Pengasuhan Positif

Meningitis dan Kesan-kesannya

Dari bermulanya simptom awal, meningitis boleh menyebabkan kematian dalam masa 24 jam. Satu komplikasi yang lazim berlaku ialah bakteremia atau kemasukan bakteria ke dalam aliran darah. Meningitis merupakan ancaman sejagat yang menyebabkan kira-kira 170,000 kematian setiap tahun.

30136478_l

Fakta utama mengenai meningitis

  • Kebanyakan penghidap akan pulih daripada meningitis dan bakteremia.
  • Sebanyak 10% kes meningokokus mengakibatkan kematian, lazimnya dalam tempoh 24 hingga 48 jam setelah bermulanya simptom.
  • 15% yang dijangkiti meningitis meningokokus akan mendapat kesanjangka masa panjang termasuk:
  • Hilang ingatan, kesukaran mengekalkan maklumat, dan/atau kurang daya tumpuan
  • Cemerkap dan/atau mengalami masalah koordinasi
  • Sakit kepala yang berterusan
  • Masalah berkaitan pendengaran, termasuk pekak
  • Masalah pembelajaran
  • Epilepsi
  • Lemah, lumpuh atau kekejangan di sesetengah bahagian tubuh
  • Masalah pertuturan
  • Hilang penglihatan dan/atau perubahan pada penglihatan

Walaupun meningitis berpunca dari beberapa jangkitan virus atau bakteria, namun Neisseria meningitides (meningokokus) merupakan suatu bakteria yang kerap mengakibatkan meningitis. Terdapat beberapa jenis meningokokus dan enam telah dikenalpasti sebagai penyebab epidemik, khususnya strain A, B, C, W135, X dan Y. Jangkitan virus juga boleh menyebabkan meningitis, tetapi jangkitannya merebak dengan lebih perlahan.

Mudah tersebar

Bakteria penyebab meningitis boleh menular melalui:

  • Rembesan pernafasan atau tekak, seperti batuk, bersin, dll.
  • Hubungan rapat atau sentuhan berpanjangan, seperti bercium, tinggal di tempat yang tertutup (seperti di asrama), berkongsi makanan, minuman, atau perkakas, dll.

Purata tempoh pengeraman ialah empat hari, tetapi boleh mengambil masa di antara dua hingga 10 hari.

Mencegah meningitis meningokokus

Meningitis meningokokus dikaitkan dengan kematian dan komplikasi jangka panjang. Vaksin meningitis meningokokus “lama” yang berasaskan polisakarida hanya berkesan dalam kanak-kanak berumur lebih dari dua tahun, mempunyai ingatan imun yang rendah dan tidak meyumbang kepada imuniti kelompok. Vaksin konjugat meningokokus yang baharu (MCV) melindungi kanak-kanak dari umur 6 minggu dan seterusnya, mencetuskan ingatan imun dan memberi perlindungan kepada komunitinya. Setiap ibu bapa harus mempertimbangkan dengan serius untuk melindungi anak-anak mereka daripada penyakit yang sangat bahaya ini.

Malah, meningitis mempunyai kesan yang luas dan menjejaskan kehidupan kanak-kanak serta keluarga mereka termasuk mengakibatkan kepekakan teruk dan kecacatan intelek. Ini menggambarkan betapa penting dan perlunya imunisasi untuk mencegah penyakit ini.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen