Pengasuhan Positif

Diet Untuk Pembelajar

Kanak-kanak mula meneroka dunia pada usia yang awal, dan bagi mereka, ia merupakan satu proses pembelajaran yang spontan. Ramai yang tidak sedar bahawa apa yang dimakan oleh kanakkanak sebenarnya akan menyumbang kepada keberkesanan proses pembelajaran. Oleh itu, memberi anak anda pemakanan yang sesuai boleh meningkatkan keupayaan pembelajarannya.

Menyokong Perkembangan Otak

Otak kanak-kanak merupakan aset yang penting untuk pembelajaran. Pada tahap tumbesaran awal, kebolehan si manja untuk belajar bergantung kepada perkembangan otaknya. Maka, penting untuk ibubapa bekalkan pemakanan yang baik pada tahap tumbesaran ini bagi membantu perkembangan otak.

  • Otak terdiri daripada empat jenis lemak perlu yang khusus (dikenali sebagai arachidonic acid (AA), docosahexaenoic acid (DHA), eicosapentaenoic acid (EPA) dan dihomo-gamma-linolenic acid (DGLA)) yang amat penting untuk kecerdikan dan tingkah laku. Ia akan kekal penting seumur hidup, jadi tingkatkan paras lemak-lemak ini mulai dari sekarang.
  • Zat besi juga memainkan beberapa peranan yang penting dalam perkembangan otak, di mana salah satu daripadanya adalah penghasilan neurotransmitter.

Perkembangan Daya Penumpuan (Konsentrasi)

Mengekalkan daya penumpuan diperlukan bagi memaksimumkan kebolehannya untuk belajar. Namun demikian, mereka sering resah dan mempunyai jangkamasa perhatian yang pendek. Apabila paras glukosa darah naik turun, ini mungkin menyukarkan mereka untuk duduk diam secara fizikal. Pastikan anda merancang pengambilan makanannya untuk membantunya menumpu perhatian lebih lama.

  • Hidangkan sarapan pagi yang berkhasiat dan rendah glisemia (gula) untuk memulakan pagi dengan baik. Ini membantu mengekalkan paras glukosa darah yang sekata.
  • Elakkan pengambilan gula ringkas (seperti gula-gula) yang berlebihan kerana ia akan meningkatkan paras glukosanya.

Tiada Lagi Kehilangan Tidur

Kanak-kanak yang bersekolah perlu tidur antara 9-12 jam. Otak akan membina sambungan neuron semasa tidur dan proses inilah yang meningkatkan pembelajaran. Tanpa tidur yang mencukupi, mereka mungkin sukar menumpukan perhatian di dalam kelas dan mungkin akan naik angin dan rasa jengkel. Ini akan mengurangkan kesediaannya untuk belajar. Lagipun, kekurangan tidur akan menjejaskan tumbesaran dan mempunyai kesan negatif ke atas sistem imunnya.

  • Pastikan dia mengambil makanan yang mengandungi triptofan yang tinggi. Triptofan adalah sejenis bahan yang menggalakkan tidur dan lazimnya terdapat dalam makanan berasaskan protein.
  • Makanan yang mengandungi banyak gula akan mengganggu tidurnya.

Menghindar Kesugulan

Mood si manja memainkan peranan dalam kebolehannya untuk belajar. Rasa bosan, marah atau sedih mungkin akan menghadkan peluangnya untuk belajar secara efektif. Apa yang dia makan juga boleh mempengaruhi perasaannya.

  • Vitamin B dan asid folik terlibat dalam suatu proses biokimia yang penting dalam mengimbang neurotransmitter yang memastikan si manja kekal bermotivasi dan gembira.
  • Pengambilan lemak omega-3 akan meningkatkan penghantaran serotonin (neurotransmitter yang mengawal mood) ke otak.
  • Zink dan magnesium membantu mententeramkan minda dan meregangkan otot.

Mempertahankan Sistem Imun

Adalah penting untuk memastikan sistem imun anak anda sentiasa sihat. Si manja yang sakit biasanya tidak dapat belajar dengan baik, dan yang sihat akan meneroka dan belajar dengan bebas dan membolehkannya memperolehi pengalaman yang lebih banyak. Oleh itu, pemakanan yang baik adalah penting untuk meningkatkan sistem imunnya.

  • Mulakan dari awal dengan menyusu anak anda dengan susu ibu. Selain daripada mengandungi antibodi daripada ibu, susu ibu juga mengandungi paras antioksidan yang tinggi dalam bentuk vitamin E dan beta-karotena.
  • Terus tingkatkan keimunannya di kemudian hari dengan memberi si manja diet yang kaya dengan vitamin-vitamin antioksidan terutama sekali daripada buah-buahan dan sayuran jenis yang berwarna hijau tua, merah, kuning dan jingga.

Pengambilan nutrien daripada sumber makanan asli adalah terbaik. Makanan tambahan seperti suplemen sebenarnya bukan suatu keperluan dengan adanya pelbagai jenis makanan untuk membekalkan nutrien tersebut!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen