Pengasuhan Positif

Ketakutan Serangan Rotavirus Deena & Amzar

Hashim dan Ariza hampir kehilangan ikhtiar. Anak bongsu mereka, Deena Sofya, 3 tahun, diserang demam panas, muntah-muntah dan cirit-birit selama beberapa hari. Sudah berkali-kali mereka membawanya ke klinik tetapi demam Deena tidak juga kebah. Dia sentiasa lesu dan tidak bermaya. Tidak mahu makan dan memuntahkan apa sahaja yang cuba disuapkan oleh Hashim. Malah susu pun tidak dapat ditelannya. Tiada lagi tenaga dalam dirinya. Tubuh badannya yang kecil menjadi semakin lemah, menyebabkan ibu bapanya semakin terdesak.

“Kami cuba apa sahaja untuk menurunkan suhu badannya,” kata Hashim. “Kami menjaram badannya, malah cuba bagi dia aiskrim! Semuanya tidak berkesan, dan kami membawanya ke hospital dengan segera.”

Manakala tidak jauh dari situ, Farihan dan suaminya Anizam berasa bimbang kerana ada yang tidak kena dengan Amzar, anak lelaki mereka yang berumur setahun. Semenjak Farihan membawanya pulang dari pusat asuhan Jumaat yang lalu, anaknya mula bersikap pelik. Keesokannya pula, dia muntahmuntah. Pada Ahad itu, Farihan membawa Amzar ke klinik dan didiagnos dengan kembung perut lalu diberi ubat untuk angin dan mengelakkan muntah-muntah.

Hari Isnin berlalu dan disebabkan keadaan Amzar yang semakin pulih, dia dihantar semula ke pusat asuhan sambil Farihan meneruskan kerja sepenuh masanya sebagai pensyarah universiti. Namun, apabila menjemput anak sulungnya Fawza yang berumur 6 tahun dari tadika, Farihan mendapati Fawza mengalami simptom yang sama seperti Amzar: sakit perut diikuti muntah-muntah teruk apabila waktu malam.

“Saya pernah baca mengenai Rotavirus tetapi saya tidak mengaitkannya pada masa itu,” kata Farihan. “Keesokan hari, Amzar mula demam dan kembali muntah! Kami tahu mereka mesti dibawa ke hospital.”

DIAGNOSIS PENYAKIT

Sama seperti Deena, Amzar dan Fawza juga didiagnos dengan jangkitan Rotavirus. Akhirnya, ibubapa mereka tahu bahawa muntah-muntah dan cirit-birit tersebut adalah bukan yang biasa. Persoalan seterusnya “Apakah Rotavirus?”

Rotavirus adalah sejenis virus yang sangat mudah menjangkiti usus. Ia biasanya terdapat dalam najis kanak-kanak yang dijangkiti dan disebarkan menerusi sentuhan dengan najis yang dijangkiti.

Rotavirus boleh disebarkan dengan mudah dalam banyak cara: apabila kanakkanak tidak membasuh tangan mereka selepas menggunakan tandas atau sebelum makan, atau daripada orang dewasa yang mendapat jangkitan atau mengendalikan bayi yang dijangkiti. Oleh kerana Rotavirus boleh hidup selama berjam-jam pada tangan manusia dan berhari-hari pada permukaan keras dan kering, ia juga boleh disebarkan menerusi air dan makanan tercemar atau apabila kanak-kanak menyentuh objek dan permukaan tercemar, dan kemudian menyentuh mulut mereka.

Mengenal pasti jangkitan Rotavirus

Rotavirus menyebabkan demam, loya dan muntah, diikuti sakit perut dan cirit-birit selama 3 hingga 8 hari. Cirit-birit boleh menjadi teruk hingga boleh menyebabkan penyahidratan. Tanda-tanda penyahidratan termasuk rasa dahaga, rengsa, lesu, mata cengkung, mulut dan lidah kering, kulit kering dan bagi bayi, lampinnya tidak basah selama beberapa jam.

SEMASA DI HOSPITAL

Lima hari Deena terbaring di hospital. Cecair intravena dimasukkan setelah kehilangan terlalu banyak cecair akibat muntah dan cirit-birit. Kedua-dua ibu bapanya benar-benar merasa lega apabila keadaannya beransur pulih. Jika Deena berusia lebih muda, sudah tentu penyahidratan itu boleh meragut nyawanya. Di kalangan kanak-kanak berusia 6 hingga 24 bulan, penyahidratan yang teruk boleh mengakibatkan kejutan, kegagalan buah pinggang, kerosakan otak dan juga maut.

Bagi Amzar yang berumur setahun, risiko penyahidratan adalah ketara. “Fawza yang lebih tua sembuh lebih cepat dari jangkitan Rotavirus. Dengan Amzar, saya dapati kulitnya semakin berkedut. Dia juga terlalu lemah. Namun, dengan cecair intravena, keadaannya semakin baik. Lima hari kemudian, dia boleh makan bubur semula!” kata Farihan dengan senyuman.

v3-article15b-bm1

v3-article15b-bm2

v3-article15b-bm3

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen