Pengasuhan Positif

Bahaya Alat Tatih Bayi

Alat tatih bayi adalah amat berbahaya dan ia boleh menjadi punca kepada kecederaan kepala, keracunan, melecur, hantukkan dan lebam-lebam. Pada tahun 1999, sebanyak 8800 kanak-kanak di bawah umur 15 bulan dirawat di jabatan kecemasan hospital di Amerika Syarikat bagi kecederaan berkaitan dengan alat tatih bayi. Sebahagian besar kecederaan berlaku akibat terjatuh dari tangga. Namun, data tempatan terakhir berkaitan kecederaan yang disebabkan oleh alat tatih bayi direkodkan pada tahun 2000. Artikel tersebut menganggarkan 0.9% daripada kesemua kecederaan yang tidak membawa maut dalam kalangan bayi disebabkan oleh penggunaan alat tatih bayi. Walau bagaimanapun, ini mungkin tidak mengambarkan jumlah sebenar yang berlaku memandangkan kebanyakan kes tidak dilaporkan kecuali ianya membawa kepada kecederaan yang serius yang memerlukan rawatan segera di hospital.

Memang diketahui umum bahawa bayi yang dilahirkan cacat penglihatan secara amnya mempunyai perkembangan motor yang lambat. Keupayaan untuk melihat anggota tubuh yang digunakan untuk berjalan adalah penting untuk perkembangan kemahiran motor; reka bentuk alat tatih bayi menghalang ini daripada berlaku.

Mitos Yang Berlarutan Akibat Salah Maklumat & Kurang Kesedaran

Ibu bapa yang menggunakan alat tatih bayi bagi anak mereka selalunya tersalah anggap apabila berfikiran bahawa alat tersebut boleh membantu atau mempercepatkan kebolehan anak mereka untuk berjalan. Ianya tidak benar – tidak terdapat satu pun penyelidikan saintifik yang menunjukkan sebarang hubung kait antara penggunaan alat tatih bayi dengan perkembangan awal kemahiran motor seperti berjalan. Padahal, yang sebenarnya, beberapa kajian komprehensif menunjukkan bahawa alat tatih bayi boleh melambatkan perkembangan kemahiran motor dan mental berbanding kanak-kanak yang tidak menggunakannya!

Sesetengah ibu bapa menggunakan alat tatih bayi seperti menggunakan puting: untuk mengalih perhatian anak. Walaupun ia memberi anda masa untuk melakukan kerja-kerja lain seperti membasuh pinggan atau menjemur pakaian, ia juga membuka ruang kepada bahaya yang tidak disangkakan.

Sebahagian besar kecederaan yang tidak disengajakan ini sebenarnya berlaku di rumah di bawah pengawasan penjaga! Ini menunjukkan bahawa kecederaan masih boleh berlaku walaupun dengan pengawasan orang dewasa. Bayangkan, bergerak pada kelajuan lebih daripada 3 kaki/saat, seorang bayi boleh berkejar melintasi bilik dan terumbang di hujung tangga atau tertarik hujung alas meja sebelum seorang dewasa sempat bertindak.

Oleh itu, tidak ada sebab mengapa anda harus meninggalkan bayi anda tanpa diawasi semasa anda melakukan kerja lain. Amalan terbaik adalah untuk membawa bayi anda bersama anda ataupun menyuruh pasangan anda/orang dewasa lain untuk menjaganya buat seketika. Anak anda adalah buah hati, intan payung anda, jadi, lebih baik berjaga-jaga daripada menyesal di kemudian hari!

Ajar Anak Anda Berjalan tanpa Alat Tatih Bayi

Sebaik mana seorang bayi mengembangkan kemahiran berjalannya bukan bergantung kepada kekuatan otot semata-mata, ia juga melibatkan kombinasi koordinasi dan imbangan – kesemuanya itu tidak boleh diberi oleh sebuah alat tatih bayi. Oleh itu, galakkan bayi anda untuk berjalan dengan cara:

baby-straighten-back

Mengukuhkan otot belakang, leher dan pinggul dengan membiarkan dia meluangkan masa bermain sambil meniarap.

simulate-baby-legs

Rangsang kakinya dengan menggerakkannya melalui gerakan berbasikal.

baby-sitting-position

Dudukkan anak anda dan golekkan bola ke depan dan ke belakang dengannya.

baby-standing-upright

Bantu anak anda mengimbangkan dirinya dan berdiri tegak dengan memimpin tangannya sambil dia berjalan ke depan (atau ke belakang).

baby-walking-towards

Biarkan dia berjalan ke arah anda sambil anda bersorak dan memberi galakan.

Galakkan anak anda mengasah kemahiran motornya secara semula jadi tanpa bantuan alat tatih. Adakalanya, kanak-kanak yang sihat dan normal juga mengalami kesukaran menguasai kemahiran berjalan dan mungkin memerlukan sedikit masa dan perhatian yang lebih (ada yang melangkau fasa merangkak terus kepada berjalan). Bersabarlah, anak anda pasti akan berjalan. Jangan bandingkan anak anda dengan kanak-kanak atau adik- beradik lain. Sebaliknya, galakkan mereka untuk berjalan, sentiasa berlatih bersama, berikan kasih sayang, keyakinan, motivasi serta persekitaran yang selamat dan stimulatif untuk pembelajaran. Buatlah pilihan untuk menjadi ibu bapa yang proaktif dan berhenti menggunakan alat tatih bayi hari ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen