Kencing dalam tidur atau mengompol, juga dikenali sebagai nocturnal enuresis, adalah rungutan biasa di kalangan ibu bapa. Masalah ini boleh membimbangkan ibu bapa dan si manja sendiri. Ia berlaku apabila otak si manja tidak menghantar isyarat kepada pundinya untuk menahan air kencing semasa tidur. Bagi kanak-kanak, rasa malu dan bersalah boleh menjejaskan keyakinan diri, manakala ibu bapa pula akan terus merisaukan tentang perkembangan anak mereka. Namun, seperti berjalan dan bercakap, kanak-kanak akan mencapai setiap tahap perkembangan mengikut kemampuan masing-masing.
Statistik:
Menurut Akademi Pediatrik Amerika, sehingga 25% kanakkanak berusia lima tahun dan 10% kanak-kanak berusia enam tahun masih mengompol. Di samping itu, kajian yang dijalankan di Malaysia oleh Kanaheswari Y. pada tahun 2003 mendapati bahawa 8% kanak-kanak yang berumur antara 7 hingga 12 tahun masih mengompol.
Fakta Kencing dalam Tidur
- Ia bukan masalah tabiat. Kanak-kanak mengompol bukan kerana terlalu malas atau takut untuk ke tandas.
- Ia masalah genetik. Jika anda dan pasangan anda mengompol semasa kecil, besar kemungkinan (70%) anak anda menghadapi masalah sama.
- Hubungan emosi. Kejadian yang membuat kanak-kanak merasa tertekan seperti berpindah rumah, kelahiran adik baru dan permulaan persekolahan juga boleh menyebabkan mereka mengompol walaupun mereka berupaya menahan kencing semasa tidur malam.
- Lebih ramai kanak-kanak lelaki berbanding perempuan kencing dalam tidur.
- Ia akan berhenti. Kebanyakan kanak-kanak akan dapat mengawal pundi kencing sepanjang malam apabila mencapai umur baligh.
Menangani Masalah Kencing dalam Tidur
Lambat-laun si manja pasti dapat mengawal pundi kencingnya. Tetapi sementara itu, terdapat beberapa cara yang boleh memudahkan pengalaman tersebut dan menyediakan si manja untuk peringkat yang seterusnya:
- Bersimpati dengannya.
Jangan menghukum atau mengkritik anak anda. Sebaliknya, katakan bahawa orang lain (termasuk anda sendiri) pernah melalui pengalaman yang sama semasa kecil. Si manja pasti tidak akan merasa tertekan apabila mengetahui orang lain pernah mengalami keadaan yang sama dan berjaya menanganinya. - Kawal minum pada waktu malam.
Cara ini tidak dapat mencegah sepenuhnya si manja daripada kencing dalam tidur, tetapi dapat mengurangkan pengeluaran air kencing. Jangan minum 2 jam sebelum tidur dan elakkan pengambilan minuman berkafein (seperti minuman coklat, berkarbonat) pada waktu malam. Kafein akan meningkatkan kadar pengeluaran air kencing. - Rutin biasa.
Ini termasuk kencing sebelum tidur dan menetapkan waktu untuk si manja masuk tidur. Apabila mereka mengikut jadual, anda secara tidak langsung melatih mereka mengosongkan pundi kencing pada waktu ditetapkan. - Bersedia.
Lindungi tempat tidur dengan menggunakan tilam atau cadar kalis air. Letakkan sepasang baju tidur dan cadar bersih berdekatan supaya anda dan anak anda boleh menyalin pakaian dan menyambung tidur dengan cepat jika dia mengompol. - Raikan malam yang kering.
Puji anak anda dan beri galakan jika dia tidak ngompol. Ini akan membuat si manja rasa gembira dan yakin untuk terus mencuba. Namun, jangan memuji secara berlebihan.
Doktor Diperlukan! Jika anak anda masih mengompol walaupun sudah berumur tujuh tahun, atau tiba-tiba mengompol semula, ini mungkin menandakan si manja menghadapi masalah kesihatan atau mengalami gangguan emosi. Bawa anak anda berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan.
Komen