Pengasuhan Positif

Hindari Jangkitan Pneumokokus

Wabak influenza A(H1N1), yang pertama kali dikesan pada pertengahan April 2009, boleh dikatakan reda buat seketika. Namun, kemunculan semula penyakit pada awal tahun ini mungkin menandakan permulaan gelombang kedua wabak H1N1. Sungguhpun situasi semasa tidak seburuk 2009, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan terus mengambil langkah untuk mencegah jangkitan dan komplikasi daripada penyakit ini.

Pneumokokus – Merumitkan Rawatan Influenza A(H1N1)

Meskipun kebanyakan kes H1N1 agak ringan dan ramai antara mereka yang dijangkiti penyakit ini biasanya sembuh, terdapat juga kes yang teruk dengan komplikasi yang boleh menatijahkan maut. Perangkaan daripada Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa kes influenza yang lebih teruk menjadi bertambah buruk disebabkan jangkitan bakteria sekunder, khususnya Streptococcus pneumoniae.

Pemantauan bakteria oleh CDC mendapati kes penyakit pneumokokus invasif (IPD) meningkat lebih daripada yang dijangkakan, seiring dengan peningkatan kes kemasukan hospital yang dikaitkan dengan influenza.

Komplikasi yang paling kerap berlaku adalah pneumonia, iaitu jangkitan peparu. Malah, dalam setiap wabak influenza yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini, pneumonia yang berpunca daripada jangkitan bakteria sekunder sering didapati menjadi punca penyakit dan kematian. Ini adalah kerana influenza memudahkan individu mendapat pneumonia dengan melemahkan daya ketahanan peparu, membolehkan bakteria seperti Streptococcus pneumoniae menyusup masuk dan menjangkiti tisu peparu. Bakteria ini juga boleh memasuki darah dan bendalir di sekeliling otak, menyebabkan bakteremia dan meningitis.

Influenza dan Kanak-kanak

Agak sukar untuk mengesan influenza di kalangan kanak-kanak kecil kerana mereka kerapkali tidak menunjukkan gejala influenza biasa seperti demam, sakit tekak dan kesukaran bernafas. Justeru, sebagai ibu bapa, anda harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak. Segera bawa anak anda berjumpa doktor jika mereka menunjukkan gejala berikut kerana mereka mungkin telah dijangkiti virus influenza A(H1N1):

  • Deman, batuk dan selsema.
  • Letih, lesu, tiada selera makan, cirit-birit dan/atau muntah.
  • Sukar bernafas.
  • Kulit/bibirnya kebiru-biruan.
  • Mengalami sawan.
  • Kurang tindak balas dan sukar bangun daripada tidur.
  • Dehidrasi (jika bayi, lampin tidak basah selama 12 jam).

Sesetengah kanak-kanak, terutama sekali yang berumur bawah 2 tahun dan mempunyai sistem imun yang lemah atau mengalami masalah peparu, jantung, hati, darah, otak, otot, tulang atau gangguan metabolisme, lebih berisiko dijangkiti influenza yang teruk dan mendapat jangkitan bakteria sekunder.

Mencegah Komplikasi daripada Penyakit Pneumokokus

Penyakit pneumokokus adalah salah satu punca utama kematian yang boleh dicegah dengan imunisasi.

Untuk mencegah penyakit Influenza, CDC mengesyorkan supaya orang ramai mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun sebagai langkah pertahanan pertama menentang influenza bermusim. Vaksin untuk melindungi daripada influenza H1N1 kini boleh didapati dan kanak-kanak berusia antara 6 bulan dan 10 tahun diberi keutamaan, kerana mereka lebih mudah mendapat jangkitan ini.

Di samping itu, vaksin pneumokokus juga disyorkan oleh CDC untuk mengurangkan penyakit dan kematian akibat jangkitan pneumokokus sekunder, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Vaksin konjugat pneumokokal (PCV) untuk kanak-kanak memberi perlindungan daripada 7 jenis serotip pneumokokus manakala Vaksin Konjugat Protein D Hemofilus Influenzae Tidak Berjenis (PHiD-CV) yang baru melindungi daripada 10 jenis serotip pneumokokus.

Dapatkan Perlindungan Vaksin Hari Ini

Penyakit influenza merupakan jangkitan tahunan dan tahun 2009- 10 merupakan wabak influenza A(H1N1) yang masih belum lagi reda. Ianya akan terus menjadi bahagian penting dalam kehidupan manusia. Seperti kebanyakan penyakit, kanak-kanak kecil adalah kumpulan berisiko tinggi. Ibu bapa hendaklah memainkan peranan mereka dengan memastikan anak mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya. Lindungi anak anda dengan vaksin Influenza sebelum terlambat. Dapatkan juga vaksin untuk mencegah daripada penyakit pneumokokus dan juga jangkitan bakteria lain kerana ia adalah salah satu komplikasi yang timbul daripada influenza A(H1N1).

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen