Pengasuhan Positif

Vaksin Pilihan Tidak Kurang Penting

Vaksinasi memainkan peranan penting dalam kesihatan dan perkembangan bayi dan kanak-kanak kecil di seluruh dunia. Meskipun badan si manja anda dapat mengeluarkan sel dan antibodi yang mampu menentang virus dan bakteria, tanpa bantuan vaksin, ia tidak dapat melindungi diri sendiri daripada jenis patogen tertentu. Antaranya termasuk hepatitis, batuk kokol, tetanus (kancing gigi), meningitis, dan juga campak dan cacar air.

Vaksin diperbuat daripada sejumlah kecil virus, bakteria atau sebahagian daripadanya yang telah dibunuh atau dilemahkan. Ia mencegah penyakit, kehilangan upaya, dan juga kematian dengan merangsang sistem imun si manja anda apabila ia dimasukkan ke dalam badannya.

Vaksin wajib

Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperkenalkan jadual immunisasi atau pelalian sejak tahun 1950-an, dengan mewajibkan vaksin tertentu untuk mencegah penyakit utama yang meyerang kanak-kanak. Vaksin wajib ini diberikan secara percuma oleh kerajaan, manakala vaksin pilihan pula boleh didapati di hospital dan klinik swasta di seluruh Malaysia.

Penyakit Vaksin Usia
Tuberkulosis atau batuk kering (TB) – jangkit dan membawa maut, boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru, radang selaput otak atau penyakit tulang. Vaksin BCG Semasa lahir Umur 7 tahun jika tiada parut BCG
Hepatitis B – jangkitan virus yang boleh menyebabkan jaundis dan kanser hati. Siri 3 suntikan vaksin Hepatitis B Semasa lahir; usia 1 & 5 bulan
Difteria – menyebabkan sekatan saluran udara dan boleh menyebabkan kerosakan jantung dan otak. Vaksin DTP Usia 2, 3 & 5 bulan; suntikan penggalak pertama pada usia 18 bulan; penggalak ke-2 pada usia 6-7 tahun
Pertusis (batuk kokol) – batuk teruk, berpanjangan yang boleh menyebabkan jangkitan paru-paru dan otak.
Tetanus (kancing gigi) – kekejangan otot teruk yang boleh membawa maut.
Poliomielitis (Polio) – kelemahan otot kekal; yang boleh menyebabkan lumpuh, terutama sekali kaki. Vaksin polio – diberi melalui mulut atau diambil bersama DTP
Campak – sangat mudah berjangkit, ditandakan oleh demam. Batuk, hidung berair dan ruam. Vaksin MMR Pada usia 12-15 bulan; 7 tahun
Beguk – sangat mudah berjangkit, menyebabkan bengkak kelenjar belakang rahang.
Rubela (campak Jerman) – boleh diturunkan daripada wanita hamil kepada bayi mereka.
Hemofilus influenzae B (Hib) – keradangan membran selaput otak dan saraf tunjang (meningitis), pneumonia, bronkitis, bakteremia, jangkitan telinga, dan epiglotitis. Vaksin Hib Pada usia 2, 3 & 5 bulan; diberikan dengan DTP

Apakah vaksin pilihan?

Jadual vaksin wajib yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan memastikan si manja anda dilindungi daripada penyakit tersebut di atas yang boleh membawa maut. Bagaimanapun, si manja anda juga boleh mendapat perlindungan daripada penyakit lain menerusi pelbagai vaksin pilihan, termasuk:

Vaksin pilihan Melindungi daripada… Disebabkan oleh Bilangan suntikan Bila untuk diberikan
Varisela Cacar air Virus Varisela 2 dos Selepas 1 tahun
Vaksin Pneumokokal Penyakit pneumokokal invasif Streptococcus pneumoniae 1-4 bergantung pada usia Selepas 2 bulan dan sehingga 9 tahun
Meningcoccal A, C, Y, W-135 Meningitis Neisseria meningitidis Setiap 3-5 tahun Selepas usia 2 tahun
Taun Taun Vibrio cholerae 2-3 dos melalui mulut Dari 2 tahun
Demam kepialu Demam kepialu Salmonella typhy Setiap 3 tahun 2 tahun ke atas
Hepatitis A Hepatitis A Hepatitis A virus Dua 2 tahun ke atas
Influenza Influenza Virus Influenza Setiap tahun 6 bulan ke atas
Rotavirus Gastroenteritis disebabkan rotavirus Rotavirus 2-3 dos Dari 6 minggu
Ensefalitis Jepun Ensefalitis Jepun Flavivirus yang dibawa oleh nyamuk culex 2-3 dos Selepas 18 bulan, 3 dos

Ramai ibu bapa tidak pasti sama ada vaksin pilihan ini perlu, memandangkan vaksin awal zaman kanak-kanak sudah diberikan. Bagaimanapun, vaksin pilihan sama penting dan telah dilaporkan selamat dan berkesan untuk mengelakkan penderitaan yang tidak perlu dan risiko komplikasi daripada penyakit yang nampak tidak mengancam nyawa. Sebagai contoh, pneumokokus boleh mengakibatkan meningitis, iaitu radang selaput otat dan saraf tunjang. Dalam kes teruk, meningitis boleh menyebabkan kerosakan otak atau kematian di kalangan bayi dan kanak-kanak bawah umur 2 tahun!

Dapatkan keterangan lanjut mengenai vaksinasi pilihan yang perlu dan penting ini daripada pakar pediatrik anak anda. Ingatlah, pencegahan adalah lebih baik daripada pengubatan. Nyawa si manja anda tidak ternilai harganya! Ambil langkah yang betul hari ini.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen