Pengasuhan Positif

Sembuh Daripada H1N1

Sejak setahun kebelakangan ini, penyakit influenza A (H1N1) yang dipendekkan telah membangkitkan kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia. Namun demikian, ramai yang mula rasa lega dengan vaksinasi dan pelbagai langkah pencegahan yang tersedia sekarang. Seperti kebanyakan ibu bapa lain, Abdullah Afandi tidak menyangka anak lelaki beliau yang berusia 8 tahun, dan juga beliau suami isteri akan turut dijangkiti dengan H1N1.

Demam Selsema Biasa Sahaja?

“Saya telah berjanji untuk membelikan anak lelaki saya, Daniel, sebuah Sony Playstation Portable (PSP) dan kami ke Kuala Lumpur untuk membelinya. Walaupun demam sedikit pada hari sebelum bertolak, namun Daniel masih nampak seperti biasa. Tetapi selepas membuat pembelian, Daniel langsung tidak berminat dengan barang mainan barunya. Dia hanya duduk senyap sepanjang perjalanan pulang dan juga tidak banyak bermain apabila tiba di rumah. Saya tahu pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan anak saya,” jelas Abdullah.

Abdullah dan isteri beliau, Nor Shafina, telah membawa anak mereka ke klinik, di mana doktor memberikan Daniel ubat untuk demam, selsema dan batuk. Pada masa yang sama, Abdullah pula mula demam sedikit. Selepas berehat sehari dan mengambil ubat pembelian-kaunter, Abdullah telah pulih dan dapat kembali bekerja. Daniel juga pulih dan kembali ke sekolah selepas tiga hari tidak sihat. Tetapi, tidak beberapa lama kemudian, Daniel telah sakit semula.

“Daniel tidur sepanjang tengahari selepas pulang dari sekolah dan matanya bengkak apabila bangun. Walaupun rasa lapar namun dia hanya mampu makan sebanyak 2-3 suapan sahaja. Daniel juga asyik mengantuk dan ingin tidur,” jelas Abdullah secara panjang lebar.

Sah H1N1!

Pada keesokan harinya, Abdullah dan isteri telah segera membawa anak tunggal mereka ke hospital. Doktor telah menjalankan ujian darah dan palitan tekak. Daniel telah didiagnos dengan suatu jangkitan bakteria dan dibenarkan pulang ke rumah dengan ubat. Pada malam yang sama, keputusan ujian tambahan telah mengesahkan bahawa Daniel menghidap H1N1.

Semakin Pulih

“Kami sangat terkejut apabila mendapat berita tersebut. Kami sangat susah hati melihat anak lelaki tunggal kami sakit dan lesu, tidak seperti biasa. Setelah didiagnos dengan H1N1, kami telah bertambah risau memikirkan apa yang akan berlaku walaupun dengan rawatan yang sedia ada.”

Pada keesokan harinya, Daniel telah diwadkan di hospital yang sama. Doktor memberikan Daniel beberapa ubat yang perlu diambil untuk H1N1 sebelum menjalankan ujian untuk virus H1N1 ke atas ibu bapa Daniel. Mereka tenang dan tidak terkejut apabila disahkan positif juga. Namun demikian, selain daripada demam Abdullah, mereka langsung tidak menunjukkan sebarang gejala H1N1. Abdullah dan Nor Shafina diwadkan bagi memantau pengambilan ubat dan perkembangan pemulihan mereka. Mereka bertiga menunjukkan pemulihan yang cepat dan dibenarkan pulang pada hari ketiga. Daniel kelihatan kembali sihat dan lebih aktif.

Mengambil Langkah Berjaga-jaga

Sebaik sahaja tiba di rumah, Nor Shafina tidak membuang masa untuk membersih rumah mereka. Semua cadar telah ditukar dan dibasuh. Tingkap rumah pula dibuka bagi membenarkan peredaran udara yang baik di dalam rumah. Perabot dibersih dengan sanitiser antibakteria dan tangan pula dipastikan bersih dengan sanitiser tangan. Abdullah dan keluarganya mengkuarantin diri mereka selama seminggu sebelum disahkan pulih sepenuhnya.

Oleh kerana ketiga-tiga mereka dikuarantin, hanya Abdullah sahaja yang keluar untuk membeli barangan keperluan harian. Beliau memakai topeng muka dan hanya ke tempat yang tidak sesak dengan orang ramai. Beliau juga memastikan dia membersihkan tangan dengan sanitiser antibakteria setiap kali keluar dan kembali ke rumah. Jiran tetangga mereka ingin menziarah tetapi dinasihatkan supaya menangguh niat mereka sehingga selepas tamat tempoh kuarantin dan apabila Abdullah sekeluarga disahkan pulih sepenuhnya.

“Kita biasanya tidak akan terfikir bahawa ia boleh berlaku pada diri kita sendiri. Tetapi pada hakikatnya, sesiapa sahaja boleh jatuh sakit dan kita perlu mengambil langkah yang betul bagi mencegah virus ini daripada merebak. Saya rasa kami sekeluarga sangat bernasib baik kerana sembuh tanpa sebarang komplikasi serius. Kami telah berdoa supaya Tuhan memberi kami kekuatan dan rahmat untuk menghadapi serta sembuh daripada penyakit ini”

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen