Pengasuhan Positif

Soal-Jawab Tentang Cirit-Birit

Cirit-birit merupakan satu gejala yang biasa terjadi yang boleh menyebabkan kesan berbahaya, terutamanya terhadap kesihatan bayi anda. Ketahuilah soalan-soalan lazim mengenai cirit-birit.

Semua orang pernah mengalami masalah cirit-birit. Ia merupakan cara tubuh kita membuang keluar kuman-kuman. Cirit-birit boleh disebabkan oleh banyak faktor, daripada keracunan makanan hingga ke jangkitan virus. Selain daripada jangkitan pernafasan, cirit-birit merupakan jangkitan yang kerap menghidap kanak-kanak.

Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (US Centres for Disease Control and Prevention), rotavirus adalah punca cirit-birit dan jangkitan virus paling lazim dalam kalangan bayi serta kanak-kanak kecil sejagat. Sebelum adanya vaksin, hampir setiap kanak-kanak akan mendapat jangkitan rotavirus menjelang umur lima tahun.

Kebanyakan jangkitan rotavirus boleh dirawat di rumah dengan pengambilan lebih banyak air untuk mencegah dehidrasi. Walau bagaimanapun, jangkitan yang lebih serius boleh menyebabkan lebih banyak masalah bukan sekadar memaksa anda atau anak anda untuk berkejar-kejar ke tandas.Kes-kes cirit-birit yang disebabkan oleh rotavirus boleh mengakibatkan gastroentritis iaitu jangkitan teruk yang berpotensi menyebabkan cirit-birit teruk dan dehidrasi di kalangan bayi dan kanak-kanak. Dianggarkan 500,000 kanak-kanak sejagat maut setiap tahun akibat cirit-birit yang berpunca daripada virus merata dunia.

Kami sertakan soal-jawab berkenaan cirit-birit untuk pengetahuan yang lebih mendalam.

Soalan-soalan lazim

1. Apakah punca cirit-birit?

Kebanyakan kes cirit-birit terjadi akibat tahap kebersihan yang rendah. Anak anda boleh dijangkiti virus, bakteria atau parasit yang menyebabkan cirit-birit apabila dia mengambil makanan atau minuman tercemar, atau hidangan yang tidak dimasak dengan sempurna atau sepenuhnya. Dia juga boleh dijangkiti agen-agen penyebab cirit-birit apabila dia menyentuh permukaan yang tercemar dan kemudiannya memasukkan jari-jarinya ke dalam mulut.

Jangkitan cirit-birit boleh merebak melalui sentuhan dengan haiwan kesayangan atau bersentuh secara langsung dengan najis (iaitu daripada lampin atau tandas).

Tak toleransi dan sensitiviti terhadap makanan juga boleh menyebabkan anak anda mendapat cirit-birit. Contohnya, kanak-kanak yang tak toleransi laktosa boleh mendapat cirit-birit jika mereka mengambil sesuatu yang mengandungi unsur susu yang banyak. Tindak balas kepada ubat-ubatan, antibiotik, atau antasid yang mengandungi magnesium juga boleh mengakibatkan cirit-birit.

2. Adakah cirit-birit berbahaya?

Ia boleh menjadi berbahaya. Cirit-birit yang berlarutan lebih daripada dua hari mungkin petanda masalah yang lebih serius. Cirit-birit kronik (cirit-birit selama sekurang-kurangnya empat minggu) mungkin merupakan simptom sesuatu penyakit kronik. Contohnya, penyakit usus iritabel atau sindrom usus iritabel, penyakit Crohn atau kolitis ulseratif.

Tidak kira berapa lama tempohnya, cirit-birit boleh menyebabkan komplikasi serius – dehidrasi. Ini bermakna anak anda mengalami kehilangan air dan mineral yang berlebihan yang membantu tubuhnya berfungsi dengan sempurna. Jika air dan mineralmineral tidak digantikan dengan segera, tubuhnya akan mula “kering” atau menjadi dehidrat. Anak anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital untuk mengganti cecair yang hilang secara intravena. Dehidrasi teruk boleh mengakibatkan kegagalan ginjal dan/atau kematian.

3. Apakah simptom-simptom cirit-birit yang saya perlu awasi?

Apabila organisma seperti bakteria, virus atau parasit menyerang usus, ia akan menyebabkan tanda dan simptom seperti:

  • kekejangan dan kesakitan di bahagian abdomen
  • demam
  • hilang selera makan
  • mual
  • muntah-muntah
  • penurunan berat badan
  • cirit-birit berair, selalunya tidak berdarah
  • dehidrasi

Berikut adalah tanda-tanda dehidrasi dan anda harus segera berjumpa dengan seorang doktor jika anak anda mengalami sebarang tanda-tanda tersebut. Ia termasuk lesu atau rengsa, demam panas, tidak kencing selama tiga jam atau lebih (bagi bayi), tiada air mata apabila menangis, mata dan ubun (bahagian lembut di atas kepala bayi) cengkung dan kelihatan darah di dalam najis mereka (kelihatan seperti jeli kismis merah).

4. Bilakah harus saya membawa anak saya berjumpa doktor?

Apabila anak anda menunjukkan tanda-tanda berikut, jangan teragak-agak untuk membawa dia ke klinik atau hospital. Ini termasuk:

  • tanda-tanda dehidrasi (seperti di atas)
  • cirit-birit lebih daripada 24 jam
  • suhu demam 38.5°C (anggaran 102°F) atau lebih
  • najis mengandungi darah atau nanah
  • najis berwarna hitam dan seperti tar

5. Bagaimanakah cirit-birit anak saya akan dirawat

Dalam kebanyakan kes cirit-birit, rawatan yang diperlukan hanyalah menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang menggunakan larutan rehidrasi oral (ORS) untuk mencegah anak anda daripada dehidrasi. Bergantung kepada punca masalah, ubat-ubatan juga mungkin diperlukan untuk menghentikan cirit-birit atau merawat jangkitan.

Anda juga harus pastikan anak anda kekal terhidrat dengan banyak meminum air kosong dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap. Kanak-kanak yang minum air mencukupi dan mengambil ORS untuk menggantikan cecair yang hilang semasa muntah dan cirit-birit tidak akan mengalami dehidrasi.

Jika bayi anda yang mengalami cirit-birit masih diberi penyusuan susu ibu, teruskan penyusuannya kerana susu ibu mengandungi faktor-faktor antimikrob yang membantu meningkatkan sistem imun bayi anda, dan mempercepatkan pemulihannya semasa dalam jangkitan. Susu formula tidak perlu dicairkan kerana ini akan mengurangkan kandungan nutriennya.

Cirit-birit dan dehidrasi boleh membuat anak anda penat dan lemah. Oleh itu, penting bagi anda memastikan anak anda mendapat cukup rehat.

6. Bagaimanakah saya boleh melindungi anak saya daripada cirit-birit?

Perkara paling penting adalah mengamalkan kebersihan dan membasuh tangan dengan betul. Satu lagi cara berkesan untuk mencegah cirit-birit yang berpunca daripada jangkitan rotavirus adalah melalui vaksinasi. Di Malaysia, vaksin rotavirus diberi secara oral, dalam dua atau tiga dos (bergantung kepada pengeluar vaksin), dan ia hanya boleh diberi kepada bayi berumur di bawah 6-8 bulan. Anda dinasihati berjumpa dengan pakar pediatrik anak anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai vaksin ini.

Bagi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa yang tidak mungkin mendapat simptom teruk jangkitan rotavirus, membasuh tangan dengan kerap adalah perlindungan yang paling berkesan.

Cirit-birit adalah masalah yang boleh dicegah dengan mudah. Persediaan dan penyimpanan makanan dengan cara yang bersih serta persekitaran yang sentiasa dijaga bersih boleh menghindarkan masalah perut. Vaksinasi juga adalah kaedah tambahan dalam menjamin kesihatan usus anak anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen