Pengasuhan Positif

Lindungi Daripada Penyakit Pneumokokus

Sememangnya terdapat banyak ancaman ke atas kesihatan anak kita. Dan angka statistiknya telah menunjukkan bukti yang membimbangkan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih kurang sepuluh juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia akibat pelbagai penyakit dan jangkitan.

Penyakit berjangkit merupakan penyumbang majoriti kepada angka ini. Di kalangan pelbagai agen berjangkit yang menyebabkan penyakit kepada tubuh anak kita, yang paling ketara adalah Streptococcus pneumoniae.

Bakterium yang turut dikenali sebagai pneumokokus ini merupakan punca penyakit pneumokokal. Ia adalah penyakit yang melibatkan banyak sistem organ. Jangkitan pneumokokal invasif termasuk meningitis (radang pada lapisan di sekeliling otak), pneumonia (radang paru-paru) dan bakteremia (jangkitan darah). Antara manifestasi bukan invasif yang lazim pula ialah otitis media (jangkitan telinga) dan sinusitis (jangkitan sinus).

Dalam isu ini, kita akan mengetahui lebih lanjut tentang meningitis, salah satu daripada kesan yang paling ketara akibat bakterium pneumokokus dan bagaimana anda boleh melindungi anak anda daripadanya.

Apakah Meningitis?

Meningitis ialah jangkitan meninges, iaitu lapisan nipis yang mengelilingi otak dan saraf tunjang. Masalah ini biasanya disebabkan oleh bakteria dan virus yang menjangkiti kulit, saluran gastrousus dan pernafasan. Kuman merbahaya ini kemudian bergerak ke meninges menerusi salur darah dan cecair serebrospina (cecair yang beredar di dalam dan sekeliling saraf tunjang), menyebabkan radang meninges.

Virus atau Bakteria?

Meningitis lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus atau bakteria. Mengenal pasti samada meningitis disebabkan oleh virus atau bakteria adalah penting kerana ketenatan penyakit dan rawatan adalah berbeza dan bergantung kepada punca meningitis.

Meningitis virus berlaku dengan lebih kerap tetapi ia kurang serius berbanding dengan meningitis bakteria. Kebanyakan pesakit akan pulih dengan sendiri dalam masa lebih kurang dua minggu.

Meningitis bakteria boleh mengakibatkan padah yang lebih serius, seperti kerosakan otak, kehilangan pendengaran, buta dan mungkin, maut. Ia juga akan merebak dengan cepat, menyebabkan diagnosa dan rawatan awal sangat penting. Streptococcus pneumoniae dan Neisseria meningitidis merupakan penyebab utama meningitis bakteria pada masa kini.

Adakah Anak Anda Menghadapi Risiko?

Kebanyakan kes meningitis dialami oleh kanak-kanak kecil berusia kurang 5 tahun. Kanak-kanak yang dihantar ke pusat jagaan siang dan kemudahan asuhan kanak-kanak lain juga menghadapi risiko meningitis yang lebih besar. Ini kerana meningitis mudah berjangkit dan disebarkan menerusi batuk, bersin atau berkongsi perkakas makan atau berus gigi.

Mengesan Meningitis di Peringkat Awal

Gejala awal meningitis boleh disalah anggap sebagai selesema biasa atau flu. Bukan itu sahaja, gejala ini mungkin sama dalam meningitis virus dan bakteria. Oleh kerana meningitis bakteria boleh mengakibatkan maut, anda tidak harus memandang ringan terhadapnya. Bawa anak anda berjumpalah doktor sertamerta jika dia menunjukkan sebarang tanda. Lebih cepat awal pengesanan, lebih tinggi peluang pemulihan tanpa sebarang kerumitan serius.

Gejala umum meningitis termasuk:

  • Demam tinggi
  • Sakit kepala
  • Fotofobia (kepekaan mata kepada cahaya)
  • Ketegangan leher
  • Kekeliruan
  • Muntah

Bayi yang menghidap meningitis tidak menunjukkan gejala di atas. Sebaliknya, mereka mungkin mengalami demam dan asyik meragam. Anda mungkin menghadapi masalah menenangkan si manja, walaupun anda mendukung dan memujuknya.

Apa Yang Patut Dilakukan

Jika anda mengesyaki bahawa anak anda menghidap meningitis, bawalah anak anda untuk bertemu doktor dengan sertamerta. Doktor kemungkinan besar akan menjalankan tusukan lumbar (cucukan spina) untuk mengumpulkan sampel cecair daripada tulang belakangnya. Cecair ini kemudian dianalisa untuk mengesan sebarang tanda radang, dan juga untuk menentukan virus atau bakteria yang menyebabkan jangkitan. Rawatan bergantung kepada punca meningitis.

Jika meningitis bakteria disahkan, doctor akan memulakan antibiotik intravena (IV) secepat mungkin. Anak anda akan diawasi untuk mengelakkan masalah serius seperti kerosakan otak.

Lindungi Anak Anda

Meningitis biasanya dikaitkan dengan jangkitan yang mudah berjangkit. Justeru, amalan penjagaan kebersihan yang baik dapat membantu mencegah meningitis. Cuba ambil langkah di bawah:

Ajar anak anda untuk kerap mencuci tangan, khususnya sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

Jaga kesihatan si manja dengan memastikan dia mendapat rehat yang cukup, kekal dan mengambil pemakanan yang sihat dan seimbang.

Cegah anak anda daripada berkongsi perkakas makanan dengan kanak-kanak lain.

Pastikan semua mainan sentiasa bersih.

Beri Vaksin Kepada Anak Anda!

Cara terbaik melindungi anak anda daripada meningitis ialah menerusi pengimunan. Vaksin berkesan untuk merangsang badan menghasilkan antibodi menentang patogen yang menyebabkan meningitis.

  • Vaksin Haemophilus influenzae jenis b (Hib). Kajian menunjukkan virus Haemophilus influenzae jenis b (Hib) ialah punca utama meningitis di Malaysia. Sejak 2002, vaksin Hib diwajibkan bagi semua bayi di Malaysia.
  • Vaksin pneumokokal konjugat (PCV). PCV memberi perlindungan daripada 7 jenis bakteria pneumokokal. Jenis bakteria ini adalah punca kebanyakan jangkitan pneumokokus yang lebih ketara di kalangan kanak-kanak. Namun, vaksin ini telah menurunkan bilangannya sebanyak kira-kira 80% di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah (daripada Center for Disease Control and Prevention). Buat masa ini, PCV ialah vaksin opsyenal di Malaysia dan boleh didapati daripada hospital atau klinik swasta.
  • Vaksin empat-valen meningokokal. Bakteria Neisseria meningitidis boleh mencetus wabak meningitis. Vaksin ini adalah vaksin jenis opsyenal di Malaysia. Ia diberi kepada semua yang menunaikan Haji atau umrah di Mekah.

Dengan adanya teknologi perubatan yang semakin canggih, kini kita telah mempunyai inovasi baru dalam penghasilan vaksin. Vaksin jenis 10-valen pneumokokal konjugat yang akan disediakan pada masa akan datang berpotensi untuk mencegah lebih daripada 18% penyakit pneumokokal yang lebih invasif berbanding vaksin 7-valen yang sedia ada di Asia. Ia menawarkan perlindungan daripada tiga jenis pneumokokal tambahan dan telah dicipta untuk melindungi kanak-kanak daripada penyakit pneumokokal invasif dan bukan invasif seperti otitis media. Vaksin ini akan didapati di Malaysia tidak beberapa lama lagi. Dengan inovasi canggih ini, pelbagai penyakit boleh dicegah secara serentak serta dengan bilangan suntikan yang berkurangan berbanding terpaksa menerima vaksin secara berasingan untuk penyakit berbeza.

Imunisasi boleh memainkan peranan penting untuk melindungi anak anda daripada meningitis. Pastikan anak anda menerima semua imunisasi piawai yang disyorkan untuk kanak-kanak di Malaysia. Jangan ragu-ragu untuk meminta nasihat doktor tentang vaksin tidak wajib di Malaysia.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen