Pengasuhan Positif

Siapa Takut Gelap?

Sama ada kita mengakuinya atau tidak, kita semua mempunyai perasaan takut. Kita semua mengalami perasaan yang sama apabila kita berdepan dengan ketakutan kita. Tanpa sebab kukuh, debaran jantung bertambah kencang, mula berpeluh dan perasaan ingin melarikan diri daripada situasi yang tidak menyenangkan itu.

Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada perasaan ini. Jika dibandingkan dengan ketakutan kita, ketakutan mereka mungkin tidak masuk akal, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak merasainya. Ketahui lebih lanjut tentang ketakutan anak anda dan cara membantu mereka mengatasi perasaan dahsyat ini.

Bila dan Apa

Disebabkan tahap kematangan dan kerentanan emosi kanak-kanak yang berbeza, anda akan mendapati si manja takut akan perkara yang berlainan apabila mereka membesar. Akhirnya mereka akan dapat mengikis perasaan takut, tetapi akan timbul kebimbangan yang lain pula. Jadual di bawah adalah contoh ketakutan yang biasa dialami pada tahap berlainan dalam hidup si manja:

Usia Ketakutan Contoh

10 – 24 bulan

Bimbang kerana terpisah (pada usia ini, kanak-kanak sedar dan ingat anda tiada di sisinya dan bimbang dengan ketiadaan ibu bapa mereka)

Ibu bapa/penjaga tiada dalam pandangan atau keluar dari bilik.

2 – 6 tahun

Takutkan benda/orang/ perkara tanpa sebab kukuh atau munasabah dalam realiti (biasanya akibat imaginasi mereka)

Kegelapan, guruh dan petir, hantu, raksasa, mandi dan sebagainya.

6 – 12 tahun

Ketakutan yang lebih munasabah dan kukuh, mencerminkan keadaan sebenar yang mungkin berlaku

Kecederaan dan kemalangan, binatang, kematian.

Mengalahkan Raksasa

Petua berikut boleh anda gunakan untuk membantu si manja membina kemahiran dan keyakinan untuk mengatasi ketakutan buat selama-lamanya.

  • Elakkan sikap negatif. Walaupun nampak remeh, bagi anak kecil, ketakutan mereka adalah sangat benar. Jangan ketepikan ketakutan anak anda. Jangan berleter, memperkecil, memaksa atau memarahi mereka kerana ini tidak dapat menjauhkan ketakutan, malah memburukkan lagi perasaan takut. Mereka akan kaitkan lebih banyak perasaan negatif dengan ketakutan mereka.
  • Bincangkan tentang ketakutan. Bincangkan tentang sebab dan cara ketakutan mereka boleh menjejaskan mereka. Dengar katanya dan gunakan peluang ini untuk membantu mereka belajar menangkis ketakutan mereka. Dengan mengetahui bagaimana dan mengapa perkara yang menakutkan berlaku, mereka akan merasa kurang takut. Sungguhpun mereka mungkin tidak percaya bulat-bulat penjelasan anda, lama-kelamaan mereka akan menerimanya.
  • Beri sokongan tetapi bukan perlindungan berlebihan. Biarkan anak anda tahu bahawa anda sentiasa bersedia untuk membantu mereka jika diperlukan. Apabila mereka takut, beri jaminan bahawa keadaan adalah terkawal. Tetapi, jangan melakukan sesuatu yang tidak perlu sematamata untuk menghilangkan ketakutan mereka (seperti sengaja menyeberangi jalan untuk mengelakkan anjing). Perhatian dan perlindungan secara berlebihan boleh disalahertikan dan membuat mereka merasa mereka berhak untuk merasa cemas dan takut.
  • Ajar strategi menangani keadaan. Ajar mereka menggunakan teknik bertenang, seperti menarik nafas panjang dan menggambarkan keadaan yang menyeronokkan (seperti bersantai di tepi pantai atau menukar raksasa jahat menjadi makhluk lucu), apabila mereka rasa takut. Juga, cari cara yang praktikal seperti menggunakan lampu tidur jika si manja takut tidur dalam gelap, bagi mengurangkan ketakutannya. Anda akan dapati, lama-kelamaan anak anda akan rasa lebih tenang bila berhadapan dengan ketakutan.
Ingatan untuk Ibu Bapa!

Perasaan takut pada zaman kanak-kanak akan berkurangan secara beransur apabila anak anda membesar. Bagaimanapun, perhatikan jika:

  • Ketakutan menjejaskan peribadi, pergaulan sosial dan pencapaian akademik anak anda untuk jangka masa yang agak lama.
  • Ketakutan dan reaksi si manja terhadapnya mungkin nampak tidak munasabah jika dikaitkan dengan situasi yang dihadapi (seperti anak menjerit dan meraung apabila melihat imej objek yang ditakuti).
  • Ketakutan dan kelakuan yang berkaitan dengannya adalah luar biasa bagi usia anak anda.

Jika perasaan takut si manja sampai ke tahap yang membimbangkan anda, dapatkan bantuan profesional.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen