Pengasuhan Positif

Fahami Rasa Takut Anak Anda

Kanak-kanak akan berasa takut sama ada terhadap kegelapan, pemisahan, orang asing, haiwan, ejekan, atau pada anak patung. ‘Ketakutan’ ketika zaman kanak-kanak ini adalah perkara biasa. Kebanyakan rasa takut ini beransur-ansur hilang apabila anak anda semakin membesar, walaupun sebahagian daripada mereka memerlukan campur tangan dan bimbingan ibu bapa.

Takut, Bimbang Dan Fobia

Takut adalah tindak balas emosi yang disebabkan oleh ancaman yang dirasakan. Ancaman-ancaman ini bukan sahaja secara fizikal (contohnya takut kepada makhluk yang bergigi tajam atau ketinggian), ia juga boleh terjadi secara psikologi (contohnya takut terhadap ejekan atau kegagalan). Kedua-dua ini boleh menyebabkan seseorang itu berasa bimbang, tertekan atau gelisah.

Sebaliknya, kebimbangan sering digambarkan sebagai hanya perasaan, iaitu gangguan yang menyebabkan perasaan cemas, ketakutan dan risau. Kebimbangan yang ringan adalah normal. Misalnya, sesuatu pengalaman yang kita semua alami sebelum ditemu bual atau ketika di atas pentas untuk melakukan persembahan atau memberikan ucapan. Walau bagaimanapun, jika keadaan yang sama berlaku kepada orang yang mempunyai tahap kebimbangan yang teruk, ia boleh mengakibatkannya mengalami gangguan dari segi mental dan fizikal.

Kadang-kadang ketakutan boleh menjadi sangat ekstrem, berterusan dan fokus sehinggakan ia berkembang menjadi fobia. Ketakutan menjadi fobia apabila anda perlu menyesuaikan gaya hidup anda untuk menguruskannya. Fobia adalah ketakutan yang melampau dan tidak rasional yang boleh mengganggu perjalanan aktiviti harian kanak-kanak.

Ketakutan Adalah Mengikut Umur

Pada tahun 2010, kajian yang dilaksanakan oleh Boyer dan Bergstrom mencadangkan bahawa terdapat pola yang rumit tetapi berstruktur di mana ketakutan yang tertentu hadir dalam tempoh yang berbeza bagi perkembangan kanak-kanak.

Umur Ketakutan
Bayi 6-12 bulan kebimbangan terhadap orang asing, kemunculan objek-objek besar dan suara-suara kuat secara tiba-tiba, pemisahan dari ibu bapa
1-2 tahun haiwan dan objek-objek yang besar, perubahan mendadak dalam persekitaran peribadi, bilik yang gelap, pemisahan dari ibu bapa
3-5 tahun bilik yang gelap, haiwan-haiwan yang besar, kecederaan tubuh badan, orang jahat, topeng, pemisahan dari ibu bapa
6-9 tahun kegelapan, raksasa dan hantu, kemalangan, keseorangan, orang jahat
10+ tahun hukuman, markah teruk dan kegagalan di sekolah, hubungan peribadi, jenayah (contohnya penculikan, dirompak dan lain-lain), kerisauan keluarga

Bayi yang baru lahir

Bayi anda tidak dapat bergerak bebas atau bertindak apabila merasa terancam. Ini menyebabkannya bergantung sepenuhnya kepada kehadiran anda untuk memastikan keselamatannya. Oleh itu, ketiadaan anda dan/atau kehadiran orang dewasa lain (orang asing) akan mencetuskan rasa takut. Kebimbangan terhadap kehadiran orang yang tidak dikenali akan berterusan sehingga anak tersebut mencapai umur kanak-kanak.

Ibu bapa perlu lebih bergaul dengan anak-anak mereka, lebihkan sentuhan fizikal dan berbual-bual dengan anak-anak supaya kehadiran anda dapat dikaitkan dengan suatu yang menenangkan dan mesra. Ini akan membentuk kepercayaan yang merupakan pelopor yang kuat dalam hubungan ibu bapa dan anak. Ia juga akan membantu jika anda mempunyai rutin harian dan mengehadkan bilangan penjaga agar mereka dapat membiasakan diri.

Awal Kanak-kanak (18 bulan – 5 tahun)

Kini anak anda telah mampu merangkak, berjalan dan berlari. Dia mempunyai sebuah dunia yang baru untuk dijelajahi dan diterokai. Pada masa ini, dia akan menemui pelbagai ancaman yang mungkin tidak dapat dielakkan atau ditangani dengan berkesan dan dia masih akan bergantung kepada perlindungan anda. Benarkan anak anda untuk meneroka dan jangan terlalu mengongkong.

Satu lagi ketakutan yang biasa bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur ini adalah keresahan pemisahan. Ia adalah perasaan cemas dan takut apabila ditinggalkan. Tetapi apabila anak anda dapat memahami bahawa anda meninggalkannya hanya untuk sementara dan dia pasti bahawa anda akan kembali semula untuknya, ketakutan itu akan beransur-ansur hilang dengan sendirinya. Elak dari meninggalkan anak anda apabila dia memalingkan diri atau tidak memberi perhatian. Walaupun sukar, maklumkan pemergian anda dan yakinkannya bahawa anda akan kembali untuknya nanti.

Pertengahan hingga Lewat Kanak-kanak (6 – 12 tahun)

child-afraid

Ketakutan yang paling biasa pada masa ini ialah takut kepada raksasa dan penceroboh. Lebih khusus lagi adalah haiwan pemangsa yang sebahagian besarnya berasal dari kisah-kisah dongeng dan cerita atau kartun. Selain itu, mereka juga akan membentuk ketakutan terhadap kuman, bakteria dan penyakit-penyakit serta di mana mereka mengaitkan semua penyakit adalah berjangkit. Anda juga boleh melihat tanda-tanda kebimbangan sosial mula muncul ketika ini apabila jaringan sosial mereka mula menjadi lebih besar.

Tambahan lagi, pakar-pakar percaya bahawa kanak-kanak mempelajari pemikiran yang negatif menyebabkan perasaan yang buruk sebelum mereka belajar bahawa pemikiran yang positif membawa perasaan yang baik. Walaupun kanak-kanak prasekolah dapat membezakan pemikiran ini, mereka kurang kebolehan untuk mengalih perhatian mereka jauh daripada pemikiran tersebut. Ini juga merupakan satu sebab mengapa bercakap dengan anak anda mengenai ketakutan mereka adalah tidak produktif.

Jangan ajar anak anda untuk mengelak daripada rasa takut. Hadapinya bersama-sama sebagai satu pasukan. Anda harus berfungsi sebagai contoh yang boleh diikuti. Kebanyakan rasa takut akan beransur-ansur hilang.

Remaja (13 – 19 tahun)

Ketakutan yang menjadi keutamaan bagi peringkat ini adalah ancaman sosial. Kanak-kanak mencari sokongan sosial dalam kalangan rakan-rakan mereka. Ini menunjukkan mengapa pengkhianatan daripada seorang sahabat, kehilangan seorang kawan atau rakan sekutu kepada musuh yang dikenali menjadi penyebab kepada berlakunya kebimbangan yang teruk. Contoh utama ancaman sosial ini adalah kehilangan status, menjadi mangsa rakan sebaya, dan persaingan dalam percintaan.

Pada umur ini, ibu bapa boleh mula untuk mendekati anak remaja dengan cara yang lebih matang dan membenarkan anak-anak mereka meneroka perasaan, pemikiran dan tingkah laku secara terbuka. Berbicara dan mendengar masalah mereka serta memberikan nasihat dan pengalaman anda sendiri boleh membantu meredakan kebimbangan anak-anak dan mungkin memberi mereka pilihan untuk mencari jalan penyelesaian. Anak remaja tidak akan hanya bergantung kepada ibu bapa untuk bimbingan, ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan juga boleh menjadi punca bagi mereka mendapatkan nasihat. Bagaimanapun, ibu bapa perlu sentiasa mengawasi dengan kawalan yang ketat dan jika masalah itu terlalu berat, mereka harus juga mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan profesional psikologi bagi anak mereka.

Pada dasarnya, ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang boleh dipercayai dan berkomunikasi secara terbuka di awal kehidupan anak-anak. Ibu bapa juga tidak seharusnya terlalu mengambil ringan atas kebimbangan anak mereka, tunjukkan perasaan empati terhadap masalahnya dan berikan respon dengan penuh kasih sayang tetapi pastikan anda tidak terlalu protektif. Berdasarkan semua di atas, penyelesaian terbaik ialah untuk ibu bapa mendidik anak-anak tentang ketakutan mereka dan tunjukkan cara bagaimana untuk mengatasinya.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen