Pengasuhan Positif

Vaksin – Barisan Pertahanan Pertama!

Adalah menjadi satu ketetapan dalam kehidupan bahawa kita tidak dapat mengelak daripada makhluk hidup yang amat kecil yang digelar virus dan bakteria. Terdapat berbilion-bilion virus dan bakteria yang bertukar dan membiak dengan cepat sehinggakan badan kita tidak mungkin dapat menghasilkan imuniti semulajadi untuk semua jenis penyakit yang disebabkan olehnya. Para doktor dan saintis berterusan mengkaji dan bereksperimen untuk menghasilkan ubat-ubatan dan vaksin-vaksin baru bagi melawan virus dan bakteria tersebut.

Bagi bayi dan kanak-kanak yang sistem imunnya masih berkembang dan orang tua serta sakit di mana sistem imunnya telah lemah, jangkitan virus dan bakteria boleh menyebabkan komplikasi kesihatan yang teruk dan juga boleh membawa maut!

Di negara-negara tropika seperti Malaysia, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus dan bakteria adalah berterusan sepanjang tahun.

Influenza dan Penyakit Pneumokokus

Influenza dan penyakit pneumokokus adalah dua penyakit yang paling lazim berlaku di Malaysia, malahan di seluruh dunia tetapi boleh dicegah dengan vaksin.

Influenza adalah disebabkan oleh pelbagai jenis virus influenza. Pada masa kini, virus jenis A, B dan C menjangkiti manusia. Jenis C jarang ditemui pada masa kini. Oleh itu, vaksin-vaksin hanya mengandungi virus untuk influenza jenis A dan B sahaja.

Penyakit pneumokokus adalah jangkitan yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Streptococcus pneumoniae. Terdapat lebih daripada 90 jenis bakteria ini tetapi 15 daripadanya menyebabkan kebanyakan daripada penyakit ini.

Penyakit pneumokokus adalah penyebab kematian tertinggi bagi penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin dalam kalangan kanak-kanak. Ia menyebabkan 11% semua kematian bagi kanak-kanak berusia satu hingga 59 bulan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menanggarkan sebanyak satu juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokus.

Penyakit pneumokokus diklasifikasikan kepada jangkitan tak invasif dan invasif. Jangkitan tak invasif menyebabkan otitis media (jangkitan telinga) dan sinusitis (jangkitan sinus) manakala jangkitan invasif boleh menatijahkan pneumonia (jangkitan paru-paru), bakteremia (jangkitan darah) dan meningitis (jangkitan pada meninges – lapisan perlindungan yang meliputi otak dan saraf tunjang).

Sementara penyakit jantung dan strok menjadi punca yang pertama dan kedua kematian di Malaysia, influenza dan pneumonia pula mengambil tempat ketiga. Pada tahun 2011, influenza dan pneumonia telah menyebabkan 9417 kematian atau 9.2% daripada jumlah kematian di negara ini. Penyakit-penyakit ini tidak boleh dipandang ringan!

Tanda-tanda dan Gejala

Adalah mudah untuk silap mengenali tanda-tanda dan gejala-gejala serangan influenza (selesema) sebagai selesema biasa. Bagi selesema biasa, gejala-gejala biasa adalah bersin dan hidung tersumbat. Gejala-gejala selesema akibat influenza pula adalah lebih teruk dan boleh menyebabkan demam panas secara tiba-tiba, menggigil, sakit kepala, sakit otot, sakit tekak, batuk, hidung berair, pening, hilang selera makan, keletihan, loya atau muntah-muntah, lemah, sakit telinga dan cirit-birit.

Kebanyakan gejala-gejala ini akan hilang selepas satu atau dua minggu tetapi adalah penting untuk mendapatkan rawatan awal terutamanya dalam kalangan bayi dan kanak-kanak, warga tua dan pesakit dengan penyakit-penyakit lain untuk mengelakkan sebarang komplikasi.

Dalam penyakit pneumokokus, tanda-tanda dan gejala-gejala adalah seperti berikut:

  • Otitis Media – sakit telinga, demam, kerengsaan dan mungkin kehilangan pendengaran jika gegendang telinga tercedera.
  • Pneumonia – cepat atau sukar bernafas dan sakit dada, menggigil, batuk dan demam.
  • Bakteremia – demam panas dan kerengsaan, jangkitan saluran pernafasan mungkin berlaku.
  • Meningitis – demam, sakit kepala yang sangat teruk, loya, muntah, cirit-birit, leher yang tegang, sensitif kepada cahaya, sawan dan dalam kes-kes yang sangat teruk boleh menyebabkan koma.

8968457

Punca dan Akibat

Influenza merebak apabila orang yang telah dijangkiti virus tersebut batuk atau bersin ke udara dan udara tersebut disedut oleh orang lain. Ia juga merebak melalui sentuhan dengan tangan yang telah dijangkiti oleh virus tersebut. Penyebaran boleh dikurangkan apabila orang yang dijangkiti batuk atau bersin dalam tisu dan membasuh tangan dengan lebih kerap.

Wabak influenza berlaku setiap tahun dan boleh menyebabkan kemasukan ke hospital serta kematian. Menurut WHO, wabak influenza menyebabkan 3 hingga 5 juta kes penyakit yang sangat teruk dan 250,000 hingga 500,000 kematian setiap tahun, terutamanya dalam kalangan mereka yang melebihi usia 65 tahun di seluruh dunia.

Seperti influenza, penyakit pneumokokus amat mudah berjangkit dan disebarkan melalui titisan daripada batuk, bersin atau sentuhan rapat.

Telah dilaporkan bahawa jangkitan influenza boleh menjadikan seseorang lebih mudah terdedah kepada penyakit pneumokokus. Kebanyakan orang yang telah dijangkiti dengan bakteria S. pneumoniae bermula dengan mempunyai masalah pernafasan yang kemudiannya disahkan sebagai sebahagian daripada pneumonia.

Jangkitan pneumokokus berkembang secepat satu hingga tiga hari dan penangguhan rawatan mungkin membawa kepada komplikasi dan kesan buruk yang lebih teruk seperti kehilangan pendengaran, kelumpuhan, kerosakan otak , koma dan kematian.

Otitis media adalah jangkitan yang sangat lazim dan 50% daripadanya adalah disebabkan oleh penyakit pneumokokus. Satu pertiga daripada semua kes jangkitan pernafasan akut (ARI) dan dua pertiga daripada semua kematian yang disebabkan oleh ARI boleh dikaitkan dengan penyakit pneumokokus.

Risiko penyakit pneumokokus adalah lebih tinggi dalam kalangan orang dewasa berusia lebih 50 tahun yang menghidapi masalah jantung, masalah paru-paru seperti asma, penyakit hati, kanser, kencing manis, atau faktor-faktor risiko yang lain seperti merokok, ketagihan arak dan keadaan hidup di pusat institusi seperti rumah orang tua atau rumah persaraan.

Rawatan dan Pencegahan

Kultur darah atau kahak dan swab hidung akan diuji untuk menentukan kehadiran virus atau bakteria sebelum rawatan ditentukan. Kes-kes influenza yang teruk dirawat dengan ubat-ubatan anti-virus manakala antibiotik, biasanya penisilin, digunakan untuk merawat penyakit pneumokokus. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai ketahanan terhadap anti-virus dan antibiotik yang mengehadkan keberkesanan rawatan. Pada tahun 2011, satu kajian di Malaysia melaporkan terdapat ketahanan terhadap penisilin sebanyak 31.78%. Ketahanan terhadap pelbagai jenis antibiotik seperti tetrasiklin, eritromisin, sefalosporin, ciproflozasin dan vankomisin juga meningkat.

Cara terbaik untuk menangani kedua-dua influenza dan penyakit pneumokokus ialah dengan vaksinasi. Terdapat vaksin yang selamat dan berkesan untuk mencegah atau mengurangkan kesan jangkitan virus dan bakteria. Vaksinasi adalah penting terutamanya bagi bayi dan kanak-kanak daripada peringkat umur 6 bulan hingga 2 tahun, dan orang dewasa melebihi usia 50 tahun serta dalam kumpulan berisiko tinggi.

Menurut WHO, dalam kalangan orang dewasa yang sihat, pemvaksinan influenza boleh menghalang 70% hingga 90% daripada penyakit influenza yang khusus dan dalam kalangan warga tua, vaksin tersebut mengurangkan penyakit dan komplikasi yang teruk sehingga 60% dan kematian sebanyak 80%.

Vaksin pneumonia diperkenalkan pertama kali di Amerika Syarikat pada tahun 2000. Sejak itu ia menunjukkan keberkesanan yang tinggi dalam populasi yang luas yang dikaji di Amerika Syarikat, Eropah, Gambia dan Afrika Selatan. Vaksin konjugaf pneumonia (PVC) adalah vaksin pertama dalam 20 tahun yang dapat menurunkan kematian kanak-kanak secara umum. Kajian di Gambia membuktikan tujuh kematian dapat dielakkan bagi 1000 kanak-kanak yang diberi vaksin.

Maka, jelaslah bahawa vaksinasi perlu menjadi barisan pertahanan pertama!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen