Pengasuhan Positif

Takut Bila Malam

Mimpi buruk yang menakutkan boleh mengganggu sesiapa sahaja dan biasa berlaku pada zaman kanak-kanak. Mimpi buruk turut membimbangkan ibu bapa kerana ia mengganggu tidur anak. Persatuan Psikiatrik Amerika melaporkan bahawa 50% kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun mengigau yang teruk sehingga membimbangkan ibu bapa mereka. Namun begitu, sebelum membuat kesimpulan bahawa igauan anak anda adalah tanda yang menunjukkan mereka mengalami masalah psikologi yang teruk, teruskan membaca untuk mengetahui bagaimana anda boleh mengurangkan mimpi buruk anak anda.

Mimpi yang Menakutkan

Anak kerapkali mengigau pada akhir kitaran tidur atau pada awal pagi (antara 4 hingga 6 pagi). Ini adalah peringkat tidur REM atau “Tidur Mimpi” biasanya berlaku.

Igauan dikaitkan dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Sebagai contoh, kanak-kanak yang baru bertatih mungkin bermimpi dipisahkan daripada ibu bapa mereka, manakala kanak-kanak tadika pula mungkin bermimpi tentang hantu atau makhluk ganas. Dan yang bersekolah, mungkin bermimpi kematian atau sesuatu bahaya.

Apa yang Patut Dilakukan?

Anda tidak mungkin dapat menghalang si manja daripada mengigau, tetapi anda boleh mengurangkan kekerapannya mengigau. Cubalah langkah mudah ini untuk memastikan anda sekeluarga dapat tidur dengan tenang:

  • Berbual dengan si manja tentang mimpi buruk itu. Ini mungkin jalan penyelesaian yang terbaik. Mimpi buruk sering dikaitkan dengan kebimbangan dan pengalaman kurang menyenangkan yang dialami oleh kanak-kanak. Tekanan dan kebimbangan ini mungkin terbawa-bawa sehingga ke waktu malam, dan mengganggu tidur mereka. Oleh itu, luangkan masa untuk berbual dengan si manja anda setiap hari. Jelaskan tentang perkara yang merisaukannya supaya si manja boleh merasa tenteram dan tidak membiarkan imaginasinya menguasai perasaan.
  • Tetapkan rutin waktu tidur yang positif. Ini bermakna menyuruh anak anda tidur dan bangun pada waktu yang sama setiap hari. Pastikan juga anak anda tidak melakukan sebarang aktiviti yang lasak sebelum waktu tidur. Sebaliknya, biasakan si manja melakukan sesuatu yang menenangkan (seperti membaca buku cerita) sebelum anda menidurkannya. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan kekerapan mimpi buruk, malah membantu si manja bersedia dan tidur lebih cepat.
  • Gunakan lampu tidur. Kegelapan boleh menakutkan, lebihlebih lagi bagi anak-anak kecil. Penggunaan lampu tidur dapat mencegah si manja daripada memikirkan tentang perkara yang menakutkan sebelum tidur. Tambahan lagi, jika si manja terjaga daripada tidur disebabkan mimpi buruk, lampu tidur dapat menenangkan perasaannya, membolehkannya tidur semula kerana si manja tahu persekitaran biliknya adalah selamat.
  • Jaga pemakanannya. Apa yang dimakan oleh si manja anda boleh mempengaruhi kualiti tidurnya. Elakkan makanan dan snek yang mengandungi kafeina, gula dan karbohidrat yang tinggi sebelum waktu tidur kerana bahan tersebut merangsang otak. Snek sebelum tidur yang terbaik (jika mahu) adalah segelas susu suam tanpa gula atau coklat. Susu mengandungi triptofan, bahan yang menggalakkan tidur.
Mimpi yang Berulangan

Menurut hasil kajian, kekerapan mengigau berlainan di kalangan kanak-kanak. Sesetengah hanya mengigau beberapa kali dalam masa setahun, manakala 25% kanak-kanak mengalami sekurang-kurangnya satu mimpi buruk dalam seminggu. Jika anak anda terus dikejutkan oleh mimpi buruk lebih kerap daripada itu, atau menunjukkan kelakuan tidak menentu semasa tidur (menjerit, berpeluh, cemas, anak mata membesar, sukar dikejutkan), anda perlu mendapatkan nasihat profesional kerana ia mungkin bukan disebabkan mengigau biasa.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen