Pengasuhan Positif

Menjalankan Urusan Di Luar Bersamasama Anak-anak Anda

Membawa anak-anak semasa menjalankan urusan di luar seperti pergi ke bank, membayar bil, membeli-belah dan sebagainya mungkin nampak susah atau ada kalanya memeningkan, terutama sekali apabila anda menjalankan urusan tertentu yang mungkin tidak diminati oleh anak-anak anda.

Bagaimanapun, dengan persediaan yang betul, anda boleh melakukannya tanpa sebarang masalah. Anda boleh belajar cara yang berkesan untuk mengaturkan hari anda dan menjalankan urusan bersama anak-anak sambil menangani hal-ehwal peribadi.

Di rumah, sebelum anda keluar
  • Buat jadual urusan yang perlu diselesaikan. Ketahui apa yang anda ingini dan di mana anda boleh mendapatkannya.
  • Atur semula keutamaan dan gabungkan urusan di kawasan yang sama bagi mengurangkan masa perjalanan. Ini akan mengurangkan jumlah masa yang anda habiskan memandu dari satu lokasi ke lokasi lain untuk menjalankan urusan.
  • Masukkan semua barang yang mungkin anda perlukan untuk anak-anak ke dalam beg dan bawa bersama. Jangan lupa untuk membawa makanan snek yang sihat, beg lampin jika anda membawa anak kecil, bekalan penjagaan kebersihan dan pakaian untuk persalinan.
  • Cuba selesaikan sesetengah daripada urusan anda menerusi Internet. Sebagai contoh, anda boleh membeli produk tertentu dari laman web kedai atau membayar bil telefon dalam talian tanpa perlu ke kedai telekom.
  • Akhir sekali, anda perlu berkomunikasi dengan anak-anak dan terangkan rancangan anda kepada mereka, termasuk berapa lama masa yang akan diambil untuk menjalankan urusan anda dan apa yang anda akan lakukan apabila pulang ke rumah. Jika mereka faham, mereka pasti yang memberi kerjasama.
Semasa keluar
  • Sentiasa positif apabila menjalankan urusan bersama anak-anak. Ini akan membuat anak-anak anda juga bersikap positif, dan mungkin mempengaruhi mereka untuk berkelakuan baik dan mengikut arahan anda. Anak-anak anda juga mungkin menunjukkan mood yang baik sepanjang masa anda menjalankan urusan anda.
  • Ingatkan anak-anak anda supaya menjaga tingkah laku. Beritahu mereka apa yang anda harapkan dan tawarkan ganjaran jika mereka berkelakuan baik.
  • Lekakan anak-anak dengan mainan dibawa dari rumah. Tiada cara untuk meramalkan sama ada anda perlu beratur panjang di bank atau di kedai farmasi. Jadi, bila anda membawa anak-anak bersama, bawa beg kecil berisi barangan atau mainan kecil seperti boneka jejari, pad kertas dan beberapa batang krayon untuk melekakan anak-anak kecil dengan aktiviti mereka sendiri. Mereka juga boleh membantu memilih warna pek tisu yang anda beli, bermain ba cak sementara anda berjalan antara lorong rak untuk mencari dan memilih barang keperluan.
  • Beri peranan kepada anak-anak apabila membeli-belah. Anda boleh cuba menyuruh mereka menjumlahkan kos barang yang anda beli sambil anda mencari dan memilih barang lain. Atau menyuruh mereka memegang beg sementara anda mengisinya, atau mengira berapa biji epal yang anda isi ke dalamnya – anda boleh melakukan apa sahaja untuk melekakan mereka.
  • Paling penting sekali, beri pujian apabila anak-anak anda berkelakuan baik. Kerjasama mereka, walau sekecil mana sekalipun, amat penting apabila anda menjalankan urusan di luar. Pujian seperti “Wah¡­ pandainya adik kira harga atau kira epal” membuat anak-anak kecil berminat untuk terus memberi kerjasama.
Semasa keluar
  • Kaji semula dengan anakanak anda apa yang telah anda semua lakukan semasa keluar dan beri mereka petua untuk membaiki keadaan apabila anda membawa mereka bersama pada masa hadapan.
  • Beri ganjaran kepada anakanak anda apabila segala urusan selesai. Ini akan mendorong mereka terus berkelakuan baik dan mungkin menguja anak-anak apabila anda membawa mereka untuk urusan lain. Anda boleh membelikan pelekat atau memilih hadiah untuk mereka, atau membawa mereka makan manisan, tetapi jangan membelikan barang-barang mahal supaya anda mampu mengulanginya apabila anda membawa mereka pada lain masa.
  • Akhir sekali, anda sendiri patut mendapat pujian – anda berjaya menjalankan satu lagi urusan tanpa sebarang masalah!

Petua-petua yang berguna ini mudah dan tidak akan menambah masa pemergian atau beban anda. Menyelitkan sedikit keseronokan pasti akan menceriakan hari anda bersama anak-anak. Malah, ia akan menjadikan seluruh proses lebih menyenangkan untuk anda!

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen