Pengasuhan Positif

Pertusis Pada Orang Dewasa

Pertusis, atau batuk kokol, merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis. Penyakit berjangkit ini boleh menjejaskan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Tetapi oleh kerana gejala klasik pertusis sukar dilihat pada orang dewasa yang dijangkiti, maka penyakit ini sering tidak dikesan dan tidak dirawat dengan betul bagi remaja dan orang dewasa.

Akibatnya, ramai mungkin tidak sedar mereka dijangkiti pertusis dan menyebar kepada populasi yang mudah dijangkiti – bayi dan kanak-kanak kecil yang masih belum diberi vaksin lengkap terhadap pertusis. Kajian telah membuktikan bahawa ibu bapa baru, terutama sekali si ibu, merupakan sumber utama jangkitan untuk lebih 50% kes pertusis.

Bayi dan kanak-kanak kecil boleh mengalami komplikasi kesihatan yang teruk jika dijangkiti pertusis. Ia berpotensi membawa maut jika dijangkiti kanak-kanak berusia kurang daripada 2 tahun.

Perlindungan daripada pertusis

Imunisasi adalah satu-satunya cara untuk melindungi daripada pertusis. Insiden pertusis dan kematian akibat pertusis telah banyak berkurangan semenjak kemunculan vaksin pertusis pada tahun 1940an. Namun demikian, ia masih berlaku di beberapa tempat tertentu di dunia.

Punca utamanya adalah, tidak seperti vaksin lain (seperti vaksin cacar air) yang memberi imuniti sepanjang hayat, kesan perlindungan vaksin pertusis hanya bertahan selama 4 hingga 12 tahun. Walaupun telah lengkap imunisasi zaman kanak-kanak, mereka akan kehilangan imuniti terhadap penyakit ini apabila mencecah zaman remaja.

Satu suntikan penggalak pertusis diperlukan untuk memperolehi semula imuniti. Memastikan remaja dan orang dewasa menerima dos penggalak pertusis secara berkala bukan sahaja penting untuk melindungi diri mereka, malah untuk mencegah mereka daripada menyebarkan penyakit ini kepada bayi serta anak kecil.

Memperluaskan perlindungan

Di bawah Jadual Imunisasi Kebangsaan Malaysia, vaksin pertusis diberi dengan kombinasi difteria dan toksoid tetanus (DTP) kepada bayi berusia 2, 3 dan 5 bulan, bersama satu dos penggalak pada usia 18 bulan untuk menguatkan imuniti.

Pada usia 7 tahun, kanak-kanak akan menerima vaksinasi difteria dan tetanus (DT) atau “vaksin dua serangkai”, dan bukannya vaksin pertusis. Kita perlu dapatkan vaksin pertusis pada usia ini juga kerana vaksin pertusis hanya memberi pelindungan jangka pendek dan kanak-kanak akan kehilangan imuniti terhadap penyakit ini semasa membesar. Oleh demikian, kanak-kanak dinasihatkan mendapat vaksin Tdap dan bukannya vaksin DT pada usia 7 tahun ke atas bagi meningkatkan imuniti mereka terhadap pertusis.

Begitu juga apabila mencapai usia 15 tahun, kanak-kanak hanya akan menerima imunisasi untuk tetanus. Mereka perlu divaksin semula untuk perlindungan berterusan daripada pertusis.

Fakta & Data

  • Pada tahun 2004, terdapat 25,000 kes pertusis di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, lebih 8,000 adalah remaja dan lebih 7,000 merupakan orang dewasa.
  • Pada tahun 2008, pertusis telah menyebabkan lebih kurang 195,000 kematian bayi di negara-negara membangun.
  • Di Malaysia, kes pertusis yang tidak membawa maut jarang berlaku tetapi telah meningkat daripada 8 kes pada 2005 kepada 39 kes dalam 2009.

Cadangan

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan:

  • Remaja berusia 11-18 tahun perlu menerima Tdap sebagai ganti penggalak Td (tetanus difteria). Remaja yang telah menerima vaksin Td disarankan menerima satu dos Tdap.
  • Orang dewasa berusia 19-64 tahun patut menerima Tdap sebagai pengganti satu suntikan penggalak Td.
  • Orang dewasa, seperti ibu bapa, datuk nenek, penjaga kanak-kanak dan ahli kesihatan profesional yang berkontak rapat dengan bayi di bawah usia 12 bulan patut menerima Tdap.
  • Tdap boleh digunakan untuk menggantikan vaksin toksoid tetanus yang diberi jika kita terlibat dalam kecederaan untuk mencegah penyakit tetanus (kancing gigi).

Tambahan lagi, mereka yang sedang mengembara ke luar negara turut dinasihatkan mengambil suntikan penggalak pertusis bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit ini semasa di luar negara dan membawanya pulang. Sementara ini, hanya satu dose penggalak Tdap adalah disarankan.

Vaksin Pertusis di Malaysia

  • DTaP – Digunakan untuk imunisasi rutin zaman kanak-kanak, ia mengandungi vaksin aselular pertusis (aP) dan bukannya sel penuh pertusis (wP) dalam vaksin DTP. Keduadua vaksin ini mempunyai keberkesanan yang sama, tetapi DTaP mengandungi lebih kurang antigen pertusis dan kesan sampingan yang sedikit sahaja (seperti bengkak, sakit di tempat suntikan, demam).
  • Tdap – Digunakan sebagai suntikan penggalak untuk remaja dan orang dewasa, ia mengandungi komponen yang sama dengan vaksin DTaP, tetapi dengan antigen difteria dan pertusis yang dikurangkan.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen