Pengasuhan Positif

JE: Penyakit Dunia Ketiga

Penyebaran

  • Virus JE, yang biasanya terdapat di dalam nyamuk, khinzir dan burung randuk, disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex tritaeniorhynchus atau Culex vishnui yang telah dijangkiti.
  • Apabila seseorang digigit oleh nyamuk yang dijangkiti dan virus memasuki tubuhnya, virus akan bergerak ke pelbagai kelenjar di mana ia akan membiak. Virus boleh memasuki saluran darah dan akhirnya sampai ke otak, di mana ia boleh menyebabkan masalah serius.

Bagaimana ia merebak

  • Nyamuk yang membawa virus ini beredar di beberapa kawasan di Asia termasuk Jepun, Korea, China, India, Thailand, Indonesia, Malaysia, Vietnam, Taiwan, dan Filipina.
  • Peredaran virus JE di Malaysia dikaitkan dengan pengairan sawah padi, dan penternakan khinzir. Pembiakan nyamuk meningkat akibat pembanjiran sawah-sawah padi. Nyamuk bertindak sebagai vektor kepada virus dan menyebarnya kepada manusia jika nyamuk-nyamuk tersebut telah menggigit burung atau khinzir yang telah dijangkiti.
  • Nyamuk-nyamuk ini amat banyak pada bulan-bulan yang panas dan paling banyak hujan memandangkan keadaan ini diperlukan untuk kitaran pembiakan nyamuk tersebut.

mosquitoesjpg

Wabak di Malaysia

Wabak JE yang besar berlaku di Langkawi pada tahun 1974 (10 kes, 2 kematian), Pulau Pinang pada 1988 (9 kes dan 4 kematian) dan di daerah Serian, Sarawak pada tahun 1992 (9 kes, 4 kematian). Pada tahun 1999, lebih daripada 50 orang meninggal dunia dan beratus-ratus khinzir – kemungkinan pembawa jangkitan – telah ditakai di seluruh negara.

Pengawalan penyakit

Selepas wabak pada tahun 1999, Kementerian Kesihatan Malaysia memulakan kempen dengan dana yang mencukupi untuk mengawal penyakit tersebut: 64 767 orang telah diberi vaksin, 150 000 ladang ternakan dan rumah-rumah telah disembur dengan racun serangga, dan satu program pendidikan kesihatan dan mobilasi sosial aktif telah dimulakan di kawasan-kawasan yang terlibat.

boy-injection

Pengenalan vaksinasi JE pada Julai 2001 juga mengurangkan bilangan kes JE dalam manusia. Menurut data yang dikumpulkan daripada Sarawak, bilangan kes menurun daripada 84 kes kepada 49 kes selepas vaksin tersebut diperkenalkan di Sarawak. Amnya, kebanyakan kes JE berlaku pada suku keempat setiap tahun (Oktober hingga Disember).

Tanda-tanda dan simptom

Kebanyakan mereka yang dijangkiti dengan virus Ensefalitis Jepun tidak menunjukkan sebarang simptom. Namun, anggaran 1 dalam 200 jangkitan mengakibatkan keradangan otak teruk yang dicirikan oleh:

  • demam panas yang bermula dengan pantas,
  • sakit kepala,
  • kejang leher,
  • kekeliruan,
  • sawan,
  • kelumpuhan spastik (tidak boleh bertutur atau mengawal pergerakan),
  • koma, atau
  • kematian.

Menurut Persatuan Kesihatan Sedunia, kadar kes kematian adalah setinggi 60% dalam kalangan mereka yang mempunyai simptom penyakit; 30% daripada mereka yang terselamat menderita akibat kerosakan kekal pada sistem saraf pusat.

Simptom-simptom tersebut bermula 6-15 hari selepas terkena gigitan.

Rawatan

Tiada rawatan yang khusus bagi JE. Pengendalian pesakit memfokuskan kepada penjagaan sokongan (contohnya, pemberian makanan, pengendalian saluran pernafasan, dan pemberian antikonvulsan untuk mengawal sawan) dan pengendalian komplikasi. Cecair diberi untuk mengurangkan dehidrasi dan ubat-ubatan diberi untuk mengurangkan demam dan kesakitan. Terdapat ubat-ubatan untuk mengurangkan kebengkakan otak. Pesakit yang koma mungkin memerlukan bantuan mekanikal untuk bernafas. Pengendalian kes-kes tersebut selalunya dilakukan di dalam Unit Jagaan Intensif (ICU).

Pencegahan

1) Vaksinasi kumpulan berisiko tinggi populasi manusia contohnya, penternak khinzir, mereka yang tinggal berhampiran dengan ladang ternakan khinzir dalam lingkungan sehingga 2 km, dan kanak-kanak kecil. Sistem pemantauan hospital bagi JE di Sarawak dari 1997-2006 mendapati bahawa 92% daripada 133 kes adalah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah. Dalam Program Imunisasi Kebangsaan, imunisasi utama diberi kepada kanak-kanak dalam dua dos utama dengan jarak empat minggu, diikuti oleh dos booster selepas satu tahun, dengan jarak setiap tiga tahun selepas itu. Dengan adanya vaksin-vaksin baru, kanakkanak akan diberi dua dos sahaja dengan jarak satu tahun.

2) Ambil langkah-langkah untuk mengelak dari digigit nyamuk. Pelawat-pelawat ke kawasan yang mempunyai kadar JE yang tinggi atau mereka yang tinggal di kawasan yang terjejas harus mengambil langkah-langkah perlindungan peribadi untuk mencegah daripada digigit nyamuk seperti mengguna penghalau nyamuk dan/atau kelambu, memasang jaring di semua tingkap, memakai baju lengan panjang/seluar panjang.

3) Pengawalan vektor terhadap nyamuk Culex dengan pengabutan dan melarvisid termasuk menghapuskan tempat-tempat pembiakan Culex dengan mengambus tanah dan memperbaiki sanitasi/saliran.

Sumbangan daripada Persatuan Pediatrik Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen