Pengasuhan Positif

Fahami Sistem Pertahanan Anak Anda

Persekitaran hidup kita penuh dengan ‘musuh kecil’, dalam bentuk virus, bakteria dan parasit, yang boleh ‘menyerang’ kita pada bila-bila sahaja. Si manja terdedah kepada musuh ini, menjadikan dia mudah mendapat jangkitan kerana sistem imunnya belum cukup matang.

Selain mendapatkan pengimunan atau pelalian, anda boleh melindungi sistem imun si manja anda secara berkesan dengan memberi mereka makanan berkhasiat, menjaga kebersihan dan imunisasi.

Bagaimana ia bertindak

Pada asasnya, badan si manja anda boleh melindungi dirinya sendiri menerusi sistem pertahanan badan – yang terbina daripada rangkaian sel, tisu dan organ. Sistem imun kita melindungi kita, mula-mula dengan membina benteng sekatan – yang menghalang ‘penyerang’ daripada memasuki badan kita. Benteng sekatan ini mematahkan serangan daripada luar badan kita.

A. Benteng pertahanan pertama: Imuniti tidak spesifik (imuniti semulajadi)

  • Kulit. Sekatan fizikal, yang mengeluarkan sebum dan peluh antiseptik yang ringan.
  • Mata. Air mata membersihkan kotoran dan mengandungi bahan antiseptik.
  • Mulut. Air liur, campuran mukus & enzim bantu membersihkan mulut.
  • Saluran pernafasan. Mukus yang dikeluarkan di sini memerangkap organisma, yang dihantar ke tekak oleh bulu halus dinamakan silium.
  • Perut. Asid hidroklorik dalam perut membunuh kebanyakan organisma yang menyerang.
  • Saluran kemaluan dan kencing. ‘Bakteria baik’ di dalamnya mencegah pertumbuhan organisma yang bahaya.
  • Usus. Mukus melindungi dinding usus daripada bahan kimia penghadaman dan organisma berbahaya.
  • Pertahanan selular. Jika penyerang membolosi benteng pertahanan awal ini, sistem imun mengeluarkan sel darah putih, bahan kimia lain dan protein untuk menentang dan membinasakan patogen. Penyerang dicari dan dihapuskan sebelum ia boleh membiak. Malah, jika ia sempat membiak, sistem imun bertindak balas dengan meningkatkan produktiviti untuk memusnahkannya.

B. Benteng pertahanan kedua: Imuniti spesifik (imuniti diperolehi)

  • Limfosit. Sejenis sel darah putih. Jenis utama sel T dan B akan kenalpasti dan memusnahkan molekul asing (antigen). Ini berlaku beberapa hari selepas pendedahan mikroorganisma asing.
  • Antibodi. Protein dihasilkan oleh sel jenis B memusnahkan mikroorganisma dengan mengikat pada antigen. Hanya sel T menyerang secara langsung.
  • Sel memori T dan B. Apabila mikroorganisma dimusnahkan, beberapa sel aktif T dan B menjadi sel memori. Jika pertemuan mikroorganisma yang sama berlaku, pertahanan benteng kedua akan bertindak lebih pantas.
Apa yang anda boleh lakukan untuk meningkatkan sistem imun anak anda
  1. Pemakanan yang baik diperlukan untuk membina sistem pertahanan yang kuat. Pastikan si manja mendapat pelbagai makanan yang seimbang. Untuk mendapatkan antioksidan yang secukupnya, galakkan anak anda makan buah-buahan dan sayuran aneka warna.
  2. Biarkan si manja mengamalkan gaya hidup aktif.Anda tidak boleh melindungi anak anda dengan mengurungnya di dalam rumah sepanjang hari. Si manja perlu aktif, kerana senaman meningkatkan tahap leukosit, iaitu sel sistem imun yang menentang jangkitan. Galakkan si manja bermain di luar rumah sekali sekala kerana cahaya matahari merupakan sumber Vitamin D.
  3. Pastikan anak anda cukup tidur dan rehat. Kekurangan tidur meningkatkan hormon stres, yang melemahkan sistem imun.
  4. Pupuk kesejahteraan emosi. Kanak-kanak yang riang selalunya lebih sihat. Jadi, pastikan si manja anda mendapat penjagaan yang baik dan limpahan kasih sayang. Kegembiraan menjamin kesihatan mental, yang secara tidak langsung meningkatkan keimunan. Kelucuan pasti mencuit hati anak-anak dan membuat mereka ketawa gembira. Berketawa baik untuk sistem imun si manja kerana ia mengurangkan hormon stres.
  5. Dapatkan pelalian untuk si manja menerusi vaksin, yang boleh diberikan melalui mulut atau suntikan, untuk membina benteng pertahanan menentang penyakit.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen