Seperti kebanyakan ibu bapa, anda mahu anak anda mengambil makanan yang berkhasiat agar membesar dengan sihat dan sempurna. Untuk itu, anda bertanggungjawab untuk menyediakan pilihan makanan yang sihat untuknya. Langkah pertama ialah merancang apa yang anda ingin berikan kepada anak anda. Dengan cara ini, anda boleh menggunakan kebijaksanaan apabila anda membeli barang keperluan dapur. Untuk menyenangkan lagi tugas anda, buat rancangan seminggu lebih awal supaya anda tahu apa yang perlu dibeli. Ini akan memudahkan anda memenuhi keperluan pemakanan si manja dan menguruskan perbelanjaan untuk belibelah anda. Cadangan berikut dapat membantu anda:
- Ketahui Apa Yang Diperlukan. Ambil tahu keperluan pemakanan si manja anda. Pastikan diet si manja mengandungi cukup bekalan bijirin, ubi-ubian, sayuran, buah-buahan, daging dan susu.
- Pilih Dengan Betul. Sebaik-baiknya, pilih makanan yang segar. Lihat rupa bahan makanan yang anda beli. Jika warnanya kekuningan atau keadaannya lebam, jangan membelinya. Anda boleh beli makanan diproses agar menyenangkan tugas jika anda sibuk, tetapi pilih yang lebih sihat. Sebagai contoh, jika membeli tuna dalam tin, cari tuna yang ditinkan dalam air atau air garam, bukan minyak. Anak anda tidak perlu mengambil minyak tambahan daripada produk makanan yang anda beli. Belajar membaca label supaya anda tahu ramuan yang terkandung di dalamnya.
- Terus Pulang Ke Rumah. Jika anda menghabiskan satu jam lagi di kompleks beli-belah selepas meletakkan barang keperluan dapur yang anda beli dalam but kereta, tentulah ia tidak segar lagi bila sampai ke rumah. Jika anda merancang untuk menonton filem atau makan malam, pastikan anda membeli barang keperluan dapur sejurus sebelum anda pulang.
Apa yang Patut Anda Cari Bila Membeli Barang Makanan | |
---|---|
Buah-buahan dan sayuran. Pilih buah-buahan dan sayuran aneka warna untuk memanfaatkan kesegaran dan kepelbagaiannya. Roti, bijirin dan pasta. Pilih makanan yang paling kurang diproses, seperti emping oat biasa, bukan emping oat segera. Ingatlah, kurang gula, lebih baik. |
Daging, ikan dan ayam. Pilih daging tanpa lemak dan ayam tanpa kulit. Anda boleh minta penjual daging atau ayam membuang lemak dan kulit untuk anda. Hadkan jumlah pengambilan daging. Makanan tin dan makanan kering. Pilih sayuran tanpa garam tambahan. Cari makanan yang ditinkan dalam air. |
Bawa Si Manja Bersama | |
---|---|
Sebaik-baiknya, bawa anak anda bersama bila anda pergi membeli-belah untuk bahan makanan. Ingat petua ini semasa anak anda mengikut anda. Perkenalkan anak anda kepada dunia makanan. Dengan cara ini, si manja tahu apa yang ada di luar sana dan apa yang baik untuknya. |
Biarkan si manja buat pilihan yang sihat. Sebagai contoh, biarkan si manja pilih satu daripada tiga jenis buah buahan supaya dia boleh memilih buah kegemarannya. Dapatkan cadangannya bila merancang senarai beli-belah. Si manja boleh belajar sebab dia perlu membuat pilihan yang sihat dan cara penyediaannya. |
Komen