Pengasuhan Positif

Semakin Montel … Dan Bulat?

Kadar obesiti kanak-kanak telah semakin meningkat dan membimbangkan. Obesiti merupakan masalah pemakanan paling lazim di dunia. Obesiti kanak-kanak telah dikaitkan dengan beberapa masalah kesihatan yang berlanjutan hingga ke zaman remaja, dan merupakan faktor risiko awal untuk morbiditi dan kematian orang dewasa.

Apakah Punca Obesiti Kanakkanak?

Faktor keturunan mungkin merupakan salah satu daripada punca tersebut. Tetapi kini dengan lebih ramai kanak-kanak yang kurang meluangkan masa untuk lebih aktif dan menghabiskan lebih masa di depan televisyen atau komputer, tidak hairanlah bilangan kanakkanak berlebihan berat badan meningkat pada kadar yang membimbangkan. Ibu bapa yang sibuk kurang mempunyai masa untuk menyediakan sajian makanan yang seimbang dan berkhasiat untuk keluarga mereka, serta terlalu bergantung kepada makanan segera dan alternatif tidak sihat lain yang banyak mengandungi gula, garam dan kalori kosong.

Gaya Hidup Tidak Sihat Mengundang Penyakit

Kanak-kanak berlebihan berat badan lebih berisiko untuk mendapat penyakit kronik di masa depan seperti diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi – yang sebelum ini dianggap penyakit orang dewasa. Dengan tabiat makan dan gaya hidup sedentari, kesihatan kanak-kanak dan juga kualiti hidup masa depan sudah tentunya akan terjejas. Ada juga yang mungkin mengalami masalah psikologi, seperti kemurungan, gangguan makan, dan ada kalanya, penyalahgunaan bahan (dadah).

Mengapakah ini Berlaku?

Kemudahan makanan tersedia siap bungkus dan makanan segera sememangnya mengurangkan beban ibu bapa yang bekerja. Namun, ramai ibu bapa kurang tahu tentang kandungan produk makanan ini. Kebanyakannya mungkin mengandungi gula, lemak tepu dan garam yang tinggi. Ibu bapa perlu membaca bahan ramuan yang tertera pada label. Gula termasuk gula melaka, sirap dan susu pekat manis, sementara garam pula termasuk natrium klorida, kicap dan MSG. Makanan terproses biasanya mengandungi banyak garam (atau pengawet) supaya tahan lebih lama.

Angka Besar!

Menurut kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, jumlah kanak-kanak berlebihan berat badan telah meningkat daripada 11.0% pada tahun 2001/02 kepada 12.8% pada tahun 2007/08. Manakala jumlah yang obes pula telah meningkat daripada 9.7% pada tahun 2001/02 kepada 13.7% pada tahun 2007/08. Lebih ramai kanak-kanak perempuan (13%) yang berlebihan berat badan manakala kanakkanak lelaki (17.5%) pula lebih ramai yang obes.

Pengambilan makanan seperti snek (gula-gula, kerepek, coklat) dan hidangan makanan utama secara berlebihan, juga memainkan peranan dalam obesiti. Apabila makanan diambil melebihi saranan harian untuk kanak-kanak dan kekurangan aktiviti fizikal (lebih kurang 54.2% tidak bersukan di sekolah), kalori yang tidak digunakan akan disimpan di dalam badan sebagai lemak. Malah, kanak-kanak biasanya gemar makanan yang berkalori tinggi (seperti kek) dan makanan bergoreng.

Cara yang Sihat

Bantu anak anda yang berlebihan berat badan dengan tabiat makan sihat di rumah.

  • Seimbang, Sederhana, Pelbagai (Balance, Moderation, Variety). Pastikan hidangan utama ada keseimbangan semua kumpulan makanan mengikut piramid makanan, dalam saiz hidangan sederhana serta mempunyai kepelbagaian jenis makanan sepanjang hari.
  • Amalkan apa yang anda ajar. Pupuk tabiat makan yang baik dan gaya hidup aktif dalam keluarga anda. Anda adalah model contoh mereka dan dia akan meneladani tindakan anda.
  • Jangan bezakan layanan anak anda. Pekalah terhadap keperluan anak anda, kerana kanak-kanak yang berlebihan berat badan akan cenderung untuk bimbang tentang penampilan diri. Galakan dan sokongan keluarga adalah penting.
  • Pastikan dia aktif. Beri dia kerja rumah yang mudah seperti mengelap rak buku, menyapu atau membasuh kasut sekolahnya sendiri. Ini turut merupakan aktiviti fizikal dan secara tidak langsung akan mengajarnya tentang tanggungjawab.
  • Masa seronok keluarga. Jadikan hujung minggu waktu bersama keluarga dengan aktiviti seperti berenang dan berbasikal di taman. Lakukan aktiviti seronok lain yang mereka suka dan nantikan.

Cegahi obesiti kanak-kanak daripada awal ketika mereka masih kecil. Masih belum terlambat untuk bermula daripada sekarang. Amalkan BMV dan pupuk aktiviti fizikal di kalangan keluarga. Buat masa ini, dia mungkin belum sedar tentang kepentingan gaya hidup sihat, tetapi dengan menjadikannya aktiviti keluarga, anda akan menjaga kesihatannya dan kesihatan seluruh keluarga untuk kebaikan masa depan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen