Pengasuhan Positif

Bahaya Penyakit Pneumokokus

Pada tahun 2005, satu kajian kuantitatif yang di jalankan di kalangan ibu-ibu di Pulau Pinang dan Lembah Klang membuktikan sebanyak 96 peratus responden tidak mengetahui tentang penyakit pneumokokus yang merbahaya (PnD) dan sebanyak 91 peratus ibu tidak menyedari tentang kewujudan bakteria pneumokokus.

Keadaan ini amat mencemaskan terutamanya apabila kuman ini dapat menyebabkan penyakit-penyakit yang berbahaya. PnD amat mudah berjangkit di kalangan kanak-kanak dan merebak melalui titisan-titisan yang disalurkan ke dalam udara melalui bersin atau batuk.

Apakah kemudaratan PnD?

Bakterium pneumokokus iaitu kuman yang menyebabkan PnD, boleh mengakibatkan penyakit-penyakit seperti berikut:

  • Meningitis: Jangkitan pada selaput otak atau saraf tunjang yang mungkin menyebabkan kehilangan deria pendengaran, kelumpuhan, kerosakan otak dan malah kematian. Kanak-kanak terlibat mungkin mengalami demam, sakit kepala, pening, muntah, cirit-birit dan ketegangan leher. Kini, salah satu punca utama meningitis di Malaysia adalah kuman pneumokokus.
  • Pneumonia: Jangkitan pneumokokus diparu-paru dengan tanda-tanda seperti batuk, kahak yang berlebihan, demam dan rasa seram sejuk. 1/3 daripada jangkitan sistem pernafasan akut (ARI) dan 2/3 daripada kematian akibat ARI adalah disebabkan oleh pneumokokus.
  • Bacteremia: Jangkitan yang berlaku apabila bakteria pneumokokus memasuki saluran darah. Tanda-tanda termasuklah demam, keresahan dan kadar pernafasan yang pantas. Setiap tahun, sebanyak 30 daripada 100,000 orang kanak-kanak yang berumur di bawah 5 tahun mengalami masalah bacteremia pneumokokus.
  • Otitis Media: Jangkitan telinga tengah mengakibatkan kesakitan di telinga dan gegendang telinga yang bengkak. Pada setiap tahun, 1/2 juta kes jangkitan telinga dilaporkan diMalaysia, yang mana 50% daripada jumlah ini disebabkan oleh pneumokokus.

Mencegah PnD

Kanak-kanak yang berisiko untuk mendapat PnD adalah kanak-kanak yang berumur di bawah 2 tahun, mempunyai sistem imun yang lemah dan mereka yang ditempatkan di pusat jagaan harian. Memastikan kebersihan yang baik sama ada di rumah mahu pun di pusat jagaan harian dapat mengelakkan penyebaran PnD. Jangan sesekali menghantar anak anda yang tidak sihat ke pusat jagaan harian ataupun ke sekolah. Namun begitu, cara terbaik untuk mencegah PnD adalah dengan mendapatkan suntikan imunisasi. Vaksin pneumokokus telah terbukti sangat berkesan dan selamat. Suntikan vaksin pneumokokus kepada anak anda, juga akan melindungi individu yang berdekatan dengan anak anda (seperti kanak-kanak lain dan orang tua yang riskio tinggi) sekaligus mengurangkan risiko PnD merebak didalam masyarakat.

Lindungi anak anda dan kanak-kanak lain dengan mendapatkan suntikan vaksinasi untuk pneumokokus. Untuk maklumat lebih lanjut mengenai PnD, rujuk pakar pediatrik anda atau hubungi “Mencegah PnD” di talian 1-800-882-339.

TAHUKAH ANDA?

  • Setiap tahun, seramai satu juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati disebabkan oleh PnD (WHO)
  • Setiap minit, PnD membunuh seorang kanak-kanak.(WHO)
  • Kementerian Kesihatan Malaysia menganggarkan bakteremia pneumokokus berlaku dalam 30 daripada 100,000 orang kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun, yang mana sekurang-kurangnya terdapat 750 kes dan 20 kematian setiap tahun* PP

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen