Pengasuhan Positif

Bahaya Tersembunyi

Pada usia 8 tahun, Adam sudah mempunyai berat badan 67kg dan mempunyai kesukaran mengangkat rangka tubuhnya yang setinggi 125sm. Puncanya: Pengambilan gula berlebihan bersama tabiat makan lain yang tidak sihat serta kekurangan aktiviti fizikal. Kesemua ini telah mengakibatkan peningkatan berat badannya yang tidak seimbang dengan umur dan ketinggiannya. Ibu bapanya juga mungkin telah menyumbang ke arah peningkatan berat badannya dengan menggunakan coklat dan biskut sebagai ganjaran atau tidak membaca label makanan dengan betul.

Gula tersembunyi

“Tetapi saya jarang memberi anak saya snek manis!”

Walaupun si manja tidak banyak makan coklat atau gula-gula, namun anda pasti terkejut apabila mengetahui bahawa banyak produk makanan di pasaraya mengandungi gula terproses. Tahukah anda satu sudu makan sos tomato mengandungi satu sudu teh gula? Makanan diproses seperti bijirin, sos masakan, mentega kacang, jem buah-buahan, kraker, pau kukus seperti kaya dan kacang merah, produk beku seperti piza dan buah-buahan dalam tin turut mengandungi gula. Ini tidak termasuk gula-gula, biskut, kek, kuih-muih seperti kuih talam, coklat dan minuman berkarbonat yang kerap diambil anak anda!

Bentuk-bentuk gula yang berbeza

Gula terdapat dalam pelbagai bentuk dan nama. Sukrosa merupakan gula yang paling banyak digunakan dan diperbuat daripada tebu, gula bit dan gula maple. Sesetengah bentuk sukrosa yang lebih lazim termasuk gula putih, gula turbinado (gula merah), gula perang, gula maple, sirap maple dan sirap pekat.

bm_table_sugars_source

Laktosa dan galaktosa merupakan bentuk-bentuk gula yang terdapat di dalam susu. Kedua-duanya tidak diambil dalam bentuk gula tetapi sebaliknya sebagai sebahagian daripada produk susu. Oleh sebab itu, ia tidak dianggap sebagai bahan tambahan makanan. Berbeza pula dengan susu pekat manis, yang telah ditambah gula dan dikurangkan kandungan protein susunya.

Terlalu manis dan memudaratkan!

Gula halus boleh memudaratkan tubuh jika diambil berlebihan. Antara kemudaratannya adalah:

  • Karies gigi. Bakteria di dalam mulut kita menggunakan gula untuk menghasilkan satu bahan yang dikenali sebagai glukan. Ia membantu bakteria melekat pada gigi dan menghasilkan asid yang menghakis enamel pelindung gigi.
  • Obesiti. Sejumlah kecil makanan terproses sering mengandungi kandungan gula yang tinggi. Makanan ini mengandungi kalori kosong dan anda biasanya akan makan berlebihan sebelum rasa kenyang. Tambahan pula, kebanyakan kanak-kanak gemar minuman berkarbonat, dengan tin 350ml mengandungi sekurang-kurangnya 7 sudu teh gula. Pengambilan gula berlebihan ini akan membawa kepada peningkatan berat badan kerana kalori akan ditukar kepada lemak dan disimpan dalam badan.
  • Diabetes. Gula halus akan mudah diurai menjadi glukosa yang kemudiannya akan diserap ke dalam aliran darah kita. Insulin akan terhasil untuk mengawal paras-paras gula dalam darah. Jumlah gula berlebihan akan menyebabkan penghasilan insulin yang lebih banyak, bagi mengawal paras gula dalam darah. Insulin yang terlalu banyak akan mengakibatkan pembuangan gula yang terlalu banyak dan memaksa tubuh menghasilkan satu lagi hormon yang bertindak untuk menaikkan semula paras gula. Lama-kelamaan, turun naik ini boleh mengakibatkan kerosakan pada mekanisme penghasilan insulin serta membawa kepada diabetes.
Awas!

Gula dikenali dengan nama berlainan; jadi apabila membeli barangan runcit, semak label makanan untuk gula tersembunyi: Barli malta, karamel, sirap jagung, dextrin, dekstrosa, levulosa, jus buah konsentrat, sirap kencana, gula anggur, sirap jagung fruktosa tinggi, madu, gula invert, sirap pekat, sorbitol, sirap sorghum, sirap hitam dan sirap beras. Sesetengah produk mengandungi gula tambahan ini selain gula asli didalamnya. Jika gula merupakan bahan pertama dalam senarai bahan ramuan, maka ia merupakan bahan ramuan terbanyak terkandung dalam makanan atau minuman.

Baca label-label makanan dengan teliti sebelum membuat pembelian. Kurangkan penggunaan gula yang tidak diperlukan dan pilihlah alternatif yang lebih sihat seperti buah-buahan segar. Elakkan snek manis dan gula-gula. Jangan risau, sepotong kek sekali-sekala tidak akan memudaratkan anak anda. Pada suatu hari nanti, anak anda pasti akan berterima kasih kepada anda kerana membenarkan dia membesar sihat dan gembira!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen