Bermain adalah penting untuk kanakkanak, tetapi ia lebih penting bagi kanak-kanak dengan keperluan istimewa, iaitu untuk merangsang perkembangan dan pembelajaran mereka.

Sebenarnya, bermain merupakan salah satu bentuk terapi yang digunakan oleh pakar tertentu untuk berinteraksi dengan kanakkanak serta membantu mereka meluahkan perasaan dan emosi. Terapi ini juga digunakan dalam program intervensi yang berkesan seperti intervensi awal, terapi pertuturan, terapi pengurusan ibu bapa, intervensi keluarga kepada kanak-kanak yang mengalami rangkaian gangguan tingkah laku dan fizikal yang meluas seperti gangguan bahasa, gangguan kelakuan, Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD), autisme dan serebral palsi.

Pelbagai bahan mainan (seperti barang permainan, bahan seni) dan kaedah mainan digunakan dalam terapi bermain yang disediakan dan dipandu oleh ahli profesional terlatih. Di rumah, ibubapa digalakkan untuk menggunakan permainan sebagai medium membina perhubungan ibubapa-anak positif, dan menyokong anak dalam perkembangan penggunaan kosa kata dan kemahiran komunikasi, sosial dan penyelesaian masalah.

Mengapa Bermain?

ADHD - Kanak-kanak ADHD mempunyai daya tumpuan singkat, bersikap hiperaktif dan luar jangkaan. Gejala ini menyukarkan kanak-kanak memberi tumpuan dan menghabiskan sesuatu tugasan. Mereka sering mengalami kesukaran dalam menumpukan perhatian di dalam kelas dan bersosial dengan kanak-kanak lain yang sama usia.

Penglibatan dalam permainan dan aktiviti yang sesuai dapat membantu kanak-kanak ADHD mengembangkan penumpuan yang lebih baik, meningkatkan keyakinan diri dan belajar bersosial serta berinteraksi secara betul dengan kanak-kanak lain. Waktu bermain juga merupakan peluang untuk memumpuk perhubungan yang erat dan positif antara ibu bapa dengan anak; yang biasanya tegang disebabkan oleh simptom ADHD.

Autisme - Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran berinteraksi dengan kanak-kanak lain secara biasa. Mereka lebih gemar bermain sendiri, menjadi obses dengan objek dan berada dalam dunia sendiri. Mereka juga kurang berkemampuan membaca ekspresi emosi dan isyarat sosial, menyebabkan perkembangan komunikasi-sosial mereka terjejas.

Permainan yang menumpukan pada minat kanak-kanak serta menggalakkan interaksi boleh membantu memperbaiki kemahiran komunikasi dan antara peribadi mereka.

Serebral palsi - Ia adalah suatu keadaan semulajadi yang menjejaskan ton otot, pergerakan dan kemahiran motor, mengakibatkan kekakuan, kesukaran bergerak dan pergerakan tidak sengaja. Kanak-kanak serebral palsi akan mengalami suatu tahap ketidakbolehan fizikal tertentu. Mereka mengalami kesukaran melaksanakan tugasan mudah seperti berdiri tanpa bergerak atau memegang objek.

Walaupun mereka mungkin tidak bersedia untuk bermain, namun mereka perlu bermain untuk mengembangkan kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan deria mereka.

Jenis mainan dan alatan sesuai bagi kanak-kanak istimewa

ADHD

  • Aktiviti sukan dan fizikal untuk membakar tenaga berlebihan mereka.
  • Permainan mudah dengan sedikit peraturan dan masa bermain singkat, contohnya teka-teki mudah agar mereka boleh menghabiskannya dan tidak akan rasa kecewa.
  • Aktiviti seni menggunakan krayon, cat dan plastisin untuk membantu menumpukan perhatian dan mengekspresi diri.
  • Lakonan imaginasi, seperti bermain drama, barang permainan seperti anak patung dan boneka, bagi membolehkan penggunaan imaginasi dan meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi.

Autisme

  • Alat mainan untuk merangsang deria, seperti duduk-dan-pusing, trampolin, buaian dan lubang bola untuk membantu kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, dan merangsang penglihatan.
  • Alat permainan tekstur menarik, seperti bola lembut bercahaya dan berbunyi untuk meningkatkan kemahiran motor, koordinasi tangan-mata, merangsangkan penglihatan dan pendengaran.
  • Alat permainan mudah seperti blok dan permainan papan untuk membantu belajar tentang mengambil giliran, berinteraksi dan kemahiran sosial.

Serebral palsi

  • Alat mainan mudah yang memerlukan kemahiran manipulatif, seperti pasak bertingkat berwarna-warni, blok binaan, cantuman kepingan gambar yang besar. Ini membantu melatih kanak-kanak untuk memegang dengan betuk dan erat.
  • Gantung alat permainan pada tempat tidur bayi untuk menggalakkan kanak-kanak berlatih mencapai barang permainan di hadapannya; ini membantu mengembang kemahiran koordinasinya.
  • Barang permainan yang merangsang deria, seperti barang permainan bertekstur, berbunyi, berwarna atau berbentuk, seperti blok kayu dan pasir. Ibu bapa perlu mendapat nasihat pakar fisioterapi atau pakar terapi kerja terdahulu untuk memastikan barang mainan deria adalah bersesuaian untuk gangguan serebral palsi.