Pengasuhan Positif

Masa Bermain Untuk Si Manja

Memegang, duduk, merangkak dan berjalan adalah antara aktiviti fizikal pertama yang mampu dilakukan oleh si manja anda. Tanpa disedari, si manja akan bertatih, berjalan dan berlari ke merata ruang dalam rumah, bermain dan belajar kemahiran hidup seperti membutangkan baju dan memberus giginya sendiri.

Aktiviti begini dinamakan koordinasi fizikal dan imbangan, dan membentuk sebahagian penting daripada perkembangan koordinasi fizikal awal anak anda. Menerusi aktiviti ini, kanak kanak belajar kemahiran penting seperti mengawal imbangan, koordinasi, kekuatan dan gaya. Kemahiran yang dipelajari sejak kecil ini akan memberi kelebihan kepada anak-anak anda dalam pertandingan permainan dan sukan apabila mereka besar kelak. Kemahiran ini juga penting kepada keupayaan mereka untuk meninjau persekitaran sekeliling dan membolehkan mereka melakukan banyak tugas harian.

Imbangan

Kanak-kanak yang aktif mempunyai imbangan yang baik. Si manja tidak mudah gelabah dan jatuh, dan dapat mengawal setiap pergerakannya dengan baik.

Berbasikal Dengan menunggang basikal, anak anda belajar membaiki imbangan, menguatkan keazaman dan membanyakkan kesabaran.

Balet Tarian yang memerlukan disiplin, daya kawalan dan gaya keanggunan ini membantu si manja menguasai imbangan menerusi pergerakan dan setiap langkahnya.

Koordinasi

Koordinasi fizikal membantu si manja melakukan aktiviti hariannya dengan mudah. Sebagai contoh, koordinasi tangan dan mata membantu anak anda melakukan tugas seperti memberus gigi dan memegang sudu bila makan.

Badminton Aktiviti sukan yang mudah seperti bermain badminton dan melambung dan menangkap bola dapat membaiki koordinasi tangan dan mata. Dengan cara ini, si manja belajar menggunakan pergerakan ini dalam kehidupan hariannya.

Bola Sepak Permainan bola sepak membolehkan anak anda menggunakan semua anggota badan dan secara perlahan-lahan meningkatkan kemahiran koordinasi.

Kekuatan

Kekuatan badan membolehkan si manja anda melakukan tugas tertentu dengan mudah. Ia juga membantu membina otot dan keupayaan fizikal bila si manja membesar.

Berenang Oleh kerana sukan renang memerlukan penggunaan tangan dan kaki, aktiviti ini baik untuk membantu membina kekuatan.

Taman Permainan Bermain di taman permainan dapat membantu anak-anak kecil anda membina kekuatan badan. Tetapi pastikan mereka memakai pakaian sesuai dan sentiasa diawasi oleh orang dewasa.

Gaya

Gaya keanggunan membolehkan si manja sentiasa tenang dan yakin. Tanpa gaya, anak anda mungkin kelam-kabut.

Gimnastik Aktiviti yang dilakukan semasa kelas gimnastik dapat membantu anak anda memiliki gaya dan keanggunan yang tersendiri.

Tarian Tarian kebudayaan dan tradisional serta tarian tap adalah antara beberapa tarian yang digemari oleh kanak-kanak zaman sekarang.

Jadilah Rakan Sepermainan
Jangan sekali-kali membataskan pergerakan dan kebebasan anak-anak kecil anda. Usah bimbang kalau si manja jatuh, benjol, menangis dan tidak serik mengulangi perbuatan lasaknya. Benjol kecil dan lebam adalah perkara biasa apabila si manja mencuba kemahiran fizikal baru. Anda hanya perlu pastikan aktiviti yang dilakukan oleh si manja sesuai dengan usianya dan mengikut turutan. Jangan gopoh; si manja anda perlu belajar berjalan sebelum dia boleh berlari. Berilah anak anda peluang memilih aktiviti yang dikehendaki dan bukan anda yang menentukannya. Bila keadaan mengizinkan, pasang muzik dan menarilah bersama anak-anak anda!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen