Pengasuhan Positif

Membesarkan Kanak-Kanak yang Kuat dan Tabah

Dia tidak berhenti menangis. Setiap hari, cerita yang sama: pulang dari sekolah, campak beg sekolahnya ke lantai dan menangis. Anda sudah cuba pelbagai cara – menyogoknya dengan aiskrim, tidak membenarkannya menonton TV jika tidak mahu ke sekolah, memujuk dengan berkata, “Semua budak besar suka pergi sekolah! Awak juga mahu jadi besar, bukan?”

Namun, anda masih tidak berjaya. Anak anda tetap tidak mahu ke sekolah.

“Menghantarnya ke sekolah seperti menghantarnya ke rumah penderaan,” rintih anda. “Dia kata dia tiada kawan, cikgu pula garang dan sesetengah budak lelaki suka membulinya. Saya sendiri pun keliru! Mungkin sekolah itu tak sesuai untuknya kerana dia menghadapi banyak masalah di sana…”

Minggu pertama pendidikan formal selalunya begitu: mencabar. Tambahan pula, anak anda dipaksa menyesuaikan diri di persekitaran yang asing baginya, penuh dengan peraturan dan undang-undang, serta bertemu dengan orang dewasa dan kanak-kanak yang tidak dikenalinya.

Pertama kali dalam hidupnya, anak anda berhadapan dengan situasi baru yang sukar – cabaran pertama dari pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi. Bagaimana dia dapat mengatasinya? Dapatkah dia mengharungi kesukaran itu dan bangkit semula dengan selamat, malah lebih berjaya dan mampu menyesuaikan dirinya? Atau mungkin dia tersungkur walaupun hanya diberi tekanan yang kecil?

Ini bergantung kepada ketabahan anak anda.

v2-article01b

APAKAH KETABAHAN?

Ketabahan bermaksud keupayaan untuk bangkit semula dari kesusahan. Bak kata pepatah, naik semula kuda selepas terjatuh.

“Apabila kita bercakap mengenai ketabahan, ramai antara kita akan terfikir tentang mereka yang terselamat dari bencana besar seperti banjir atau tsunami,” kata Dr Goh Chee Leong. “Kebenarannya ialah setiap kanak-kanak akan menghadapi cabaran. Peranan kita sebagai ibu bapa ialah mempersiapkan diri mereka supaya bersedia menghadapinya, kerana setiap cabaran mempunyai liku dan rintangan yang sama walaupun ia bukanlah bencana yang besar!”

MENGENALI KANAK-KANAK YANG TABAH

Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang tabah dan bangkit semula dari kesusahan?

Berdikari

Walaupun masih kecil, kanak-kanak yang tabah mampu melakukan perkara dengan sendiri dari bergantung kepada orang lain. Contohnya, seorang kanak-kanak berumur 5 tahun yang belajar menulis dan membaca mungkin menghadapi kesukaran dan berasa kecewa, namun atas ketabahan dirinya, dia tetap bertekad untuk melakukannya sendiri tanpa meminta pertololongan guru atau ibu bapanya.

Kemahiran menyelesaikan masalah

Kanak-kanak yang tabah berorientasikan tindakan. Apabila menghadapi masalah, dia berupaya untuk mengenalpasti, menyenaraikan beberapa cara penyelesaian, membuat keputusan dan bertindak untuk menyelesaikannya.

Kecekapan sosial

Kemahiran bersosial adalah penting untuk kanakkanak yang tabah. Dia tahu bagaimana mendapatkan sumber tertentu dalam menyelesaikan masalahnya, dan salah satu ialah menerusi orang di sekelilingnya. Dia tahu berkomunikasi dengan baik, menjalinkan persahabatan dan menyesuaikan diri.

Adakah Kanak-kanak Perlu Diajar Menjadi Tabah Atau Ia Sifat Semulajadi?

Dr Teoh menjawab, “Ketabaha merupakan satu set strategi, oleh itu tiada kanakkanak yang dilahirkan ‘lebih tabah’ dari yang lain. Seorang kanak kanak dilahirkan dengan beberapa personaliti yang mungkin membuatkannya lebih tabah.

Sebagai contoh, kanak-kanak yang dilahirkan periang secara semulajadinya akan lebih fleksibel dan mudah didekati. Oleh kerana kemahiran sosial ialah aspek utama ketabahan, anak ini akan lebih tabah apabila dia membesar.”

Anda tidak boleh mengubah sifat semulajadi yang dianugerahkan kepada anak anda, tapi anda boleh memupuknya. Ketabahan ialah kualiti yang dinamik, bukan kapasiti yang kekal, maka ambil langkah tertentu untuk memastikan anak anda terus membesar dengan tabah. Artikel seterusnya akan menerangkan kaedahnya.

Memupuk Ketabahan Anak Anda

Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk membantu anak anda menjadi lebih tabah. Cara utama ialah mengajarnya dari kecil. Di sini disampaikan beberapa tip yang dapat membantu:

Jadilah penyokonganak anda

Setiap kanak-kanak memerlukan sekurangkurangnya seorang dewasa (lebih baik jika ramai) yang mempercayai dirinya sepenuhnya. Tiada siapa – tidak kira sepandai mana atau berbakat – boleh mencapai kejayaan dalam hidup tanpa kehadiran seorang yang mempercayai kebolehannya. Seseorang itu boleh jadi ibu bapanya, datuk dan nenek, guru ataupun teman.

Jadilah orang yang dipercayainya. Sayangi dan terima dirinya seadanya, luangkan masa dan pastikan anak anda tahu yang anda sentiasa berada disisinya tidak mengira apa jua yang berlaku.

Ajar berdikari

Pandai menyesuaikan diri ialah satu ciri ketabahan. Satu cara untuk memupuknya ialah dengan mendidik anak anda melaksanakan satu tugasan mudah sejak kecil lagi. Sebagai contoh, pada usia tiga atau empat tahun, anak anda sepatutnya mampu melakukan beberapa tugasan mudah seperti memakai baju sendiri, mengemas permainan, membasuh cawan sendiri atau menutup TV. Apabila dia semakin membesar, lebih banyak tugasan yang mampu dilakukannya sendiri.

Menggalakkan anak anda untuk berdikari adalah penting sekiranya anda mempunyai pembantu rumah. Tugas pembantu rumah ialah membantu anda menguruskan kerja rumah, bukannya melayan karenah anak anda atau melakukan kerja yang boleh anak anda lakukan sendiri. Anda perlu mengetahui garis panduan dan tanggungjawab pembantu rumah anda dengan jelas.

Berikan pilihan

Anak anda mungkin berhadapan pelbagai masalah apabila dia semakin membesar – sama ada menyelesaikan masalah matematik yang tidak difahaminya atau berkawan di sekolah. Elakkan dari mencampuri masalahnya dan cuba menyelesaikan bagi pihak anak anda. Sebaliknya, ajar anak anda kemahiran menyelesaikan masalah. Satu cara mudah dan efektif ialah dengan memberikannya pilihan.

Anak anda memberitahu anda dia lapar. Tunggu, jangan terus ke dapur. Galakkannya untuk berfikir dan menyenaraikan beberapa pilihan. “Baiklah, awak lapar. Sekarang, apa yang awak boleh buat?” Dia mungkin berkata dia boleh mendapatkan makanan dari peti ais, membuat susu atau membeli sesuatu dari kedai. Biarkan dia membuat pilihan dan melaksanakannya sendiri.

Yang penting ialah mengajarnya untuk berfikir tentang tugasan yang boleh dilakukan. Dengan menggalakkannya memikirkan jalan penyelesaian, anda telah membuatkan anak anda lebih bertanggunjawab dan mampu mengawal keadaan.

Disiplin yang positif

Disiplin yang positif dapat meningkatkan disiplin diri, harga diri dan membantu anak anda mengembangkan sikap yang positif, daripada asyik mengongkongnya sahaja. Ketahui batas kebolehannya dan jangan paksa dia untuk mencapai sesuatu yang tidak realistik. Berikan pujian apabila dia melakukan perkara yang betul dan jangan sesekali memarahinya dengan memukul, menjerit atau melenting apabila dia melakukan kesilapan. Sebaliknya, hulurkan bantuan agar dia tahu di mana silapnya dan bagaimana untuk memperbaikinya.

Matlamat utama untuk disiplin yang positif ialah dengan memupuk disiplin diri, di mana anak anda mampu bertindak dengan wajar walaupun anda tiada disampingnya.

Perbualan dua hala

Sebelum anak anda sudah cukup besar untuk mempunyai teman sendiri, andalah peluang untuknya berlatih kemahiran bersosial, maka luangkan masa untuk berinteraksi dengannya.

Interaksi bukan sahaja cakap, cakap, cakap. Dengar, fahami dan ketahui apa yang hendak disampaikan. Jangan kecewakannya, berbual bersama atau beritahu apa yang perlu dirasainya. Jawab soalannya biarpun sudah ditanya beberapa kali. Dia bertanya kerana ingin memahami tentang dunia dan belajar bagaimana menyelesaikan masalah (kesemua ini berkaitan dengan ketabahan). Sekiranya anda membuatkannya berasa soalan yang dikemukakan menyusahkan, dia akan berhenti bertanya.

Ajarnya berkawan

Ajar anak anda kemahiran bersosial seperti senyum kepada rakan (tiada siapa suka orang yang masam muka!), tidak mencelah ketika mereka berbual, berkongsi alat permainan dan bercakap dengan baik ketika bersama rakannya – tidak menjerit dan sudah tentu tidak memukul. Galakkan anak anda menjemput rakan ke rumah untuk bermain. Kenali ibu bapa rakan anak anda. Ini akan memudahkan anda sekiranya anak anda bergaduh dan anda ingin meleraikan salah faham yang timbul.

Tetapi, bagaimana pula jika anak anda menghadapi masalah berkawan dengan rakan sekelasnya? Anda boleh membantunya dengan mendaftarkannya menyertai aktiviti berkumpulan (seperti drama, permainan berkumpulan, dsb) yang membolehkan mereka bermain dan berkerjasama dengan orang lain di dalam persekitaran yang seronok dan terkawal.

Sekiranya anak anda tidak selesa di dalam kumpulan yang besar, cuba jemput kanakkanak yang sebaya dengannya untuk bermain atau menawarkan diri untuk menjadi pengasuh. Bantu anak anda menjalin persahabatan dengan membuat perjumpaan dengan kawankawannya lebih kerap.

Berapa Banyakkah Kasih Sayang Yang Perlu Dicurahkan?

Pernahkah anda mendengar ungkapan: “Dugaan akan membantu anda menjadi lebih kuat”? Terdapat sesetengah kanak-kanak yang terlalu dimanjai, sementara itu pula terdapat ibu bapa yang seperti mencampakkan anak ke kolam renang dan memaksa mereka untuk terus pandai berenang.

Dr Goh menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa seimbang. “Anda perlu tahu bila perlu melindungi mereka dan bila masanya untuk mendedahkan anak anda kepada cabaran,” dia berkata. “Melindungi anak bukanlah sampai menyekat mereka dari menghadapi pelbagai cabaran. Pada masa yang sama, jangan pula terlalu memaksa. Terdapat situasi tertentu yang mana anak anda masih kecil untuk menyelesaikannya sendiri. Sebagai contoh, sekiranya dia dibuli secara fizikal oleh guru atau pelajar pelajar yang lebih tua di sekolah, anda perlu tampil dan membantu anak anda menangani situasi ini.”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen