Pengasuhan Positif

Ingin Dapatkan Bayi?

Setelah berumah tangga dan mempunyai kediaman sendiri, anda pasti inginkan cahaya mata. Kehamilan mungkin mudah bagi sesetengah pasangan, namun bagi pasangan lain, mereka terpaksa berusaha lebih, melakukan koordinasi dengan berhati-hati, dan mungkin mengalami banyak kekecewaan. Pelajari perkara-perkara mengenai kehamilan, ovulasi, dan cara mengenali tempoh kesuburan anda. Bekerjasama dengan pasangan untuk memastikan usaha anda untuk hamil akan berjaya.

Faktor-faktor yang menjejaskan kesuburan

Jangan teragak-agak untuk mendapatkan ujian kesuburan. Lebih awal anda mengetahui masalahnya, lebih cepat ia dapat dirawat untuk meningkatkan peluang anda untuk hamil. Walaupun sebahagian besar kesuburan terletak atas wanita, ujian kesuburan harus dilakukan oleh kedua-dua pasangan, memandangkan kira-kira 30% daripada masalah kesuburan adalah melibatkan kaum lelaki.

Jika kedua-dua anda sihat dan tidak mempunyai masalah kesuburan, terdapat beberapa faktor yang boleh menjejaskan usaha anda untuk hamil seperti:

Umur Bagi wanita, peluang untuk hamil akan menurun menjelang umur 30 tahun. Kesuburan ini akan semakin menurun apabila usia anda meningkat, dengan penurunan mendadak apabila anda mencapai umur 40an, dan peluang menjadi sifar ketika menopaus.
Kitaran haid tidak teratur Kitaran haid yang teratur memudahkan anda mengenal pasti kitaran ovulasi, dan penting untuk anda perhatikan masa sesuai untuk mengadakan hubungan kelamin.
Kekerapan hubungan kelamin Hubungan kelamin yang lebih kerap akan meningkatkan peluang kehamilan.
Berapa lama anda mencuba untuk hamil Jika anda telah mencuba tetapi tidak berjaya selama setahun atau lebih, maka cuba dapatkan bantuan profesional. Doktor anda boleh menjalankan beberapa ujian mudah untuk mengetahui samada ketidaksuburan berpunca daripada lelaki/wanita, dan menentukan tindakan seterusnya.
Lain-lain Sesetengah penyakit atau masalah kesihatan boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil. Contohnya mereka yang sedang menjalani kemoterapi atau mereka yang bergantung kepada sesetengah ubat untuk mengawal masalah kesihatan seperti asma atau epilepsi. Dapatkan nasihat doktor anda mengenai bagaimana ubat-ubatan atau penyakit kronik boleh menjejaskan peluang untuk hamil dan cara mengatasinya.

Tahukah anda?

Kebarangkalian berlakunya komplikasi meningkat mengikut umur, dan banyak kajian menunjukkan lebih tinggi risiko anak dilahirkan cacat (seperti, Sindrom Down, atau keabnormalan kromosom lain) yang berkait secara langsung dengan umur ibu. Begitu juga pola kejadian keguguran.

Awal 20an Awal 30an Awal 40an
Sindrom Down 1 dalam 1,667 1 dalam 952 1 dalam 106
Keabnormal Kromosom 1 dalam 526 1 dalam 385 1 dalam 66
Keguguran 12-15% 14.7% 25%

Perkara yang harus diperhatikan untuk meningkatkan kesuburan

Lakukan

Dapatkan nutrien secukupnya: Asid folik adalah komponen penting yang diperlukan untuk memastikan bayi anda berkembang dengan sempurna. Memulakan pengambilan vitamin pranatal atau tambahan asid folik setiap hari sebelum hamil membantu mengurangkan risiko spina bifida dan kecacatan tiub saraf.

Adakan hubungan kelamin yang kerap: Dengan mengadakan hubungan kelamin sekurang-kurangnya dua atau tiga kali seminggu secara tetap akan meningkatkan peluang anda untuk hamil ketika tempoh anda subur. Adakalanya, hanya meningkatkan kekerapan hubungan kelamin sudah mencukupi.

Membuat pilihan gaya hidup sihat. Optimumkan peluang anda untuk hamil dengan mengekalkan berat badan sihat, tahap aktiviti fizikal sederhana, mengambil diet sihat, hadkan kafein, dan kendalikan stres anda.

Pastikan anda mengekalkan tabiat-tabiat sihat ini kerana ia berguna kepada anda dan bayi anda sepanjang kehamilan.

Jangan

Ambil ubat-ubatan tanpa kebenaran doktor:Sesetengah ubat-ubatan boleh merosakkan cubaan-cubaan anda untuk hamil manakala yang lain pula mungkin tidak selamat untuk wanita hamil. Sentiasa dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang jenis ubat-ubatan.

Merokok:Merokok mempunyai pelbagai kesan negatif terhadap tubuh anda. Ia ‘menuakan’ ovari dan menyebabkan pengurangan telur pramatang dalam wanita. Bagi kaum lelaki, ia juga menyebabkan masalah penghasilan mani atau mani yang mungkin rosak, sekali gus mengurangkan peluang anda untuk hamil.

Membebankan tubuh anda dengan senaman berat: Apabila memperkatakan tentang aktiviti fizikal, elak daripada melakukan aktiviti fizikal yang terlalu berat kerana ia boleh memudaratkan diri dan mengurangkan kesuburan anda.

Tingkatkan peluang anda untuk hamil

Kunci kepada kejayaan untuk hamil bergantung kepada beberapa siri kejayaan perkara-perkara yang berkaitan. Kemuncak kesemua perkara ini adalah apabila satu sperma mensenyawakan telur di dalam rahim. Seorang wanita paling subur ketika tempoh ovulasinya, tetapi terdapat banyak faktor seperti stres dan senaman berlebihan yang boleh menjejasnya.

Untuk memastikan masa yang terbaik untuk cuba mendapatkan seorang bayi, terdapat empat kaedah mudah yang anda boleh gunakan, khususnya:

  1. Kalender: Tentukan corak kitaran haid anda.

    kitaran-haid

  2. Cervical mucus: Sesetengah wanita akan mengalami perubahan lelehan faraj selepas atau semasa ovulasi – sama ada ia menjadi keruh dan pekat atau tidak ada langsung. Perhatikan pertambahan lelehan faraj yang jernih dan licin, bentuknya seperti putih telur mentah – ia biasanya berlaku sejurus sebelum ovulasi.
  3. Suhu badan asas: Anda mungkin mengalami sedikit pertambahan suhu badan asas ketika ovulasi. Biasanya terdapat sedikit peningkatan sekitar setengah darjah (0.5°C) yang menandakan dua hingga tiga hari berikutnya adalah tempoh anda paling subur.
  4. Kit peramal ovulasi: Kit ujian ovulasi yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor boleh membantu anda mengenal pasti masa anda sedang ovulasi. Pastikan anda mengikuti semua arahan yang terdapat bersama kit ujian anda.

Bila untuk mendapatkan bantuan profesional

Kebanyakan pasangan yang sihat dijangka akan hamil dalam masa satu tahun mencuba tetapi jika anda tidak berjaya setelah mencuba, mungkin tiba masanya untuk anda mendapatkan pandangan profesional. Ingatlah bahawa walaupun masalah kesuburan boleh menjejaskan kedua-dua lelaki dan wanita, masih terdapat rawatan baginya. Justeru itu jangan bimbang untuk membuat janji temu dengan doktor anda.

Dengan kerjasama Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen