Pengasuhan Positif

Setahun Dan Seterusnya!

Luangkanlah lebih masa dengan anak anda dan membantunya berkembang dengan sihat

Syabas! Anak anda baru saja mencecah setahun. Alangkah berbezanya dia berbanding ketika dibawa pulang dari hospital dahulu. Pada saat itu, dia hanya berupaya untuk minum dan tidur sahaja.

Kini, pada usia setahun, si manja telah pun mula berdiri dan mengorak beberapa langkah dengan berpaut pada dinding atau perabot. Malah, ada di antara bayi yang boleh berjalan dengan sendiri pada umur ini. Walaubagaimamapun, tidak perlu risau sekiranya anak anda masih belum berjalan.

Tahap normal untuk berjalan sehingga 18 bulan. Maklumkan doktor anda sekiranya dia tidak berjalan supaya doktor dapat membuat pemeriksaan lanjut.

Perkembangan ‘fine motor’

Pergerakan tangannya juga lebih cekap dan dia kini dapat mengutip benda-benda kecil seperti kismis, semut, butang kecil dan sebagainya. Sifat mereka gemar memasukkan benda ke dalam mulut masih diteruskan dan kadangkala ibu-ibu akan menjumpai kumbang kecil di dalam mulut si manja! Ibubapa haruslah berhati-hati supaya objek kecil seperti butang, guli dan sebagainya tidak boleh dicapai oleh si manja kerana dikhuatiri akan tercekik. Patung juga tidak seharusnya mempunyai mata yang diperbuat dari butang kerana si manja boleh menggigit dan menelan butang tersebut.

Si manja juga kini boleh memegang pensil dan krayon di dalam tapak tangan dan menconteng. Apabila umurnya menjangkau 15 bulan, dia semakin berkebolehan untuk memegang pensil dengan baik dan contengannya kini menjadi lebih halus.

Kerap bercakap

Percakapan si manja kini terdiri dari beberapa perkataan sepatah seperti “mama”, “papa”, “nak” dan sebagainya. Perkataan-perkataan ini biasanya diiringi dengan percakapan yang bising dan berima, tetapi sukar difahami oleh sesiapa pun. Ini dikenali sebagai “jargon speech”. Walaupun percakapannya terbatas, simanja dapat memahami lebih banyak perkataan dan dapat mengikuti apa yang disuruh seperti “jangan”, “ambil”, “letak”, “bye bye” dan sebagainya. Apabila dia berumur 15 bulan dia juga mula mempelajari bahagian badannya dan dapat menunjuk beberapa bahagian yang disebut. Semasa bercakap, dia melihat muka anda dan meneliti pergerakan anda. Sekiranya anak anda tidak memerhatikan anda dan sukar untuk bercakap, bawalah dia untuk pemeriksaan oleh pakar pediatrik.

Si manja masih tidak selesa dengan orang yang tidak dikenalinya. Sekiranya terdapat orang yang tidak dikenali, dia akan berpaut lebih erat lagi kepada ibubapa dan dia jarang sekali akan bertegur sapa. Walaupun kita ingin mengajar mereka untuk bersalaman dengan tetamu, perkara ini tidak seharusnya dipaksa. Sekiranya anak anda tidak mahu bersalaman, jangan memaksa mereka tetapi mencuba lagi pada waktu yang lain. Paksaan ini akan menyebabkan anak anda lebih bergantung kepada anda.

Cara Untuk Meningkatkan Perkembangan Si manja

Kini, terdapat banyak permainan dan alat-alat di pasaran yang mengatakan ia berupaya untuk meningkatkan kebolehan anak anda. Janganlah rasa bersalah sekiranya tidak membelikan permainan-permainan ini untuk anak anda. Interaksi antara si kecil dan penjaganya amat penting untuk perkembangannya, umpamanya pertuturan. Anda sebagai ibubapa merupakan “alat” terbaik untuk mentukan perkembangannya.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen