Apa Label Pemakanan atau Panel Maklumat Pemakanan (NIP)?
NIP adalah panel yang terdapat di belakang atau tepi kotak makanan yang telah dibungkus, yang memberikan maklumat terperinci tentang kandungan pemakanan produk.
Mengapa Label ini Penting?
- Memberitahu kita tentang kandungan nutrien dalam makanan yang kita ingin beli.
- Membantu kita membuat pilihan makanan yang betul, dengan mengambil kira keperluan tenaga dan nutrien (zat makanan) kita.
- Membolehkan kita membuat perbandingan antara produk sama daripada jenama lain.
Apa yang Anda Perlu Cari pada Label?
MAKLUMAT PEMAKANAN | ||
---|---|---|
Saiz hidangan: 5 keping (20g) Jumlah hidangan setiap paket: 5 |
||
Nutrien | Setiap 100g | Setiap hidangan (20g) |
Tenaga, kcal | 525 | 105 |
Karbohidrat, g | 56.2 | 11.2 |
Protein, g | 8.0 | 1.6 |
Lemak, g | 29.8 | 6 |
- Saiz sajian. Biasanya ini adalah jumlah yang dimakan pada satu masa. Dalam contoh ini, saiz sajian yang dicadangkan ialah 5 keping atau 20 gram.
- Hidangan setiap bungkusan. Ini menunjukkan bilangan hidangan yang terdapat dalam satu paket produk makanan. Dalam contoh ini, setiap paket mengandungi 5 hidangan makanan.
- Senarai nutrien. Senarai ini menunjukkan tenaga, protein, karbohidrat dan lemak yang diperakui dalam NIP. Vitamin, mineral dan serat mungkin disenaraikan. Pilih makanan dengan protein lebih tinggi dan juga kaya dengan kalsium, zat besi dan vitamin untuk anak anda. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan garam.
- Jumlah nutrien. Ruangan ini menyenaraikan jumlah tenaga dan nutrien yang terkandung dalam setiap 100g atau 100ml produk makanan. Jika anda ingin membandingkan nilai pemakanan sesuatu produk dengan produk lain yang sama jenisnya, anda mesti membuat perbandingan berasaskan 100g atau 100ml.
- Jumlah nutrien setiap hidangan. Angka dalam ruangan ini menunjukkan jumlah tenaga dan nutrien yang anak anda peroleh jika mereka mengambil satu sajian makanan ini. Jika mereka mengambil dua atau tiga sajian, jumlah nutrien dan tenaga akan digandakan.
Buat pilihan berasaskan kandungan nutrien keseluruhan, dan bukan hanya satu atau dua nutrien yang dipaparkan pada NIP. Ia juga penting untuk mengetahui berapa banyak nutrien dan tenaga yang diperlukan oleh anak anda untuk membantu anda membuat pilihan yang terbaik dan paling sihat untuk mereka. Amalkan tabiat membaca label pemakanan apabila anda membeli barang keperluan dapur, khususnya makanan berbungkus. Lama-kelamaan, anda akan dapat menggunakan kemahiran ini untuk merancang diet yang seimbang dan sihat untuk seisi keluarga anda!
Komen