Pengasuhan Positif

Mengajar Kanak-Kanak Menjadi Toleran dan Tidak Berat Sebelah

Negara kita yang diberkati merupakan tumpuan utama yang kaya dengan budaya, tradisi, dan agama; ia diasaskan atas dasar kebebasan dan toleransi daripada perbezaan dalam kepercayaan dan budaya. Toleransi di sini ringkasnya merujuk kepada menghormati dan terbuka dalam menerima perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat yang berbeza, ia juga adalah mengenai kesedaran yang jelas bahawa tiada manusia hidup keseorangan.

Kanak-kanak hari ini lebih terdedah kepada masyarakat yang berbeza daripada diri mereka dan mula mengenal pasti perbezaan dalam kalangan masyarakat pada usia yang sangat awal. Mereka belajar sikap tertentu dan bertindak balas kepada perbezaan yang ada dengan melihat bagaimana orang dewasa (terutama ibu bapa) bertindak balas kepada perbezaan tersebut.

Sebagai ibu bapa, kita mungkin berat sebelah dan teragak-agak dalam menyelesaikan pelbagai perkara, namun ia sangat penting untuk kita agar tidak berat sebelah kepada anak-anak kita, hal ini kerana apabila berbuat demikian bermakna kita menafikan bahawa generasi akan datang berpeluang untuk mencapai potensi penuh mereka.

Pengajaran toleransi untuk anak anda pada peringkat awal adalah perlu, bukan sekadar sifat toleransi adalah tulang belakang yang memegang kita sebagai rakyat malaysia, tetapi juga kerana kanak-kanak yang belajar untuk berfikiran terbuka terhadap perbezaan akan cenderung untuk diberi lebih banyak peluang dalam semua aspek kehidupan. Pendek kata, kejayaan dalam dunia hari ini bergantung kepada kemampuan untuk mengetepikan semua perbezaan dengan sikap saling menghormati, memahami dan mampu bekerja dan berinteraksi secara berkesan dengan orang lain.

Berikut adalah beberapa tip bagaimana anda boleh mengalakkan toleransi dalam diri anak anda.

Berbicara mengenai toleransi

Bersedia untuk berbicara dengan anak anda mengenai perbezaan setiap individu dan cuba untuk mewujudkan dialog terbuka tentang semua isu sosial. Pastikan anda mengendalikan perbincangan anda dengan cara tidak menghukum anak anda kerana anak anda akan mengikut sebarang prejudis atau berat sebelah yang terdapat pada diri anda.

Perkenalkan kepelbagaian

Kanak-kanak di awal usia akan melihat perbezaan pada rupa paras seseorang – pendek, tinggi, kurus, gemuk, warna kulit, dan perbezaan jantina. Penyebabnya adalah pada ketika ini, kanak-kanak sedang membentuk keperibadian diri dan perasaan ingin tahu tentang keadaan sekeliling. Apa yang boleh anda lakukan, memerhati dan memberi reaksi kepada perasaan ingin tahu yang mereka ada dengan cara yang mudah.

Mengendalikan detik-detik memalukan

Kanak-kanak boleh bersuara dengan lantang dan memalukan mengenai perbezaan fizikal tanpa sebarang niat dan prejudis yang disengajakan. Kendalikan situasi seperti ini dengan cara memberi reaksi yang lebih berhemah. Pastikan penerangan anda mudah, kukuh, dan positif. Jelaskan bahawa bersuara dengan lantang mengenai penampilan seseorang boleh menyakitkan perasaan mereka.

Cabaran perkataan prejudis

Beritahu anak anda dari awal usia bahawa memanggil nama dan kenyataan bersifat prejudis adalah berbahaya dan salah. Penting untuk tidak menggalakkan bercakap perkataan yang kasar seperti “saya benci …” dan tidak membenarkan penggunaannya terhadap orang lain. Mengajar kanak-kanak untuk memilih bahasa yang tidak melampau, yang akan membantu mereka mengelakkan pengaruh negatif di kemudian hari.

Dedahkan anak-anak anda kepada budaya dan gaya hidup berbeza

Semakin banyak kanak-kanak terdedah kepada perbezaan kaum dan budaya, semakin selesa mereka dengan semua jenis orang. Ia adalah satu proses berperingkat yang melibatkan bimbingan merentasi halangan budaya. Cuba wujudkan peluang untuk anak anda berinteraksi dan berkawan dengan orang yang berbeza daripada mereka. Libatkan keluarga lain dalam berkongsi tradisi mereka, seperti makanan, permainan, dan cuti.

Pamerkan kelakuan yang anda ingin lihat

Ibu bapa adalah model utama bagi kanakkanak. Jadi, perhatikan sikap prejudis anda sendiri! Sentiasa konsisten dalam bagaimana anda melayan orang lain dan menjaga bahasa yang anda gunakan untuk menggambarkan orang lain. Jangan sekali-kali menggunakan lawak perkauman atau kenyataan prejudis yang lain-lain kerana kanak-kanak sentiasa tidak boleh membezakan antara kata-kata sindiran dan perasaan sebenar.

Pengajaran toleransi merupakan sebahagian daripada pembangunan peribadi dan kejayaan kanak-kanak pada masa depan. Walaupun fakta menyatakan bahawa mereka akan membesar menjadi diri mereka sendiri, nilai-nilai teras mereka adalah dipupuk oleh anda. Dengan mengajar anak anda untuk menerima kepelbagaian di dunia, anda akan memberikan anak anda hadiah untuk seumur hidup.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen