Pengasuhan Positif

Mengenai Penyakit Pneumokokus

Siapakah yang berisiko?

Penyakit pneumokokus tersebar luas di kalangan kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, kanak-kanak yang dijaga secara berkumpulan dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti jangkitan HIV dan penyakit kronik jantung serta paru-paru.

Orang dewasa yang berumur 65 tahun ke atas mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi. Orang dewasa yang berumur di antara 19 dan 64 tahun yang menghidapi penyakit kronik seperti penyakit paru-paru, jantung, hati atau buah pinggang, asma, diabetes atau penagih arak juga berisiko tinggi. Juga berisiko tinggi adalah individu yang menghidap penyakit yang melemahkan sistem imun mereka (HIV/AIDS, kanser atau kerosakan atau ketiadaan limpa); tinggal di rumah jagaan, mempunyai implan koklear atau peresapan cecair serebrospina (CSF) dan mereka yang merokok.

Bagaimana ia merebak?

Penyakit pneumokokus boleh berjangkit dari individu ke individu melalui batuk atau bersin dan sentuhan secara langsung. Bakteria S. pneumoniae membiak di bahagian belakang hidung terutamanya di kalangan kanak-kanak (30-70%).Tetapi mereka tidak jatuh sakit dan menjadi pembawa penyakit. Apabila anak anda membesar, S. pneumoniae berkurangan di bahagian belakang hidungnya. Ini kerana sistem ketahanannya semakin matang.

Diagnosis

Seperti penyakit lain, diagnosis dan rawatan awal amat penting. Diagnosis meningitis dan bakteremia dilakukan dengan mengambil sampel darah atau cecair serebrospina (CSF) dan dihantar ke makmal untuk diuji. Bagi penyakit pneumokokus bukan invasif (sinusitis dan otitis media), selalunya diagnosis dilakukan oleh pengamal perubatan melalui pemeriksaan fizikal dan kultur hidung dan telinga.

Rawatan

Kebanyakan jangkitan pneumokokus adalah ringan. Penyakit pneumokokus invasif (IPD) seperti meningitis, pneumonia dan bakteremia sering dikaitkan dengan komplikasi serius serta kematian.

Penyakit pneumokokus boleh dirawat menggunakan antibiotik. Antibiotik yang diberikan selalunya bertindak menentang pelbagai jenis bakteria yang juga mungkin boleh menyebabkan jangkitanjangkitan selain dari pneumokokus, contohnya Haemophilus influenzae, Staphylococcus aureus atau Mycoplasma pneumoniae. Antibiotik khusus akan diberikan apabila sensitiviti bakteria tersebut diketahui melalui ujian sensitiviti antibiotik.

Kekerapan

  • Pada tahun 2000, 14.5 juta kes penyakit pneumokokus serius dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Di mana, 826 000 daripadanya melibatkan kematian di kalangan kanak-kanak yang berumur diantara 1 hingga 59 bulan.
  • Dalam tahun 2011, pneumonia meragut 1.25 juta nyawa kanak-kanak.
  • Asia mencatatkan penyakit pneumokokus tertinggi.
  • 10% yang dijangkiti akan meninggal dunia akibat penyakit pneumokokus.

Pencegahan

Selain daripada kebersihan diri, penyakit pneumokokus boleh dicegah melalui vaksinasi. Terdapat 2 jenis vaksin pneumokokus, khususnya Pneumococcal Conjugate Vaccine (PCV) dan Pneumococcal Polysaccharide Vaccine (PPSV). PCV disarankan untuk kanak-kanak dan ia melindungi beberapa jenis bakteria pneumokokus yang lazim menjangkiti kanak-kanak. PCV13, contohnya mampu mecegah 13 jenis pneumokokus. Ia juga disarankan untuk orang dewasa berumur 50 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Kajian menunjukkan bahawa PCV mengurangkan jangkitan pneumokokus di dalam nasofarinks dan secara langsung mencegah penyebaran dan penularan penyakit tersebut.

Apakah imuniti kelompok?

Imuniti kelompok: Kanak-kanak yang diimunisasi dilindungi daripada penyakit. Mereka tidak boleh dijangkiti dan tidak menjangkiti orang lain. Jika 80-90% kanak-kanak divaksinasikan terhadap sesuatu penyakit, maka penyakit tersebut tidak boleh merebak dalam komuniti. Ini dipanggil “imuniti kelompok”. Oleh itu, kanak-kanak yang tidak divaksinasi (contohnya, secara pilihan) atau tidak boleh divaksinasi (contohnya, menghidapi kanser) juga dilindungi kerana kurangnya peluang bagi penyakit tersebut untuk merebak dalam komuniti.

Selain daripada mendapatkan vaksinasi pneumokokus, anda juga digalakkan untuk mendapatkan vaksin infuenza tahunan memandangkan risiko dijangkiti penyakit pneumokokus meningkat jika anda menghidapi selsema.

Radang Telinga Tengah

Tanda dan Simptom: sakit di telinga, gegendang telinga yang merah dan bengkak, serta demam.

Radang Sinus

Tanda dan Simptom: selsema atau penyakit pernafasan yang seakan-akan mula pulih tetapi kemudian menjadi semakin teruk; demam panas dengan hingus bewarna cerah yang tidak pulih, dan mungkin batuk.

Komplikasi: penyakit pneumokokus yang selalunya ringan walaupun ia lazim berlaku dan diklasifikasikan sebagai penyakit pneumokokus bukan invasif. Ia boleh menyebabkan masalah kehilangan pendengaran dan pertuturan yang lambat.

Radang Otak

Tanda dan Simptom: kejang dibahagian leher, demam dan sakit kepala, pedih apabila memandang cahaya terang serta kebingungan. Bayi pula akan kerap tidur, tiada selera makan dan minum serta muntah-muntah.

Komplikasi: penyakit pneumokokus invasif yang paling teruk. Satu dalam sepuluh orang kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang dijangkiti akan meninggal dunia dan sebilangan akan mengalami masalah terencat fizikal, terencat akal dan pekak.

Radang Paru-Paru

Tanda dan Simptom: demam, sejuk, batuk, pernafasan yang pantas atau kesukaran bernafas serta sakit dada.

Komplikasi: jika tidak dirawat segera akan menyebabkan empyema (jangkitan di antara selaput yang mengelilingi paru-paru dan ruang dada), perikarditis (jangkitan pada selaput yang mengelilingi jantung), atelektasis (paru-paru kuncup) dan nanah terkumpul di dalam paru-paru. Kadar kematian akibat pneumonia pneumokokus adalah 5% dan kadarnya meningkat di kalangan orang tua.

Bakteremia

Tanda dan Simptom: demam, kesejukan, letih dan kerap tidur

Komplikasi: berlaku apabila kuman menjangkiti saluran darah. Risiko kematian adalah 4 dalam 100 orang kanak-kanak dan meningkat di kalangan orang tua.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen