Pengasuhan Positif

Pencetus Ekzema

Ekzema atau dermatitis adalah suatu penyakit yang menyebabkan kulit menjadi kemerah-merahan atau radang yang disebabkan oleh faktor pencetus tertentu. Pencetus yang dimaksudkan ialah bahan-bahan luaran yang merengsakan kulit dan menyebabkan keradangan secara tiba-tiba. Jenis ekzema yang paling biasa dikenali sebagai dermatitis atopik atau ekzema atopik dimana simptomsimptomnya boleh mengakibatkan penularan penyakit berkaitan alahan lain seperti asma.

Pencetus bukan penyebab kepada ekzema sebaliknya ia hanya merangsang kejadian simptom penyakit tersebut. Punca sebenar ekzema, atopik atau selainnya masih belum dapat dikenal pasti. Namun, penjelasan paling hampir tentang bagaimana ekzema boleh berlaku adalah kerana faktor-faktor luaran seperti cuaca sejuk atau panas, habuk, bulu dan lain-lain yang menyebabkan tindak balas pertahanan sistem imun badan menjadi terlalu aktif.

hand-with-eczema

Pencetus keadaan ekzema boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang berbeza iaitu perengsa fizikal, alergen serta mikrob.

PPerengsa fizikal boleh memburukkan lagi gejala ekzema dan jenisnya mungkin berbeza di antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain.

  • Sabun dan bahan pencuci
  • Bahan kosmetik dan minyak wangi
  • Syampu, cecair membasuh pinggan
  • Buih mandian
  • Cecair pembunuh kuman seperti klorin
  • Pakaian fabrik kasar (Pakai pakaian yang longgar dan pilih fabrik seperti kapas!)

out-of-reach-from-children

Pastikan semua produk pembersihan disimpan di tempat yang selamat jauh daripada capaian kanak-kanak dan pilih kelengkapan mandian yang sesuai untuk anak anda (sabun, tuala dan lain-lain). Anda boleh juga menyediakan satu beg kecil produk-produk yang anda tahu tidak akan menyebabkan kerengsaan atau keradangan pada kulit si kecil. Benar berkongsi merupakan nilai yang baik yang harus digalakkan, tetapi tidak dalam hal ini terutamanya apabila ia boleh menyebabkan kegatalan dan kerengsangan!

Alergen adalah suatu bahan yang mencetuskan tindak balas alahan. Selain daripada simptom ekzema, ia juga boleh membawa kepada komplikasi lain seperti asma dan demam alahan. Pencetus alergen boleh dibahagikan kepada:

Persekitaran

  • Hama rumah
  • Bulu
  • Debunga (bermusim)
  • Kulapuk
  • Kelemumur

Makanan

  • Telur, Kacang
  • Produk tenusu
  • Produk soya
  • Gandum
  • Jus buah-buahan segar, daging, sayur-sayuran

children-allergic

Anak anda mungkin mewarisi kecenderungan kepada alahan daripada anda atau pasangan. Dapatkan nasihat perubatan lanjut untuk mengenalpasti takat alahannya.

Mikrob juga boleh mencetuskan simptom-simptom ekzema. Antara yang dikenali ialah:

  • Bakteria seperti Staphylococcus dan Streptokokal.
  • Virus Molluscum contagiosum yang boleh berkembang dalam cuaca hangat, beriklim lembap, dalam kawasan padat dan biasanya berlaku pada bayi
  • Malassezia dan jenis kulat Candida yang membiak pada kulit kanak-kanak boleh menyebabkan tindak balas keradangan.

Walaupun tidak dianggap sebagai pencetus, tekanan dan keadaan cuaca boleh memburukkan simptom-simptom ekzema:

children-stress

Orang dewasa dan juga kanak-kanak boleh mengalami tekanan fizikal, mental atau sosial yang boleh memarakkan lagi simptom ekzema. Penyebabnya masih misteri tetapi sesetengah pakar mengandaikan bahawa hormon tertentu yang dikeluarkan semasa berasa tertekan atau ketika tindak balas imun anda rendah boleh menjadi antara kemungkinannya.

  • Perubahan dalam kehidupan harian seperti berpindah ke rumah baharu, sekolah atau persekitaran boleh menyebabkan tekanan.
  • Penyakit-penyakit lain seperti selesema biasa juga boleh menyebabkan tekanan dan mencetuskan simptom ekzema.
  • Keadaan cuaca dan suhu tertentu boleh meningkatkan tahap keseriusan simptom ekzema.

    – Persekitaran dingin menghasilkan udara kering yang akan mengeringkan kulit.

    – Panas, persekitaran yang kering menyebabkan dehidrasi dan kulit mengelupas.

Penularan simptom ekzema boleh dielakkan atau dikurangkan dengan mengamalkan panduan di bawah:

  • Kerap melembapkan kulit dengan menggunakan cecair pelembap atau krim yang sesuai.
  • Elakkan perubahan suhu atau kadar kelembapan secara mendadak.
  • Elakkan berpeluh atau terlampau panas, mandi juga boleh membantu menyejukkan badan anak anda, lakukan dengan kerap.
  • Mengurangkan tekanan perasaan dan mengawal emosi dengan baik.
  • Elakkan pakaian yang diperbuat daripada bahan yang menggatalkan seperti bulu biri-biri.
  • Elakkan sabun, bahan cuci dan pelarut yang tajam.
  • Berhati-hati dengan sebarang makanan yang boleh mencetuskan ekzema dan elakkan makanan tersebut.

Biasakan diri dengan keadaan anak anda bagi mengelakkan perkara yang boleh memarakkan keradangan. Anda perlu mengetahui tahap sensitivitinya bagi mengelakkan keadaannya menjadi lebih buruk. Jika anda menghantar anak ke pusat penjagaan harian atau pengasuh, maklumkan mengenai keadaan anak anda serta cara penjagaannya jika timbul komplikasi. Anda juga disaran untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kulit dan pakar kanak-kanak mengenai cara pengurusan ekzema anak anda.

Dengan kerjasama Persatuan Dermatologi Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen