Pengasuhan Positif

Menjelaskan Keraguan Anda Terhadap Vaksinasi

Penyakit yang boleh dicegah seperti pneumonia, meningitis dan cirit-birit mengakibatkan dua pertiga kematian kanak-kanak di seluruh dunia pada tahun 2010. Semua kematian ini boleh dielakkan dengan vaksinasi, namun ramai ibu bapa masih mempunyai keraguan untuk anak-anak mereka menerima vaksinasi.

Kebimbangan mereka termasuk kemungkinan anak-anak mereka akan mengalami tindak balas yang kurang baik, kesan sampingan, ataupun jatuh sakit akibat vaksin tersebut. Terdapat banyak kontroversi mengenai vaksinasi dengan banyak tuduhan yang bukan-bukan untuk mengelirukan ibu bapa.

Bagaimanakah vaksin berfungsi

Badan anak anda menghasilkan sel-sel dan antibodi secara semula jadi untuk membantu melindunginya terhadap virus dan bakteria. Namun, mekanisme perlindungan ini boleh menjadi lemah. Vaksin mengandungi sejumlah kecil atau sebahagian daripada virus atau bakteria yang lemah atau mati; vaksinasi berfungsi dengan merangsang untuk melawan virus dan bakteria ini, lalu mengukuhkan imuniti dengan menyediakan sel-sel pertahanan untuk mengenali virus atau bakteria yang tertentu supaya mereka boleh melawan virus atau bakteria ini dengan lebih baik pada masa akan datang.

Manfaat vaksinasi

Vaksinasi telah terbukti dapat mengawal dan menghapuskan penyakit. Ia juga melindungi mereka yang bersentuhan dengan orang yang telah divaksin dengan mencegah penyebaran penyakit. Vaksinasi dapat mengelakkan trauma mental dan fizikal akibat sesuatu penyakit dan menahan komplikasinya.

Isu ini harus dipandang dan pastikan anak anda menerima vaksin yang termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) serta vaksin lain yang disyorkan pada umur yang sesuai.

Kisah-kisah kejayaan

Oleh sebab adanya vaksin, penyakit menular sebelum ini hampir dapat dibasmikan. Penyakit-penyakit termasuk:

Penyakit Cacar: Telah dibasmikan sepenuhnya di seluruh dunia pada 1979.
Polio: Pada tahun 1978, sebanyak 120 kes telah direkodkan, tetapi menjelang tahun 1992, angka tersebut jatuh kepada hanya 4 kes yang dibawa masuk dari negara-negara lain. Tiada kes polio berlaku sejak tahun 2010.
Difteria: Pada tahun 1976, sebanyak 250 kes telah direkodkan, tetapi menjelang tahun 2007, tiada kes difteria telah dilaporkan.
Pertusis: Jumlah kes jatuh lebih daripada 90% dari tahun 1975 hingga 2008. Namun, penyusutan dalam imuniti dan keperluan untuk vaksin pertusis bagi orang dewasa telah membawa kepada kemunculannya semula.

Salah tanggapan tentang vaksinasi dan vaksin

  1. Vaksin menyebabkan kesan sampingan, penyakit, kematian atau kesan sampingan jangka panjang

    Vaksin adalah selamat untuk digunakan. Sesetengah kanak-kanak mungkin mengalami sedikit kesan selepas divaksin, seperti sakit lengan atau demam ringan, tetapi kesan buruknya sangat jarang berlaku. Satu pengawasan berterusan yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat menunjukkan sedikit atau tiada bukti bahawa kematian yang dilaporkan kepada ‘Vaccine Adverse Event Reporting System’ (VAERS) adalah disebabkan oleh vaksin.*
  2. Memberikan anak anda pelbagai vaksin untuk penyakit yang berbeza serentak boleh membebankan sistem pertahanannya

    Vaksin gabungan tidak akan membebankan sistem pertahanan kanak-kanak. Kajian telah menunjukkan bahawa sistem pertahanan kanak-kanak dapat mengendalikan lebih banyak antigen daripada apa yang terkandung dalam vaksin gabungan. Ia penting memandangkan anak anda terdedah kepada bakteria dan virus setiap hari.
  3. Sesetengah penyakit sudah pun lenyap, jadi anak saya tidak perlu mendapatkan vaksinasi terhadapnya

    Sesetengah penyakit adalah jarang berlaku di negara kita disebabkan vaksinasi wajib yang berkesan. Namun, ahli keluarga atau rakan-rakan yang melancong ke negaranegara di mana penyakit ini masih wujud tanpa disedari mungkin membawa penyakit ini pulang.Vaksinasi untuk anak anda akan membantu mencegahnya daripada dijangkiti penyakit ini. Vaksinasi deman cacar telah dihentikan setelah penyakit cacar telah dihapuskan.

Kontroversi Vaksin: Adakah ini benar?

  • Vaksin MMR (campak, beguk, rubella) menyebabkan autism dan penyakit usus

    Hubung kait antara MMR dan autism adalah tidak berasas!

    Pada tahun 1998, penyelidik dari British, Dr Andrew Wakefield menerbitkan satu kertas kerja dalam jurnal perubatan The Lancet, yang mendakwa hubung kait antara vaksin MMR dengan autisme dan penyakit usus. Kertas kerja ini telah diragui oleh ramai pakar kerana ia adalah berdasarkan satu kajian siri kes yang kecil dan tidak mempunyai kumpulan kawalan yang mengaitkan tiga keadaan sepunya, dan hanya bergantung kepada daya ingatan dan kepercayaan ibu bapa. Brian Deer, seorang wartawan kemudiannya menunjukkan bukti bahawa Wakefield memalsukan sejarah perubatan pesakit untuk menyokong dakwaannya tentang penemuan suatu sindrom baru.

    Sejak itu, The Lancet telah menarik balik artikel tersebut, namun artikel ini telah menyebabkan wabak campak yang berlaku di UK yang menyebabkan banyak kematian.

  • Vaksin Polio menyebabkan lumpuh

    Laporan tentang vaksin polio menyebabkan kelumpuhan poliomielitis akibat vaksin (VAPP) telah berterusan selama bertahun-tahun, namun di sebalik gembar-gembur itu, ia sebenarnya sangat jarang berlaku. NIP Malaysia menukar dari ubat vaksin polio melalui mulut kepada suntikan vaksin polio (IPV – inactivated polio vaccine) yang tidak menyebabkan VAPP.
  • Vaksin Polio dan ketidaksuburan

    Dakwaan yang tidak berasas ini berasal dari negara-negara Afrika untuk mencegah penggunaan vaksin polio secara oral (OPV) dalam kalangan masyarakat Islam Afrika. Dakwaan ini telah membawa kesan negatif terhadap usaha untuk mengurangkan polio di negara-negara Afrika, Pakistan, dan Afghanistan – iaitu negara-negara yang masih tersebarnya polio.

Vaksinasi merupakan cara pencegahan primer yang bebas gangguan dan berkos rendah untuk kanak-kanak. Berbanding dengan risiko vaksinasi, komplikasi akibat penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin adalah lebih teruk. Lakukan sekarang jika anak-anak anda masih belum menerima pemvaksinan. Jangan abaikan suntikan penggalak kerana ia penting untuk melindungi anak anda dengan berkesan.

* Pengawasan berterusan CDC antara 1990 and 1992

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen