Pengasuhan Positif

Vaksinasi: Mitos dan Salah Tanggapan

Kebanyakan mitos dan salah tanggapan mengenai vaksinasi terhasil melalui penyelidikan sama ada ianya telah disangkal atau penyelidikan tersebut didasarkan kepada penemuan yang tidak kukuh. Walau bagaimanapun, sebahagian besar salah faham dan mitos adalah didorong spekulasi atau teori semata-mata. Justeru, ibu bapa perlu mengambil kira semua aspek imunisasi yang merangkumi faedah, kesan sampingan serta hujah dan tuduhan yang dibuat sebelum mereka menentukan sama ada untuk menerima atau menghalang anak mereka dari mendapatkan imunisasi; inovasi perubatan moden yang terkemuka masa kini. Berikut adalah beberapa mitos dan salah tanggapan yang sering menghantui masyarakat:

Mitos yang paling kerap didengar adalah ‘vaksin menyebabkan autisme’. Sejarah dakwaan ini bermula sejak terbitan sebuah artikel dalam jurnal Lancet oleh Dr Andrew Wakefield dan rakan-rakannya pada tahun 1998. Dalam artikelnya – yang telah ditarik balik – Dr Wakefield mendakwa vaksin bagi Campak, Beguk dan Rubela (MMR) telah menyebabkan autisme dalam kanak-kanak yang mendapat pemvaksinan dalam kajian beliau. Hal tersebut, bersama-sama dengan media yang membantu mensensasikan dan membesar-besarkan cerita ditambah pula maklumat yang salah, telah membantu mewujudkan mitos tersebut. Kajian Dr Wakefield telah ditegur, disangkal dan dikecam dengan meluas melalui fakta dan kajian yang lebih menyeluruh oleh para saintis yang kebanyakannya menyokong vaksinasi. Jika dakwaan Dr Wakefield digunakan sebagai satu-satunya penyelidikan saintifik oleh aktivis antivaksin sebagai hujah-hujah mereka, mereka harus juga menilai dengan logik dan mempertimbangkan kajian lain yang djalankan dengan lebih teliti dan terkini yang menyangkal penemuan Wakefield ini.

Dr-Wakefield-MMR-Autism

Contohnya, thimerosol – sebatian organik yang mengandungi merkuri yang digunakan dalam vaksin sebagai bahan pengawet. Walaupun tiada bukti langsung untuk menyokong dakwaan terhadap kaitannya dengan autisme, thimerosol telah dikeluarkan atau dikurangkan kepada jumlah yang sedikit dalam semua vaksin rutin yang disyorkan bagi kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah. Tambahan pula, merkuri yang terdapat dalam thimerosol adalah etil merkuri yang akan disingkirkan dengan segera daripada darah dan ia telah diketahui tidak menyebabkan atau mempunyai perkaitan dengan sebarang kesan yang buruk terhadap kesihatan badan.

Selain itu, garam aluminium juga ditambah ke dalam sesetengah vaksin untuk berfungsi sebagai bahan pembantu untuk meningkatkan tindakbalas imun. Sebatian aluminium dalam vaksin (seperti vaksin hepatitis B dan Hib) telah membuktikan keselamatannya selama enam dekad penggunaannya. Di samping itu, hanya sedikit (0.17-0.85 mg) aluminium yang diperkenalkan dalam setiap suntikan. Menurut WHO, kanak-kanak mengambil hampir jumlah yang sama banyak (0.7 mg) setiap hari! Produk-produk seperti susu rumusan bayi, produk tenusu dan tepung yang diproses mungkin mempunyai jumlah aluminium yang lebih tinggi terutamanya jika ia mengandungi bahan tambahan makanan berasaskan aluminium.

kuantiti-aluminium-dalam-vaksin

Formaldehid memiliki sejarah yang panjang terhadap keselamatan penggunaan dalam pembuatan sesetengah vaksin virus dan bakteria. Ia digunakan untuk melemahkan virus dalam vaksin dan tubuh kita menghasilkannya secara semulajadi untuk membantu dalam mengawal fungsi tubuh secara normal. Kajian-kajian telah menunjukkan bahawa bagi bayi baru lahir yang mempunyai berat purata 6 – 8 paun, jumlah formaldehid dalam badan mereka adalah 50-70 kali lebih tinggi daripada had maksima yang mereka akan terima daripada satu dos vaksin atau daripada suntikan vaksin yang diperkenalkan dari semasa ke semasa. Oleh sebab tubuh tidak membezakan asal-usul formaldehid semasa ia diproses di dalam badan, jumlah yang sedikit yang disuntik ke dalam badan tidak akan menyebabkan mahu pun dikaitkan dengan kanser.

Vaksin pada dasarnya adalah bakteria atau virus yang mati atau dilemahkan. Namun, ia tidak akan menyebabkan penyakit atau komplikasi, sekalipun berlaku, kes-kes tersebut sangat jarang dan terpencil. Sebaliknya, risiko mendapatkan imuniti melalui jangkitan semulajadi adalah terencat akal akibat Haemophilus influenza jenis b (Hib), kecacatan ketika lahir akibat rubela, kanser hati akibat virus hepatitis B, atau kematian akibat campak.

Jika kita mengikuti Program Imunisasi Kebangsaan (PIK), sebelum anak anda mencapai umur 2 tahun, dia telah pun diberi vaksin sebanyak 16 kali. Ini bermakna badan mereka telah diperkenalkan kepada lebih daripada 10 jenis kuman yang berbeza. Agak banyak bukan? Sebenarnya tidak, kanak-kanak melawan 2000-3000 patogen setiap hari hanya dengan bermain, makan dan bernafas sahaja! Jika anda bimbang mengenai bilangan suntikan yang diambil oleh anak anda, tanya pakar pediatrik anda mengenai kemungkinan untuk mendapatkan vaksin gabungan – ia akan mengurangkan jumlah suntikan tetapi masih membekalkan perlindungan terhadap jumlah penyakit yang sama.

Tiada kes yang dilaporkan tidak bermakna kuman tertentu tidak lagi wujud atau telah mati. Keengganan atau kegagalan untuk diimunisasi boleh membawa kepada peningkatan wabak seperti yang pernah berlaku pada tahun 2011 yang mana 83.1% daripada kanak-kanak di Sabah yang dijangkiti campak didapati tidak disuntik dengan vaksin dan 24% di Selangor tidak pernah mengambil suntikan MMR berkala mereka. Baru-baru ini di Iraq, polio telah muncul semula dan 2 kes telah dilaporkan sejak ianya kali terakhir dikesan pada tahun 2000 pada masa sama sempadan Syria telah mencatatkan peningkatan kes wabak pada tahun lepas (2013). Ini adalah bukti bahawa penyakit berjangkit terutamanya yang lebih mudah menjangkiti kanak-kanak, walaupun diandaikan tidak lagi wujud, masih boleh berlaku disebabkan oleh risiko perpindahan merentas sempadan dan kurangnya inisiatif pengimunisasian dan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Tambahan pula, pengawasan terhadap kesan buruk vaksin dilakukan secara berterusan dan diketuai oleh pemantau pakar yang dipercayai umum seperti Sistem Pelaporan Kesan Vaksin (VAERS) dan Kesan Buruk Susulan Pengimunisasian (AEFI) yang merupakan inisiatif baharu yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2011 yang kini terdiri daripada lebih 106 negara ahli.

Seperti pangkalan data antarabangsa, beberapa negara mempunyai sistem pemantauan vaksin mereka tersendiri yang sering diuruskan oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) adalah pihak berkuasa yang lazimnya menguruskannya dengan bantuan daripada organisasi kesihatan terkemuka yang lain.

Terdapat banyak salah tanggapan lain yang telah diterbitkan secara atas talian dalam blog, dimuat naik dalam laman web dan disebarkan melalui media sosial, kebanyakannya tidak boleh disahkan dan agak provokatif. Oleh itu, ibu bapa perlu membuat keputusan yang tepat, ia mesti diperhalusi bukan sahaja menggunakan perasaan anda sebagai ibu bapa yang penyayang dan mengambil berat, tetapi juga harus merangkumi keraguan tentang isu yang dibangkitkan, melalui pemikiran yang kritikal dan kredibiliti terhadap maklumat yang diperolehi. Anda harus sentiasa berunding dan berjumpa pakar pediatrik anda jika anda mempunyai sebarang soalan atau kebimbangan mengenai pemvaksinan / pengimunisasian anak anda.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen