Pengasuhan Positif

Mengasuh Anak Yang Pemalu

Sifat pemalu adalah perasaan kekekokan, kerisauan atau ketegangan semasa bersosial, terutamanya apabila berhadapan dengan orang yang tidak dikenali. Mereka yang sangat pemalu mungkin menunjukkan gejala fizikal seperti muka menjadi merah, berpeluh, jantung berdebar-debar atau sakit perut.

Mereka juga boleh dipenuhi dengan perasaan negatif tentang diri mereka, bimbang tentang pandangan orang lain terhadap diri mereka, dan ini boleh menunjukkan dengan jelas kecenderungan untuk mengelakkan interaksi sosial. Rasa malu sekali-sekali adalah normal, namun, sesetengah orang menghadapi rasa malu yang teramat yang boleh menghalang mereka daripada berinteraksi dengan orang lain; ini biasanya mendatangkan masalah di sekolah atau di tempat kerja, dan hubungan dengan orang lain.

Mengenal pasti sifat pemalu

Tanda-tanda sifat pemalu yang paling biasa dilihat ialah ‘kelakuan pengelakan’ di mana kanak-kanak tersebut cuba mengelakkan semua situasi yang memerlukannya untuk berjumpa dengan orang lain. Anak anda mungkin menunjukkan kemarahan, mengambil jalan keluar dengan menangis, atau mendiamkan diri (mutisme elektif) jika dia dipaksa ke dalam situasi sedemikian. Beri perhatian terhadap tingkah laku dan reaksi anak anda untuk mengetahui sama ada anak anda adalah pemalu.

Bilakah masanya untuk mendapatkan bantuan daripada pakar?

Jika anda telah mencuba semua tip ini dan anak anda masih tidak menunjukkan sebarang kemajuan yang positif, bersabar dan berikannya sedikit masa. Namun, anda mesti peka terhadap perasaan dan tingkah laku anak anda, dan jika dia menunjukkan tanda-tanda keresahan yang menjadi sangat teruk, atau jika dia menunjukkan gejala-gejala yang kompleks atau fikiran atau niat membunuh diri, maka ia adalah amat penting untuk menghubungi pakar kesihatan mental atau pakar psikologi kanak-kanak untuk perkhidmatan kaunseling.

Bagaimana anda boleh membantu?

  • JANGAN mencemuh atau mentertawakan anak anda di khalayak ramai.
    Komen atau label yang negatif adalah bahaya kerana ia akan menyebabkan anak anda berasa sedih. Ini mungkin menyebabkannya menjadi semakin menyisihkan diri lalu membuatkan sifat malunya bertambah teruk.
  • JANGAN melabelkan anak anda sebagai ‘pemalu’.
    Menerima sifat anak anda adalah sangat penting; melabelkan anak anda sebagai ‘anak yang malu’ akan membuatkannya lebih cenderung untuk mempercayai label tersebut dan bertindak seperti pemalu.
  • Membina harga diri dan keyakinan anak anda.
    Galakkan anak anda untuk menjadi cekap dalam dunia sebenar. Pupuk harga diri dan keyakinan pada anak anda dengan membenarkannya membuat keputusan dan bertanggungjawab terhadap diri mereka.
  • Jadilah contoh teladan dalam kelakuan sosial yang yakin.
    Kanak-kanak biasanya belajar dengan meniru orang di sekeliling mereka, jadi pastikan anda mempamerkan ciri-ciri yang anda mahu mereka miliki.
  • Ajar anak anda kemahiran sosial dari mula.
    Kemahiran sosial yang baik perlu dibina; sesetengah kanak-kanak mungkin lebih berbakat daripada yang lain, tetapi latihan menghasilkan kesempurnaan. Benarkan anak anda menguasai kemahiran sosial dengan galakkan mereka berlatih dengan orang lain sebanyak mungkin.
  • Mengajar mereka toleransi dan menghormati orang lain.
    Kanak-kanak yang pemalu mengkritik diri sendiri dan orang lain, oleh itu anda perlu mengajarnya untuk bertoleransi dan menghormati orang lain. Beritahu mereka bahawa tiada seorang pun yang sempurna, sebaliknya mereka harus bertoleransi dengan ketidaksempurnaan ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen