Kita semua sedar bahawa pemakanan yang baik adalah penting untuk semua peringkat umur dan pada semua peringkat kehidupan. Terutamanya untuk bayi, anak-anak kecil dan kanak-kanak bertatih kerana mereka memerlukan pelbagai vitamin dan mineral yang seimbang untuk membantu tubuh dan minda berkembang dan menjadi matang.
Memberi anak anda pemakanan yang sihat dan seimbang dari kecil juga dapat melindungi mereka daripada masalah malpemakanan serta mewujudkan tabiat pemakanan yang baik di masa akan datang.
Kenapa pemakanan itu penting?
Jika anda inginkan tubuh dan minda yang sihat untuk anak anda, maka memahami pemakanan adalah perkara yang paling penting. Pemakanan yang baik boleh mengekalkan kesihatan mental dan fizikal anak anda serta untuk perkembangannya. Dietnya mesti mengandungi karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral yang mencukupi.
Membina tulang yang kuat
Pemakanan memainkan peranan yang penting dalam perkembangan tulang anak anda sepanjang hayat. Semasa tulang anak anda membentuk, begitu juga dengan ketinggiannya! Tulang adalah tisu yang hidup dan berkembang; zaman kanak-kanak dan awal remaja adalah masa yang terbaik untuk membina tulang. Pastikan pemakanan anak anda mengandungi jumlah kalsium dan vitamin D yang mencukupi. Nutrien-nutrien ini boleh didapati dalam susu dan produk tenusu seperti keju dan yogurt. Anda juga harus menggalakkan anak anda untuk mendapatkan cahaya matahari di luar rumah kerana matahari membekalkan vitamin D yang semula jadi.
Membina otot
Semasa anak anda membesar dan berkembang, dia akan menjadi semakin aktif. Kanak-kanak yang aktif memerlukan otot yang sihat untuk memastikan pergerakan selamat. Untuk membina dan membaiki tisu otot, berikan anak anda diet yang mengandungi protein yang mencukupi. Protein boleh didapati dalam daging tanpa lemak seperti daging, ayam dan ikan telur, keju, susu, kacang dan kekacang.
Tenaga untuk badan
Makanan yang anak anda makan akan membekalkan tenaga untuk keperluan tubuhnya. Karbohidrat merupakan sumber tenaga yang utama. Berikan anak anda karbohidrat kompleks yang bukan sahaja membekalkan tenaga tetapi juga serat, vitamin dan mineral. Contoh yang baik termasuk bijrin (sebaik-baiknya jenis bijirin penuh) seperti nasi perang, roti bijirin penuh, oat, bijirin sarapan, mi dan pasta.
Mencegah obesiti dan penyakit gaya hidup kronik!
Memberi anak anda makanan yang sihat dan seimbang dapat mencegah obesiti dan penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, kolesterol tinggi dan hipertensi, dan juga sesetengah kanser! Pelajari tentang saiz hidangan yang betul dari usia awal dan pengamalan pemakanan sihat dan seimbang akan membantu mengelakkan anak-anak anda daripada menjadi obes apabila dewasa. Berat badan yang berlebihan menyebabkan seseorang berisiko untuk menghidapi penyakit-penyakit ini dan juga mempunyai keyakinan diri yang rendah.
Makanan yang menyihatkan…
Pemakanan yang baik pada awal kehidupan kanak-kanak dikaitkan dengan prestasi yang lebih baik di sekolah serta di kemudian hari nanti. Kanak-kanak yang kekurangan nutrien mempunyai ketahanan atau imuniti yang lebih rendah untuk melawan jangkitan, kerana itu mereka lebih kerap jatuh sakit, tidak hadir ke sekolah, dan gagal melengkapkan kerja sekolah.
Sebagai ibu bapa, anda boleh membantu mencegah anak anda daripada masalah kekurangan nutrien dengan menyediakan makanan yang seimbang. Ingat, anda tidak memerlukan ijazah kimia atau perubatan untuk melakukannya. Anda hanya perlu bermula dengan memilih dan memasak makanan yang mengandungi nutrien penting yang diperlukan untuk pembesaran dan perkembangan anak anda. Gunakan Piramid Makanan Malaysia atau Panduan Diet Malaysia sebagai panduan untuk membantu anda.
Anda perlu ingat bahawa aktiviti fizikal juga penting untuk kesihatan fizikal dan psikologi anak anda yang menyeluruh. Galakkannya melakukan aktiviti seperti membantu anda di sekitar rumah, bermain bola, bermain kejar-kejar, atau berseronok di taman permainan. Kanak-kanak juga perlu melakukan aktiviti fizikal yang berintensiti sederhana seperti berbasikal, berenang atau mengambil bahagian dalam sukan seperti bola sepak, badminton atau bola keranjang sekurang-kurangnya 5-6 kali seminggu.
Hadkan tabiat tidak aktif dan sedentari seperti menonton television atau bermain permainan video. Kanak-kanak yang kerap bersenam atau mengekalkan aktiviti dalam tempoh lebih panjang atau lebih cergas akan mendapat lebih banyak manfaat kesihatan.
Jadi, galakkan anak anda mengamalkan tabiat makan dan gaya hidup yang sihat.
Nota: Jika anda mempunyai pertanyaan mengenai pemakanan untuk kanak-kanak atau kebimbangan yang spesifik tentang diet anak anda, berbincanglah dengan doktor anak anda, pakar pemakanan, atau pakar diet.
Komen