Pengasuhan Positif

Punca Kekurangan Pendengaran

Keradangan telinga tengah dikenali sebagai otitis media. Ia biasanya berlaku akibat selesema, sakit tekak atau kesukaran bernafas. Ia boleh berpunca daripada bakteria atau virus.

Menurut laporan kumpulan Penilaian Teknologi Kesihatan Malaysia (MaHTAS), di bawah Program Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, sekurang-kurangnya 500,000 kes otitis media berlaku setiap tahun di kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada dua tahun, dan 50% daripadanya adalah disebabkan pneumokokus. Dianggarkan bahawa 75% daripada kanak-kanak mengalami sekurangkurangnya satu kejadian otitis media sebelum mereka mencapai usia tiga tahun.

Otitis media boleh menyebabkan sakit yang teruk dan ia bermula dengan demam dan hidung berdengus berair. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa komplikasi serius, termasuk kehilangan pendengaran secara kekal disebabkan bendalir dalam telinga tengah untuk jangka masa yang lama.

Jenis Otitis Media

Otitis media boleh dibahagi kepada tiga jenis:

  1. Otitis Media Akut (AOM) – Bendalir, biasanya nanah, terdapat dalam telinga tengah. Si manja mungkin mengalami kesakitan, demam, kemerahan gegendang telinga, dan kerengsaan.
  2. Otitis Media dengan Efusi (OME) – Ini lebih biasa berlaku daripada AOM, dan kehadiran bendalir dalam telinga tengah hanya sementara. Bendalir tidak semestinya dijangkiti kuman.
  3. Otitis Media Bernanah Kronik – Ini berlaku apabila bendalir dalam telinga tengah berlarutan selama sekurang-kurangnya enam minggu, dan dianggap sebagai bentuk otitis media yang berpanjangan.

Punca

Bakteria seperti Streptococcus pneumoniae, Haemophilus influenzae dan Moraxella catarrhalis adalah punca utama otitis media. Haemophilus influenzae juga menyebabkan jenis jangkitan pneumokokus lain seperti sinusitis, meningitis, pneumonia, dan bakteremia.

Diklasifikasikan sebagai penyakit pneumokokal bukan invasif, otitis media kurang tenat tetapi lebih kerap berlaku berbanding meningitis, sejenis jangkitan pneumokokal invasif.

Adakah Anak Saya Menghidap Otitis Media?

Jika anak anda masih terlalu kecil dan belum boleh bercakap, cuba kesan tanda berikut untuk memastikan sama ada si manja mungkin mengalami otitis media:

  • Lebih kerap menangis tanpa sebab yang ketara.
  • Menyentap atau menarik sebelah telinga atau kedua-dua telinga.
  • Sukar tidur.
  • Tidak responsif kepada bunyi lembut.
  • Nampak tidak dapat memberi tumpuan di sekolah.
  • Pening.
  • Hilang imbangan.

Langkah Pencegahan

Untuk mengelakkan si manja anda daripada mendapat jangkitan, langkah berikut boleh diambil:

  • Susukan bayi anda. Susu ibu mengandungi antibodi yang melindungi si manja anda daripada banyak penyakit dan jangkitan. Terus menyusukan si manja sehingga dua tahun atau lebih untuk membina imuniti awal.
  • Elakkan pendedahan kepada asap rokok. Kajian menunjukkan bahawa asap rokok boleh meningkatkan jangkitan bakteria pada saluran pernafasan dan membebankan sistem imun, meningkatkan kekerapan dan tahap tenat jangkitan telinga.
  • Jaga kebersihan. Semaikan tabiat menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap untuk mencegah penyebaran kuman yang secara langsung atau tidak langsung boleh menyebabkan jangkitan telinga.
  • Dapatkan rawatan awal untuk selesema dan minta doktor anda lihat gegendang telinga anak.

Satu lagi cara yang berkesan untuk melindungi anak anda daripada otitis media ialah melalui imunisasi. Kajian menunjukkan bahawa kekerapan kanak-kanak mengalami otitis media dapat dikurangkan dengan ketara di kalangan mereka yang telah melengkapkan siri imunisasi (Rekod Epidemiologi Mingguan, 2007 – Pertubuhan Kesihatan Sedunia)

Vaksin haemophilus influenzae jenis b (Hib) – Menawarkan perlindungan daripada penyakit seperti pneumonia (radang peparu), meningitis (radang selaput otak) dan otitis media. Vaksin ini boleh didapati sebagai vaksin kombinasi yang melindungi daripada Hib, difteria, tetanus, dan pertusis (batuk kokol). Vaksin ini telah dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak tahun 2002 lagi.

Vaksin konjugat pneumokokal (PCV) – Melindungi si manja daripada jangkitan pneumokokus, termasuk otitis media, bakteremia (kuman dalam darah) dan sinusitis (“resdong”). PCV mengandungi 7 atau 10 jenis bakteria dalam bentuk tidak aktif, untuk melindungi si manja daripada jangkitan pneumokokal.

Bakteria jenis ini bertanggungjawab terhadap jangkitan pneumokokus teruk di kalangan kanak-kanak. PCV telah menurunkan bilangan kes penyakit pneumokokus teruk hingga hampir 80% di kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun di Amerika (Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, CDC, Amerika), di mana vaksin ini diberikan secara rutin kepada semua kanakkanak. Buat masa ini, PCV adalah vaksin opsyenal di Malaysia, yang boleh didapati di hospital dan klinik swasta.

Vaksin konjugat 10-valen baru melindungi daripada 10 jenis bakteria pneumokokus yang berlainan dan disediakan di Malaysia sejak bulan Oktober 2009.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai imunisasi dan vaksin, sila hubungi doktor anda.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen