Pengasuhan Positif

Memupuk Imej Tubuh Yang Positif

Kecelaruan Cara Makan atau Eating Disorders (ED), seperti Anorexia Nervosa dan Bulimia Nervosa, semakin meningkat di negara maju dan juga negara membangun. ED, yang dahulunya dianggap sebagai fenomena “Barat”, kini lebih ketara di negara bukan Barat, termasuk Malaysia. Meskipun wanita lebih mudah mengalami gejala ED daripada lelaki, trend yang dapat dilihat baru-baru ini menunjukkan bahawa ED semakin menular di kalangan lelaki.

ED boleh dianggap sebagai masalah kronik dan memberi kesan fizikal, psikologi dan sosial yang menyusahkan penghidapnya dan penjaga mereka. Paling membimbangkan, kadar kematian akibat ED adalah antara yang paling tinggi di kalangan gangguan psikiatri yang lain. Justeru, kita perlu berusaha sedaya upaya untuk mencegah bermulanya ED.

Rasa Tidak Puas Hati Dengan Imej Tubuh

Rasa tidak puas hati adalah satu faktor risiko yang boleh menyebabkan gejala gangguan makan dan ia semakin menjadi satu fenomena biasa. Gangguan ini boleh bermula semasa kecil (ada kalanya seawal usia prasekolah), dan menjadi semakin ketara apabila remaja dan berlarutan hingga dewasa, disebabkan budak perempuan inginkan badan lebih kurus dan budak lelaki ingin menjadi lebih tegap sasa. Terdapat bukti kukuh yang menunjukkan bahawa mereka yang tidak puas hati dengan imej tubuh akan melakukan aktiviti (seperti berdiet) yang boleh mengubah rupa bentuk fizikal. Ini meletakkan mereka dalam risiko ED dan juga masalah lain seperti kemurungan.

Peranan Penting Ibu Bapa

Kanak-kanak mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat dan dengar. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa membina asas imej badan yang kukuh dan positif bagi anak mereka, supaya mereka mempunyai daya tahan untuk menentang pengaruh negatif yang boleh mencacatkan imej diri mereka. Sebagai ibu bapa, anda boleh melakukan beberapa perkara berikut:

Periksa imej tubuh anda dan jadilah suri teladan.
Bagaimana anda memperlihatkan diri anda boleh mempengaruhi imej tubuh anak anda. Jika anda sentiasa merungut tentang berat badan dan penampilan diri, dan mengamalkan diet kilat, anda menghantar isyarat kepada anak anda untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal. Ini boleh menyebabkan penekanan berlebihan kepada penampilan dan imej badan. Sebaliknya, tumpukan kepada kesihatan. Tunjukkan gaya hidup yang sihat termasuk bersenam dan mengamalkan diet yang seimbang.

Ceritakan tentang kelaziman membesar dan beritahu mereka tiada badan atau tubuh yang sempurna.

Berbual dengan anak tentang proses membesar dan bahawa perubahan bentuk dan berat badan adalah normal, terutama sekali semasa akil baligh. Tanamkan kesedaran bahawa semua orang mempunyai bentuk dan saiz tubuh yang berlainan dan tidak ada tubuh yang dianggap sempurna. Paling penting sekali, bantu mereka memahami implikasi kekurangan berat badan atau berat badan berlebihan ke atas kesihatan, dan nasihatkan mereka supaya fokus kepada usaha mengekalkan berat badan yang sihat.

Pupuk tabiat makan positif tanpa merasa bersalah.

Ajar anak anda tabiat makan yang baik sejak mereka kecil dan sediakan pelbagai sajian makanan dan snek yang sihat dan berkhasiat. Tiada makanan yang boleh dikatakan “baik” atau “tidak baik”. Menyediakan senarai “makanan yang ditegah” boleh menyebabkan anak lebih teringin dan makan berlebihan. Ini seterusnya boleh menimbulkan rasa bersalah dan sikap serta tatalaku yang tidak sihat terhadap makan. Kesederhanaan perlu dipupuk.

Sayangi mereka seadanya.

Bantu anak anda membina keyakinan dan harga diri dengan membantu mereka mengenal pasti dan membina pelbagai kekuatan diri, dengan penekanan kepada pencapaian dan nilai dalaman. Yakinkan mereka bahawa nilai diri mereka adalah jauh lebih tinggi daripada rupa mereka dan anda sayangkan mereka seadanya. Biasanya, kanak-kanak yang mendapat kasih sayang akan mempunyai keyakinan untuk merasa selesa dengan keadaan rupa mereka.

Elakkan perbualan tentang badan/gemuk.

Perbualan tentang badan – sama ada badan kita sendiri atau orang lain – adalah lumrah. Tetapi ini lazimnya boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap badan. Elakkan kenyataan negatif tentang berat badan, saiz badan dan bentuk badan anak anda atau orang lain. Kanak-kanak sensitif terhadap topik ini dan mungkin mentafsirkan kenyataan negatif tentang badan sebagai tanda anda tidak berkenan dengan imej badan mereka. Ini memberi kesan negatif yang boleh menjejaskan harga diri.

Langkah di atas boleh membantu anak-anak anda menyayangi badan dan diri mereka sendiri.

Gangguan Makan dan Imej Badan di Malaysia

Hasil kajian yang dijalankan di Malaysia membabitkan remaja berumur 13-16 tahun menunjukkan bahawa lebih daripada 65% remaja perempuan ingin memiliki badan lebih kurus, dan kira-kira 17% daripada mereka berisiko mengalami Gangguan Makan. Manakala lebih 75% remaja lelaki lebih suka badan yang lebih besar dan lebih berotot, mendorong 15-28% daripada mereka melakukan aktiviti seperti mengambil makanan tambahan protein dan mengangkat berat. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa memupuk imej badan yang positif di kalangan anak-anak.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen