Pengasuhan Positif

Dapatkan Kuasa Menentang Penyakit Pneumokokal!

Kegemparan yang ditimbulkan oleh wabak influenza A (H1N1) pada 2009 semakin reda. Meskipun tiada kes besar-besaran dilaporkan dalam beberapa bulan kebelakangan, ini tidak bermakna influenza sudah berkubur dan kita bebas daripada ancamannya. Influenza bukan sekadar “flu” atau selesema biasa, sebaliknya ia adalah penyakit sistem pernafasan yang sangat serius. Ia bukan sahaja boleh mengakibatkan pesakit dimasukkan ke hospital, tetapi juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan betul.

Bolehkah influenza menyebabkan pneumonia?

Influenza melemahkan sistem imun kita, menyebabkan kita mudah dijangkiti penyakit lain yang boleh membawa kepada komplikasi serius. Pneumonia biasanya berpunca daripada Bacterium Streptococcus pneumoniae, yang kerap menyerang peparu seperti penyakit H1N1.

Pneumokokus (bakteria yang menyebabkan penyakit pneumokokal) juga boleh menyebabkan jangkitan telinga, meningitis dan juga jangkitan saluran darah. Penyakit ini serius dan amat membimbangkan. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Satu daripada 20 orang yang mendapat pneumonia mati akibat jangkitan, dua daripada 10 orang yang mendapat jangkitan saluran darah akan mati dan tiga daripada 10 orang yang dijangkiti meningitis akan mati. Risiko kematian disebabkan pneumonia atau influenza adalah lebih tinggi di kalangan orang yang menghidap sakit jantung, diabetes, atau mempunyai sistem imun yang lemah seperti pesakit AIDS, rawatan steroid atau gangguan imunodefisiensi kongenital.

Lebih banyak kes influenza, lebih lagi kes pneumonia

Influenza mudah berjangkit dan mudah merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain, terutamanya melalui titisan yang dikeluarkan oleh orang yang dijangkiti apabila dia batuk, bersin atau bercakap dan juga apabila seseorang itu menyentuh permukaan atau objek yang dicemari bakteria. Dengan peningkatan kes influenza di seluruh dunia, kes pneumonia dan penyakit pneumokokal turut meningkat. Jangkitan influenza membuka pintu masuk kepada virus dan bakteria berbahaya ke dalam badan anda.

Komplikasi daripada influenza

Risiko pesakit influenza, kemasukan ke hospital dan kematian akibat kes berkaitan influenza adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak kecil, orang tua – khususnya mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas, dan juga individu yang mengalami masalah kesihatan seperti menghidap asma atau penyakit peparu. Komplikasi yang boleh ditimbulkan oleh influenza termasuk jangkitan bahagian telinga tengah, masalah neurologi, radang jantung dan juga penyakit pulmonari seperti bronkitis. Pendek kata, kelemahan sistem imun boleh mengundang banyak penyakit, yang boleh membawa maut atau kesan buruk.

Kematian akibat jangkitan pernafasan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan pernafasan akut menyebabkan lebih 3.9 juta kematian dan adalah punca utama kematian di kalangan kanak-kanak bawah umur 5 tahun. Selain penyakit pneumokokal, influenza meningkatkan risiko penyakit pernafasan lain seperti jangkitan virus pada bahagian atas dan bawah sistem pernafasan, dan bronkitis, yang berpunca daripada virus respiratori sinsitium (RSV) dan virus parainfluenza (PIV).

Pencegahan bermula dengan ANDA

Semua kes jangkitan pneumokokus boleh dirawat secara berkesan dengan antibiotik seperti penisilin. Bagaimanapun, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bakteria telah menjadi semakin kebal kepada antibiotik hingga menyukarkan penyakit ini dirawat. Justeru itu, cara terbaik dan paling berkesan untuk menghindarkan penyakit pneumokokal ialah dengan mencegahnya terlebih dahulu, iaitu menerusi suntikan vaksin.

Walaupun semua orang memang boleh dijangkiti penyakit pneumokokal, tetapi risikonya lebih tinggi di kalangan kumpulan tertentu, malah sesetengahnya menjadi semakin teruk. Oleh itu, adalah penting bagi kumpulan individu berikut mendapatkan suntikan vaksin:

  • Orang dewasa berusia 65 tahun dan ke atas.
  • Kanak-kanak berusia 2 hingga 24 bulan, terutama mereka yang mengalami masalah perubatan yang kronik seperti menghidap penyakit diabetes, peparu (kecuali asma), jantung, buah pinggang atau hati.
  • Mereka yang menghidap kanser atau mendapat jangkitan HIV, yang melemahkan sistem imun.
  • Mereka yang mengalami kegagalan fungsi limfa atau menghidap penyakit sel sabit.

Terdapat dua jenis vaksin untuk menentang penyakit pneumokokal: vaksin polisakarida dan vaksin konjugat. Vaksin konjugat pneumokokal disyorkan untuk kanak-kanak berusia 2-24 bulan, kerana mereka termasuk dalam kumpulan berisiko paling tinggi dan vaksin polisakarida tidak berkesan untuk melindungi kumpulan ini. Vaksin polisakarida hanya berkesan untuk kumpulan lain yang dinyatakan di atas.

Timbangkan risikonya

Suntikan vaksin adalah cara paling utama untuk mencegah banyak penyakit, dengan demikian menghindarkan kesakitan, kehilangan upaya dan kematian. Sesetengah ibu bapa mungkin meraguinya kerana khuatir akan kesan sampingan yang boleh dialami. Namun demikian, suntikan vaksin adalah antara cara yang paling selamat, kerana manfaatnya adalah melebihi risiko. Kesan sampingan paling biasa didapati daripada suntikan vaksin ialah kemerahan atau bengkak di tempat yang disuntik. Kesan sampingan ini hanya sementara dan akan hilang tidak lama kemudian. Dalam kes yang sangat jarang terjadi, tindak balas alahan mungkin berlaku dan ini boleh dirawat dengan berkesan jika diberi perhatian segera.

Manfaat vaksin tidak boleh dilihat dengan sertamerta. Ia membantu melindungi diri anda dan orang di sekeliling anda. Sungguh pun bukan semua kanak-kanak mendapat kesan 100% daripada vaksin, suntikan ini memberi perlindungan 88% daripada bakteria pneumokokus yang menyebabkan pneumonia. Ia adalah benteng pertahanan paling baik untuk melindungi kita daripada penyakit yang boleh membunuh atau menyebabkan kehilangan upaya berjuta-juta kanak-kanak dan orang dewasa.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen