Pengasuhan Positif

Berhadapan dengan Kehilangan

Lazimnya, kehilangan sesuatu yang berharga atau seseorang yang rapat boleh berlaku secara tiba-tiba. Apabila kanakkanak terpaksa berhadapan dengan kehilangan orang tersayang, sesuatu barang atau haiwan kesayangan, mereka sangat memerlukan kemesraan, kesabaran dan bimbingan anda lebih daripada segala-galanya untuk menangani pengalaman tersebut.

Ia adalah penting supaya anda membantu anak-anak untuk memahami dan menerima apa yang telah berlaku, dan mengharungi kehilangan dan kesengsaraan perpisahan. Naluri anda mungkin mahu melindungi anak-anak anda daripada kesengsaraan dan kesedihan yang mengiringi kehilangan itu, tetapi pengelakkan isu tersebut akan mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Memberitahukannya

Salah satu perkara yang paling sukar berkenaan dengan kehilangan, tidak kira sama ada kehilangan orang yang disayangi, haiwan peliharaan ataupun alat mainan, adalah untuk memberitahu berita yang buruk itu kepada anak-anak anda. Tempat yang paling sesuai untuk berbuat demikian ialah di tempat di mana mereka berasa selamat dan selesa serta tidak mudah terganggu.

Sama seperti isu-isu sukar yang lain, cuba menganggarkan sebanyak mana maklumat yang anak-anak anda harus tahu berdasarkan umur, tahap kematangan, dan pengalaman hidup mereka. Elakkan daripada menutup kehilangan itu dengan membohong. Bersikap jujur dengan anak-anak anda dan galakkan mereka untuk bertanyakan soalan.

Membantu anak anda untuk menangani kehilangan

Menangani kehilangan, sama ada kehilangan sesuatu barang atau orang yang disayangi, merupakan satu proses. Ia adalah mustahil untuk meramal bagaimana seseorang kanak-kanak akan bertindak balas terhadap sesuatu kehilangan. Sebagai sebahagian daripada proses kesedihan, mereka biasanya akan beralih daripada satu tempoh kesengsaraan dan kesedihan yang teruk kepada satu keadaan emosi yang lebih tenang. Bergantung kepada magnitud kehilangan tersebut, proses ini mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu sehingga beberapa tahun untuk berakhir.

Berikut adalah beberapa strategi yang boleh membantu anakanak anda untuk menerima sesuatu kehilangan.

  1. Berhadapan dengan pergolakan emosi mereka. Sama seperti sesiapa sahaja yang berhadapan dengan sesuatu kehilangan, kanak-kanak biasanya akan mengalami pelbagai emosi selain daripada kesedihan. Mereka mungkin mengalami penafian, kesepian, kemarahan, kekecewaan atau rasa bersalah terhadap sesuatu yang mereka pernah melakukan atau tidak melakukan, yang mungkin menyebabkan kehilangan ini. Bantulah anak-anak anda untuk memahami bahawa ia adalah biasa untuk mengalami semua emosi ini.
  2. Berikan mereka masa. Anak-anak anda mungkin enggan mempercayai bahawa kehilangan itu benar-benar berlaku. Jangan memberi tekanan dan bersabar dengan mereka. Biar mereka terima kehilangan itu mengikut masa mereka sendiri tetapi biar mereka tahu bahawa anda akan berada di sisi mereka apabila mereka bersedia untuk bercakap secara terbuka tentang kehilangan tersebut.
  3. Luahkan emosi diri anda sendiri. Jangan memaksa diri anda untuk menyembunyikan kesedihan anda terhadap kehilangan tersebut. Tunjukkan kepada anak-anak anda perasaan anda terhadap kehilangan tersebut dan bincang tentangnya secara terbuka. Ini akan menjadi satu contoh untuk menunjukkan kepada anak-anak anda bahawa ia adalah OK untuk berasa sedih apabila mereka kehilangan sesuatu yang mereka hargai, atau untuk meluahkan perasaan mereka dan menangis apabila sedih. Ia juga dapat menenangkan hati kanak-kanak untuk mengetahui bahawa bukan mereka sahaja yang berasa sedih. Malah, anda juga boleh berkongsikan cerita anda mengenai sesuatu kehilangan semasa anda kecil dan bagaimana perasaan anda pada masa itu.
  4. Libatkan mereka dalam pelbagai aktiviti. Jika berlakunya kehilangan sesuatu yang penting seperti kehilangan orang yang disayangi, kanak-kanak boleh berasa marah dan sedih. Ini adalah tindak balas yang biasa terhadap kehilangan seperti ini. Kanak-kanak mungkin mengalami masalah tidur, atau hilang minat untuk makan bahkan bermain. Cuba untuk melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti yang lain. Namun, jika ia berterusan terlalu lama, dapatkan bantuan profesional. Doktor, kaunselor sekolah, atau organisasi kesihatan mental dapat memberikan bantuan dan nasihat. Anda juga boleh mencari buku, laman web, kumpulan sokongan, dan sumber-sumber lain yang boleh membantu dalam menangani kesedihan dan kesengsaraan perpisahan.

Semasa anak anda belajar cara untuk menangani sesuatu kehilangan, mereka akan memerlukan ruang, pemahaman, dan kesabaran untuk menerima kehilangan tersebut dengan cara mereka sendiri. Ingatlah bahawa pembelajaran menangani sesuatu kehilangan adalah sama seperti pembelajaran menangani masalah fizikal, mental, dan emosi yang lain – ia adalah satu proses.

Anda tidak dapat melindungi anak anda daripada kesedihan dan kehilangan untuk selama-lamanya, tetapi dengan membantu mereka untuk menghadapi sesuatu kehilangan, ia dapat membina sumber emosi yang memanfaatkan mereka untuk seumur hidup.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen