit perlindungan daripada matahari. Sesetengah kanak-kanak sensitif kepada cahaya matahari dan akan membentuk ruam panas.

Adakah anda tahu?

Pendedahan yang singkat selama 15 minit kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kerosakan kulit akibat sinaran UV. Walau bagaimanapun, kulit boleh mengambil masa sehingga 12 jam untuk menunjukkan kesan penuh akibat daripada pendedahan tersebut. Maka, jika kulit anak anda kelihatan “sedikit merah jambu” hari ini, ia boleh kelihatan “terbakar” keesokkan paginya. Beberapa selaran matahari yang serius sahaja sudah mampu meningkatkan risiko anak anda untuk mendapat kanser kulit di masa hadapan.

Sinaran cahaya matahari

Apabila matahari menyinari bumi, sebahagian daripada cahaya tersebut terdiri daripada sinaran ultraungu (UV) yang lutsinar. Terdapat 3 jenis sinaran ultraungu: UVA, UVB dan UVC.

sun

Sinaran UVA

UV yang paling kuat mencecah bumi dan boleh menembusi jauh ke dalam tisu kulit kita. Walau bagaimanapun, ia tidak memberi kerosakan biologi yang teruk seperti UVB. Majoriti cahaya matahari kita terdiri daripada UVA dan menyebabkan penuaan kulit serta kedutan dan menyumbang kepada kanser kulit seperti melanoma.

Sinaran UVB

Merupakan satu lagi jenis sinaran UV yang boleh menyebabkan kerosakan biologi. Kebanyakan sinaran UVB diserap oleh lapisan ozon tetapi ada sinaran yang boleh menembusi lapisan ozon tersebut dan menyebabkan kerosakan yang serius contohnya selaran matahari, katarak (kekaburan kanta mata), kanser kulit (melanoma) dan memberi kesan kepada sistem imun.

Sinaran UVC

Bentuk sinaran UV paling berbahaya. Bagaimanapun, sinaran ini disekat oleh lapisan ozon dan tidak sampai ke bumi.

Adalah penting bagi anda melindungi anak-anak anda daripada terdedah kepada sinaran UVA dan UVB kerana sinaran ini boleh menyebabkan kulit “terbakar”, kulit menjadi gelap dan kerosakan kulit yang lain.

Perlindungan dari Matahari

Sekarang anda tahu bahawa pendedahan yang berpanjangan kepada cahaya matahari boleh meningkatkan risiko anak anda untuk mendapat kanser kulit di masa hadapan. Justeru itu, anda perlu mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk melindungi mereka apabila mereka berada di luar.

1. Menggunakan krim pelindung matahari

Gunakan krim pelindung matahari dengan sekurangkurangnya SPF (faktor perlindungan matahari) 15 atau lebih tinggi dan BERSPEKTRUM BESAR yang memberi perlindungan daripada kedua-dua UVA dan UVB setiap kali anak anda keluar. Bagi kanak-kanak yang berumur 6 bulan atau lebih, pilih SPF 30 atau lebih tinggi untuk mencegah kedua-dua selaran matahari dan kegelapan kulit. Juga, jangan lupa untuk melindungi telinga, hidung, bibir dan hujung kakinya.

children-sunblock

Pelindung matahari “kalis air” juga perlu digunakan ketika berada di dalam air kerana air dan peluh akan menghilangkan krim pelindung matahari dan kesan penyejukan daripada air boleh membuat anda berfikir bahawa kulit anda tidak terbakar. Selain daripada mengenakan semula krim pelindung matahari setiap beberapa jam ketika di bawah matahari, terutamanya jika mereka berada di dalam dan di luar air, sila pastikan anda juga menggunakan krim pelindung matahari yang mencukupi; 10- 20ml biasanya cukup untuk keseluruhan badan kanak-kanak.

Pilih krim pelindung matahari yang hipoalergenik dan bebas wangian terutamanya jika anak anda mempunyai kulit yang sensitif dan tidak komedogenik dalam kalangan kumpulan umur yang mudah terdedah kepada jerawat contohnya remaja.

Nota: Ikut arahan pada pakej krim pelindung matahari untuk bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan. Jika anda atau kulit anak anda bertindak balas dengan buruk untuk satu produk, cuba produk yang lain atau hubungi doktor. Pertahanan yang terbaik bagi bayi anda terhadap selaran matahari adalah mengelakkan cahaya matahari atau berada di tempat teduh.

2. Elakkan sinaran kuat

Apabila matahari berada pada kedudukan tertinggi di langit dan mengeluarkan sinaran yang paling kuat (biasanya antara 11 pagi hingga 4 petang), pastikan anak anda berada di dalam rumah. Jika anak anda perlu keluar diantara waktu ini contohnya untuk aktiviti sekolah atau hanya bermain di luar halaman rumah anda, pakaikan sedikit krim pelindung matahari kepadanya 15 hingga 30 minit sebelum membenarkannya keluar agar lapisan perlindungan yang baik boleh terbentuk.

3. Cari tempat atau kawasan yang teduh

family-beach-tent

Sinaran UV yang paling kuat dan paling berbahaya adalah semasa waktu tengah hari. Maka, adalah lebih baik untuk melakukan aktiviti-aktiviti di dalam rumah sahaja. Jika tidak boleh, cari tempat teduh di bawah pokok, payung, atau khemah terbuka. Gunakan pilihan ini untuk mengelakkan selaran matahari, bukan mengubatinya selepas ia berlaku.

4. Pastikan badan anak anda dilindungi

Pakaian yang menutupi kulit anak anda dapat membantu melindunginya daripada sinaran UV. Walaupun baju lengan panjang dan seluar panjang (slack) adalah yang terbaik, tetapi ia tidak semestinya praktikal. Baju T atau seluar pendek (short) juga adalah pelindung yang baik. Tetapi, adalah lebih bijak untuk menggandakan perlindungan dengan menggunakan krim pelindung matahari atau memastikan anak anda berada di tempat teduh apabila perlu.

5. Pakai topi atau penutup kepala

girl-beach-hat

Topi yang melindungi muka, kulit kepala, telinga dan leher adalah mudah untuk digunakan dan memberi perlindungan yang baik. Topi besbol adalah popular dalam kalangan kanak-kanak, tetapi ia tidak melindungi telinga dan leher mereka. Jika anak anda memilih topi, pastikan topi tersebut dapat melindungi kawasan-kawasan yang terdedah kepada cahaya matahari.

6. Pakai cermin mata hitam

Terdedah kepada cahaya matahari bukan sahaja boleh merosakkan kulit, tetapi juga boleh merosakkan mata. Sinaran UV yang berpanjangan boleh menyebabkan kerosakan katarak kepada anak anda di masa hadapan. Maka, jika boleh, pastikan anak anda memakai cermin mata hitam yang boleh menghalang hampir 100% daripada kedua-dua UVA dan UVB.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen