Pengasuhan Positif

Selamat Tinggal Jerawat

Baligh dan jerawat memang bergandingan dan sembilan daripada 10 remaja (tanpa mengira bangsa) akan mengalami jerawat sepanjang tempoh keremajaan mereka. Jerawat didefinasikan sebagai masalah kulit yang terjadi dalam beberapa bentuk bonjolan, termasuk jerawat hitam, jerawat putih, jerawat, atau sista.

Penyebab Jerawat

Punca utama jerawat remaja adalah hormon. Semasa baligh, tubuh anak remaja anda mula menghasilkan hormon-hormon yang dipanggil androgen yang menyebabkan jerawat, yang lazimnya tumbuh di muka, leher, bahu, bahagian belakang, dan dada.

Apabila terdapat hormon-hormon yang berlebihan, kelenjar sebum (kelenjar minyak) kulitnya menjadi lebih aktif. Ia bercampur dengan sel kulit mati dan bergumpal serta menjadi palam yang melekit lalu mengakibatkan jerawat. Ini memerangkap minyak dan bakteria dan menyebabkan keradangan. Apabila ini berlaku, sel darah putih terkumpul di bahagian kulit tersebut dan mengakibatkan jerawat putih.

acne-girl-thinking

Selain daripada paras hormon yang berubah-ubah, penyebab jerawat remaja termasuklah penjagaan kulit yang tidak sempurna, alahan makanan, ketidakseimbangan pemakanan, dan keturunan. Berita baiknya, bagi kebanyakan orang, jerawat akan hilang hampir sepenuhnya apabila mereka melepasi umur remaja.

Mitos-Mitos Mengenai Jerawat

Terdapat beberapa mitos mengenai punca jerawat — seperti mitos yang mengatakan pengambilan coklat boleh menyebabkan jerawat. Namun, sesetengah orang mendapati bahawa serangan jerawat mereka semakin teruk jika mereka mengambil sesuatu makanan secara berlebihan. Jika anda salah seorang daripada mereka, cuba perhatikan apa yang terjadi jika anda berhenti atau mengurangkan pengambilan makanan tersebut.

Mitos lain adalah mengenai cara untuk merawat jerawat. Cahaya matahari tidak dapat mengurangkan jerawat. Walaupun berjemur di bawah matahari boleh membuat jerawat tidak kelihatan begitu teruk buat sementara waktu, ia tidak membantu untuk terus melenyapkannya — dan sesetengah orang mendapati minyak yang dihasilkan kulit mereka selepas berjemur di bawah matahari membuatkan jerawat mereka menjadi semakin teruk.

acne-boy-mirror

Pencegahan & Rawatan Jerawat

Anak remaja anda boleh mengawal dan memperbaiki rupa kulitnya. Berikut adalah beberapa petua yang boleh membantu menghilangkan jerawat yang ada sambil mencegah serangan akan datang:

  • Jangan cungkil! Jika anak anda melihat cermin dan ternampak jerawat, dia tidak seharusnya menyentuh, memicit, atau mencungkilnya. Ini mungkin sukar untuk dilakukan kerana dia akan mudah tergoda untuk membuangnya. Tetapi apabila dia mengusik jerawatnya, keradangan boleh menjadi lebih teruk. Ia juga boleh meninggalkan parut halus yang kekal di mukanya.
  • Pastikan kaedah penjagaan kulit yang sempurna. Ia membantu mencegah serangan dan mengekalkan kulit yang sihat. Jangan guna produk-produk jerawat yang keras yang boleh menyebabkan kulitnya menjadi terlalu kering dan merengsakannya, kerana ini akan mencetuskan kelenjar untuk menghasilkan lebih banyak minyak dan mengakibatkan lebih banyak jerawat.
  • Jangan tidur dengan mekap. Bersihkan mekap sebelum tidur untuk mencegah liang-liang daripada tersumbat dan serangan jerawat akan datang.
  • Guna mekap yang sesuai. Sebaik-baiknya, remaja seharusnya mengelak daripada menggunakan mekap tetapi jika dia mengunakan sahap noda untuk menutup parut, pilih krim yang mengandungi bahan seperti Asid Salisilik yang membantu untuk menyahjangkit sambil menutupnya.
  • Kerap membasuh sarung bantal. Ia membantu mencegah jerawat dengan memastikan tiada kuman dan bakteria terkumpul di atasnya.
  • Berlembut. Selepas membasuh muka, lap dengan lembut menggunakan tuala yang bersih dan jangan gosok sehingga kering. Menggosok kulit akan merengsakan kulitnya dan menyebabkan serangan bertambah.
  • Mandi! Selepas bersukan, peluh dan minyak akan mendap di atas permukaan kulit dan memerangkap kotoran dan bakteria di dalam liangliang kulitnya.
  • Jaga kebersihan rambut dan jauhkan dari muka. Rambut yang panjang atau jambul pepat dan memakai topi atau skarf bandana terlalu kerap boleh membuat jerawat merebak.

Melawan Serangan Jerawat

Adakalanya, penjagaan kebersihan yang sempurna tidak dapat mencegah jerawat. Membasuh muka dengan sempurna atau menggunakan losyen-losyen serta mekap tanpa minyak pun tidak dapat menjaminnya. Ramai remaja perempuan mendapati jerawat keluar beberapa hari sebelum kedatangan haid. Ini dipanggil jerawat prahaid yang disebabkan oleh perubahan hormon di dalam tubuh dan dianggar tujuh daripada 10 wanita mengalaminya.

Jika anak remaja anda mengalami masalah ini, tenangkan dia dan beritahu bahawa pada umurnya, dia tidak keseorangan dengan masalah ini. Galakkan dia untuk berbincang dengan anda atau rakan-rakan mengenainya. Adakalanya, berbicara mengenainya dapat membantu mengurangkan tekanan.

Juga, anda mungkin ingin membawa dia berjumpa dengan pakar pediatrik atau doktor keluarga anda kerana mereka boleh merawat jerawat dengan menggunakan ubat-ubatan. Bergantung kepada jerawat seseorang, ia mungkin memerlukan penggunaan krim preskripsi untuk mencegah pembentukkan jerawat, pengambilan antibiotik untuk membunuh bakteria yang menyebabkan jerawat atau pembedahan kecil. Adakala rujukan kepada pakar kulit pediatrik perlu dilakukan.

Amat penting untuk anda meyakinkan anak remaja anda bahawa jerawat bukanlah sesuatu yang mustahil diatasi. Ia adalah masalah biasa, dan walaupun keterukan dan jenisnya berbeza, kini terdapat banyak cara rawatan yang lebih baik bagi jerawat. Daripada membiarkan anak remaja anda menderita dengan senyap, galakkan dia untuk mendapatkan sokongan dan rawatan yang ada agar dia dapat mengurangkan kesengsaraan dan melupakannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen