Pengasuhan Positif

Pengabaian Emosi: Masalah Yang Tersembunyi

Menurut Sistem Data Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak Kebangsaan, pengabaian adalah “sejenis penganiayaan yang merujuk kepada kegagalan oleh penjaga untuk menyediakan keperluan, penjagaan yang bersesuaian walaupun berkemampuan atau menerima bantuan kewangan atau sebab-sebab lain untuk berbuat demikian”. Biasanya, ia boleh dikaitkan dengan corak penjagaan yang tidak mencukupi yang konsisten dan nyata pada mereka yang rapat dengan kanak-kanak terabai ini.

Terdapat empat jenis pengabaian iaitu pengabaian fizikal (kegagalan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, minuman dan pakaian), pengabaian perubatan (kegagalan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan asas bagi kanak-kanak seperti memastikan mereka menerima imunisasi wajib atau membawa mereka berjumpa doktor apabila sakit), pengabaian pendidikan (kegagalan untuk mendidik dengan menghantar mereka ke sekolah atau membenarkan mereka ponteng sekolah tanpa sebab) dan pengabaian emosi (kegagalan untuk memberi sokongan emosi termasuklah memberi layanan mesra, kasih sayang dan galakan kepada mereka. Ini termasuk keengganan untuk memegang/menyentuh, menghina atau mengasingkan mereka daripada rakan-rakan dan ahli keluarga).

Daripada empat jenis pengabaian tersebut, pengabaian emosi adalah selalunya yang paling sukar untuk dikenal pasti dan sering dilaporkan sebagai satu bentuk pengabaian sekunder. Walau bagaimanapun, ia adalah masalah yang sangat relevan dalam masyarakat moden. Mengabaikan keperluan perangsangan mental anak kecil dan kegagalan untuk memelihara mereka semasa membesar boleh mengakibatkan kelewatan terhadap perkembangan mental / kognitif mereka. Dalam jangka masa panjang, kanak-kanak yang mengalami pengabaian emosi akan mempunyai imej diri yang rendah yang boleh membawa kepada penyalahgunaan alkohol / dadah, tingkah laku yang memberontak dan juga bunuh diri.

Takrifan Penderaan dan Pengabaian Kanak-kanak

daripada Dr Anjli Doshi-Gandhi, Deputy Director General (Policy), National Population and Family Development Board (LPPKN)

“Penderaan” dan “pengabaian” adalah istilah yang sering digunakan silih berganti. Walau bagaimanapun, istilah-istilah ini mewakili dua jenis penganiayaan yang berbeza – penderaan berlaku apabila seseorang bertindak terhadap kanak-kanak (contohnya penderaan fizikal) manakala pengabaian berlaku apabila seseorang gagal bertindak untuk kanak-kanak (contohnya meninggalkan kanak-kanak di rumah tanpa jagaan).

Walaupun mentakrifkan penderaan emosi and pengabaian adalah rumit dan tidak tepat, kebanyakan ahli profesional bersetuju bahawa sikap negatif atau tindakan sekali-sekala oleh ibu bapa tidak akan memberikan kesan berbahaya atau kekal pada kanak-kanak. Kedua-dua penderaan dan pengabaian emosi adalah berdasarkan corak yang berterusan dan kronik.

Sebab-sebab pengabaian emosi

Terdapat banyak sebab mengapa pengabaian emosi boleh berlaku. Ini termasuk:

  • Ibu bapa yang sibuk – Ibu bapa yang bekerja sering tidak mempunyai masa untuk anak-anak mereka (contohnya bercakap atau bermain dengan mereka). Sesetengah ibu bapa mungkin berasa terbeban dengan kerja atau tekanan sehingga mereka mula mengabaikan anak mereka secara emosi. Sesetengah ibu bapa mungkin akan mengasingkan diri mereka daripada anak-anak atau tidak mampu untuk berinteraksi dengan mereka. Adalah penting untuk mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga bagi mengelakkan anak anda daripada terabai.
  • Struktur keluarga – Jika anda seorang ibu atau bapa tunggal, anda mungkin akan mendapati ia adalah satu kesukaran untuk berhubung dengan anak anda secara emosi sementara anda sibuk dengan permintaan di tempat kerja. Pada masa yang sama, ibu bapa dengan keluarga yang besar (katakan anda mempunyai tujuh orang anak) mungkin akan berasa sukar untuk berhubung secara emosi dengan setiap seorang daripada anak-anak mereka.
  • Isu-isu kesihatan mental – Isu-isu kesihatan mental boleh menjejaskan cara ibu bapa menjaga atau bertindak balas terhadap keperluan anak mereka. Mereka mungkin tidak dapat berinteraksi dengan anak-anak sekali gus mengabaikan keperluan emosi mereka. Sesetengah ibu bapa yang menjalani kehidupan yang tidak teratur boleh menyebabkan rumah tangga menjadi huru-hara. Ini boleh menjejaskan emosi anak-anak mereka dalam jangka masa panjang.
  • Sejarah diri ibu bapa – Ibu bapa yang pernah mengalami pengabaian emosi ketika kanak-kanak cenderung untuk kurang berempati dan lebih mudah mengabaikan emosi anak-anak mereka sendiri. Mereka tidak boleh memberi tindak balas kepada anak-anak atau tidak dapat mewujudkan hubungan yang bermakna dengan mereka. Kekurangan kasih sayang dan keakraban semasa zaman kanak-kanak boleh membuatkan mereka tidak mampu atau tidak mahu memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi untuk anak-anak mereka.
  • Jangkaan yang tidak bersesuaian terhadap anak-anak
    mereka
    – Sesetengah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berkelakuan dalam cara yang tertentu atau memenuhi piawaian tertentu (sama ada dalam tingkah laku atau di sekolah). Apabila anak-anak mereka tidak mencapai “piawaian’” tersebut, mereka akan disisihkan secara emosi.

Pengabaian emosi boleh memberi kesan yang signifikan kepada perkembangan mental dan tingkah laku anak-anak anda. Adalah penting untuk anda mengenal pasti gejala-gejala pengabaian emosi ini supaya anak anda membesar dan menjadi individu yang sihat dan gembira.

Apakah Kesan-kesan daripada Pengabaian Emosi?

daripada Dr Yen Teck Hoe, Consultant Psychiatrist

13950003

Seorang bayi yang kekurangan penjagaan asas daripada segi emosi boleh membentuk rasa diri yang lemah walaupun mereka telah dijaga dengan baik secara fizikal. Mereka boleh membesar menjadi seorang kanak-kanak yang gelisah dan berasa tidak yakin dengan harga diri yang rendah.

Selalunya, kanak-kanak yang telah mengalami pengabaian emosi akan membesar dengan memikirkan bahawa mereka tidak layak atau serba kekurangan. Oleh kerana ini, mereka akan menghadapi kesukaran dalam berkawan atau mematuhi peraturan sekolah. Mereka boleh mengalami kalambatan dari segi percakapan dan kemahiran bahasa dan pencapaian akademik mereka mungkin lebih lemah berbanding dengan rakan-rakannya yang gembira.

Hari ini, kanak-kanak yang merasakan emosi mereka diabaikan di rumah akan beralih kepada rangkaian laman sosial (seperti Facebook, Instagram atau Twitter) untuk mendapatkan perhatian dan interaksi sosial yang diidamkan. Ini membahayakan kerana terdapat banyak pemangsa kanak-kanak dalam dunia siber. Ini juga mendedahkan mereka kepada pembulian siber.

Tanda-tanda dan gejala- gejala pengabaian emosi

Tanda-tanda dan gejala-gejala pengabaian emosi sering dapat dilihat dalam permasalahan atau corak tingkah laku sosial yang bermasalah. Ini termasuk:

  • Kegelisahan atau kemurungan
  • Tingkah laku yang memberontak seperti:

    – Mencetuskan rasa marah

    – Serangan fizikal

    – Penggunaan dadah/alkohol

    – Selalu menipu

    – Memusnahkan harta benda

  • Ketakutan/fobia yang berlebihan
  • Kurangan menjaga kebersihan diri
  • Makan berlebihan/tabiat/corak makan yang
    tidak normal
  • Mencuri atau menyorokkan makanan
  • Kurang kawalan diri
  • Enggan mengikut peraturan
  • Kencing atau buang air besar dengan tidak sengaja
  • Mengambil risiko yang terlampau
  • Melarikan diri
  • Kurang hubungan mata
  • Tindak balas mengejut yang berlebihan
  • Mengigau
  • Kecenderungan atau terfikir untuk membunuh diri

Penglibatan emosi

Adalah penting untuk berhubung dengan anak anda secara emosi. Berikut adalah beberapa tip untuk membantu anda bermula:

  • Beri tumpuan kepada anak anda – Dengar apa yang diperkatakan mereka apabila mereka bercakap dengan anda. Pastikan anda memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Sekiranya anda sibuk, ambil sedikit masa untuk menjelaskan mengapa anda tidak boleh memberi sepenuh perhatian pada masa tersebut kepada mereka.
  • Mengasuh anak anda bersama-sama – Menjaga anak adalah tanggungjawab bersama. Jika anda merasakan bahawa pasangan anda tidak menjalankan tugas sebagai ibu atau bapa, bercakap dan berbincanglah mengenai bagaimana anda boleh bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membina keluarga yang seimbang dan emosi yang stabil.
  • Jangan takut untuk meminta maaf – Ada kalanya, anda mungkin melakukan atau mengatakan sesuatu yang menyakiti perasaan anak anda. Apabila ini terjadi, lakukan perkara yang betul dengan meminta maaf kepada mereka. Ini akan mengajar mereka untuk bertanggungjawab atas kesilapannya.
  • Bersikap realistik dalam jangkaan anda – Mempunyai jangkaan yang realistik terhadap apa yang anak anda boleh atau tidak boleh kendalikan akan membantu anda menentukan berapa banyak penjagaan dan pengawasan yang diperlukan mereka.
  • Memuji anak anda – Jangan kedekut untuk memberi pujian apabila mereka melakukan sesuatu yang baik seperti mengemas katil sendiri atau berkelakuan baik semasa bersiar-siar bersama anda. Lebih penting lagi, pastikan pujian anda jujur dan tulus ikhlas.
  • Berbincang dengan ibu bapa lain – Jangan malu untuk mendapatkan tip-tip atau bertukar-tukar nota dengan ibu bapa lain. Kelas-kelas pengasuhan, seminar-seminar atau buku-buku panduan boleh membantu anda menangani tuntutan dan cabaran sebagai ibu bapa dengan lebih baik. Anda juga boleh berunding dengan pakar psikiatri kanak-kanak untuk mengenali lebih lanjut mengenai anak anda.

Membentuk Individu Sihat

daripada Datuk Dr Zulkifli Ismail, Consultant Paediatrician & Paediatric Cardiologist

6456345

Sebagai ibu bapa, ada masanya kita menjauhkan diri secara emosi daripada anak-anak. Kita semua akan berasa marah, sedih atau tertekan dan semua ini boleh menyebabkan kita menjadi renggang atau terputus hubungan dengan orang-orang di sekeliling kita. Sepanjang perjalanan, kita akan mendapati diri kita terhanyut jauh daripada orang tersayang terutamanya anak-anak kita yang tidak dapat memahami perasaan atau kekecewaan kita pada usia muda mereka.

Ini tidak menjadikan kita ibu bapa yang tidak baik. Kita juga adalah manusia. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk sentiasa beringat bahawa kita memainkan peranan penting dalam memperkayakan kesejahteraan mental dan emosi anak-anak kita selain daripada menyediakan penjagaan fizikal yang diperlukan oleh tubuh kecil mereka.

Membentuk hubungan emosi yang rapat dengan anak anda akan membuatkan mereka rasa disayangi dan diperlukan. Ini akan membantu meningkatkan harga diri yang sihat dalam jangka masa panjang. Kanak-kanak yang gembira juga akan lebih mudah untuk membentuk kemahiran sosial dan interaktif yang baik yang akan membolehkan mereka mengharungi sebarang keadaan sosial dengan mudah.

Kanak-kanak yang mempunyai hubungan sosial yang baik akan kurang cenderung untuk memiliki tabiat yang tidak sihat seperti melibatkan diri dalam tingkah laku yang memberontak atau narsisitik sama ada dalam kehidupan sebenar atau melalui rangkaian laman sosial untuk menarik perhatian anda.

Ingatlah, seorang anak yang gembira adalah anak yang sihat. Kasih sayang anda akan dapat membantu memastikan mereka membesar menjadi individu yang sihat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen