Pengasuhan Positif

Autisme

Autisme merupakan masalah perkembangan yang lazimnya mula diperhatikan pada peringkat awal zaman kanak-kanak dan berterusan sepanjang hayat. Ia mungkin mempunyai tahap keterukan yang berlainan dalam setiap individu. Walaupun bentuk autisme yang sederhana lebih mudah untuk diuruskan berbanding yang lain, namun ia tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan kualiti hidup kanak-kanak dan juga ahli keluarga mereka. Apa yang lebih membimbangkan adalah terdapat peningkatan dalam kes autisme di Malaysia dan di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi ibu bapa untuk belajar mengenal pasti tanda-tanda autisme kerana intervensi awal akan banyak membantu membaiki kehidupan individu yang mempunyai autisme.

Tiga Kekurangan Upaya

  1. Kurang Upaya dalam Interaksi Sosial
    Ciri ini paling ketara dalam semua individu yang mempunyai autisme. Mereka mungkin akan menunjukkan kurang atau tiada perhubungan sosial. Semasa bayi, mereka mungkin jarang meminta perhatian penjaga dan tidak responsif. Mereka mungkin menunjukkan kelakuan komunikasi bukan verbal yang terjejas (seperti tiada atau kekurangan hubungan mata), gagal membentuk hubungan dan memahami orang lain serta kurang berkebolehan untuk berkongsi keseronokan atau minat.
  2. Kurang Upaya dalam Komunikasi
    Lebih kurang 30% daripada kanak-kanak autisme tidak berkembang dari segi pertuturan bahasa, manakala yang lain pula akan mengalami kelewatan dan/atau perkembangan bahasa yang tidak normal. Mereka mungkin akan menggagap, menjerit atau sentiasa meniru kata-kata orang lain (echolalia). Mereka juga mengalami kesukaran perbendaharaan kata, sintaks dan pemahaman. Pada dasarnya, mereka tidak memahami konsep “berbual” dengan orang lain.
  3. Kelakuan Terbatas & Berulang
    Mereka yang mempunyai autisme akan membentuk pelbagai kelakuan ganjil. Mereka mungkin akan membuat perangai dan bersifat agresif, kelakuan yang boleh mencederakan diri sendiri (seperti menghentak kepala dan menarik rambut), kelakuan berulangan serta enggan mengikut rutin harian. Selain itu, ada yang mungkin rasa tidak tenteram apabila terdapat perubahan dalam rutin harian mereka.

Sememangnya sukar untuk menduga perkembangan autisme dan juga tanda-tandanya. Sesetengah kanak-kanak mula menunjukkan ciri-ciri kelakuan autisme daripada lahir manakala yang lain pula akan membentuk secara normal buat seketika dan berhenti di peringkat pencapaian perkembangan tertentu. Ada juga yang akan mengalami regresi dan menunjukkan perkembangan kualitatif yang berbeza.

Kontroversi Autisme

Punca tersembunyi autisme membangkitkan banyak spekulasi. Tuntutan paling kontroversial mengatakan bahawa vaksin kanakkanak yang lazim seperti vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) merupakan punca perkembangan autisme. Walau bagaimanapun, tiada sebarang sokongan saintifik terhadap tuntutan ini.

Sebaliknya, terdapat banyak kajian yang menyangkal kaitan autisme dan vaksin MMR. Ini telah diiktiraf oleh pelbagai organisasi seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik Malaysia. Pakar pediatrik dan ahli sains juga menyokong bahawa vaksin mempunyai lebih banyak kebaikan daripada bahaya seperti yang dinyatakan. Selain menghapuskan penyakit yang boleh membawa maut, vaksin turut memastikan anak-anak kita boleh menjalani zaman kanak-kanak yang gembira dan sihat.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen