Pengasuhan Positif

Penjagaan Untuk Cacar Air

Cacar air, yang berpunca daripada virus varicella-zoster, kerap dikatakan penyakit biasa zaman kanak-kanak. Gejala biasa meliputi ruam kulit yang gatal, kemerahan dan lama-kelamaan menjadi lepuh nipis, diiringi demam, sakit kepala, sakit tekak dan sakit perut. Penyakit ini selalunya berlarutan selama 5 hingga 10 hari.

Virus cacar air boleh tersebar dengan mudah dari seorang ke seorang melalui udara, air liur atau sentuhan terus dengan individu yang dijangkiti. Justeru, bersedialah untuk menghadapi kemungkinan bahawa anak anda akan mendapat cacar air pada zaman kanak-kanaknya. Jika keliru tentang langkah-langkah penjagaan cacar air, terutamanya untuk kanak-kanak, inilah peluang untuk anda memahaminya.

Kurangkan Kegatalan

Walaupun anda tidak boleh menghilangkan sama sekali kegatalan yang dirasai, anda boleh mengurangkan kerengsaan agar si manja merasa lebih selesa.

  • Mandikan anak anda dengan air suam atau air sejuk setiap 3 hingga 4 jam.
  • Gunakan sabun mandi yang lembut supaya tidak merengsakan kulitnya yang sensitif.
  • Sapu losyen kalamin, yang dapat membantu melegakan ruam gatal.
  • Pakaikan pakaian yang ringan yang kurang merengsakan kulit.

Doktor boleh memberi preskripsi antihistamina untuk melegakan kulit gatal yang teruk.

Mengelakkan Parut

Apabila anak anda menggaru tubuhnya, bakteria pada tangan dan di bawah kukunya boleh menjangkiti lepuh kulit yang pecah, menyebabkan jangkitan kulit yang boleh meninggalkan kesan parut. Pujuk anak anda supaya tidak menggaru tubuhnya. Petua lain termasuk:

  • Pastikan kuku anak anda sentiasa pendek supaya kulitnya tidak luka apabila digaru.
  • Ketika tidur, pakaikan sarung tangan kain lembut untuk mengelakkan si manja daripada menggaru dirinya secara tidak sengaja.
  • Selepas mandi, tekap badannya dengan tuala lembut, bukan mengesat, untuk mengelakkan lepuh daripada pecah.

Makan dengan Betul

Anak anda mungkin tidak berselera makan dalam beberapa hari pertama selepas dijangkiti cacar air. Lepuh dalam mulut dan tekaknya mungkin menyukarkan si manja untuk makan. Jadi, anda perlu:

  • Pastikan anak anda mendapat cecair secukupnya (seperti air kosong atau jus buah-buahan) untuk mengekalkan hidrasinya.
  • Berikan diet yang seimbang bagi membantu anak anda pulih daripada penyakit.
  • Berikan makanan lembut, sejuk dan tawar supaya mudah dikunyah.
  • Ubat anti-virus seperti acylovir, jika diberi awal dalam penyakit, akan kurangkan ketenatan dan ruam.

Mencegah Cacar Air

Walaupun cacar air biasanya tidak teruk, ketidakselesaan anak anda boleh mendatangkan tekanan. Penyakit ini juga mungkin boleh menjadi lebih teruk. Oleh itu, untuk mengelakkan segala kesusahan akibat cacar air, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah untuk mencegah penyakit ini.

  • Beri susu ibu

    Ibu yang pernah dijangkiti cacar air lebih imun kepada penyakit ini dan boleh memberikan keimunan kepada bayi yang baru lahir melalui antibodi dalam susu badannya. Justeru, ibu digalakkan untuk menyusukan bayi mereka sekurang-kurangnya beberapa bulan pertama selepas kelahiran.
  • Vaksinasi

    Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), vaksin cacar air adalah cara terbaik untuk mencegah penyakit ini. Ia memberikan perlindungan yang menyeluruh kepada lebih kurang 80-90 peratus kanak-kanak yang telah diberi imunisasi. Jangkitan cacar air apabila remaja atau dewasa akan akibatkan lebih komplikasi lagi.

Empat Penyakit-dalam-Satu

Kini, terdapat vaksin empat serangkai MMRV (campak, beguk, rubela & varisela) baru, yang menggabungkan vaksin wajib untuk menentang campak, beguk dan rubela (MMR) dengan vaksin cacar air. Ibu bapa boleh memilih untuk memberi anak mereka perlindungan tambahan daripada cacar air tanpa perlu menambah bilangan suntikan untuk anak mereka. Bincang dengan doktor jika anda ingin memilih vaksin ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen