Pengasuhan Positif

Meningkatkan Keimunan anda terhadap Pertusis

Pertusis, atau lebih dikenali sebagai batuk kokol, adalah satu penyakit yang mengakibatkan batuk yang teruk dan hampir tidak terkawal. Imuniti yang semakin berkurangan dalam kalangan orang dewasa telah menyebabkan kemunculan semula penyakit tersebut di Amerika Syarikat di mana sebanyak 2,520 kes (37.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk) telah dilaporkan pada separuh pertama tahun 2012. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1,300% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2011 dan diakui secara rasminya sebagai wabak yang paling buruk yang berlaku di Amerika Syarikat sepanjang setengah abad. Di Malaysia, kita juga tidak terkecuali daripada menderita nasib yang sama. Satu-satunya perbezaan ialah kegagalan untuk mendiagnosis kebanyakan kes batuk yang berpanjangan di negara kita.

Suntikan penggalak adalah penting

Salah satu sebab utama merebaknya wabak pertusis di negara yang maju dalam teknologi perubatan seperti Amerika Syarikat adalah kerana imuniti yang semakin berkurangan. Kebanyakan kanak-kanak di Amerika Syarikat telah disuntik dengan lima dos vaksin Difteria-Tetanus-Pertusis aselular (DTaP) bermula pada usia dua bulan. Kesan perlindungan vaksin DTaP biasanya bertahan diantara empat dan 12 tahun. Ini bermaksud dalam keadaan yang paling teruk, kanak-kanak yang berumur lima tahun sudahpun berisiko terhadap pertusis jika imuniti mereka berkurangan.

Penemuan daripada tiga kajian yang berbeza di Amerika Syarikat tentang wabak pertusis (contohnya wabak pertussis, 2010. The Journal of Pediatrics 2012) semua menunjukkan kesimpulan yang sama; terdapat suatu tempoh (umur 7 – 12 dan 11 – 14) di mana berlakunya jurang dalam keimunan yang diberikan, tanpa mengira keberkesanan vaksin awal. ‘Jurang’ dalam perlindungan ini boleh dilitupi dengan memberikan vaksin Tdap (Tetanus dengan dos antigen difteria dan pertusis yang lebih rendah) kepada remaja dan orang dewasa. Amalan semasa di Malaysia ialah dengan memberikan dT (dua antigen yang terdiri daripada antigen difteria dan tetanus) pada umur persekolahan. Pertukaran kepada Tdap akan mencegah penyebaran bakteria pertusis, Bordetella Pertussis, di samping menyediakan suntikan penggalak untuk tetanus dan difteria.

Lindungi anak anda

Cara yang paling baik untuk melindungi terhadap batuk kokol ialah dengan memastikan anak anda divaksinkan, bukan sahaja dengan vaksin gabungan DTaP yang wajib, tetapi juga dengan suntikan penggalak Tdap apabila dia membesar nanti. Oleh sebab vaksin Tdap adalah tidak wajib, ibu bapa dan penjaga harus sentiasa diingatkan tentang kepentingan suntikan penggalak untuk kanak-kanak. Ia dapat mengelakkan komplikasi yang mungkin disebabkan oleh pertusis seperti pneumonia, sawan, apnea, ensefalopati (penyakit pada otak) dan kematian.

Langkah ini penting untuk melindungi kanak-kanak semasa tempoh jurang keimunan berlaku. Pada masa kini, pemberian vaksin Tdap kepada remaja dan orang dewasa yang bersentuhan dengan bayi yang masih muda untuk suntikan vaksinasi akan membantu dalam mengawal kitaran jangkitan penyakit.

Orang dewasa juga memerlukan suntikan Tdap

Selain kanak-kanak, ibu bapa dan semua orang dewasa atau remaja yang bersentuhan dengan kanak-kanak juga perlu divaksinkan terhadap pertusis. Ia membantu mencegah penyebaran pertusis kepada orang lain yang belum divaksinkan terhadapnya. Walaupun anda telah menerima vaksinasi penuh semasa kanak-kanak dan zaman persekolahan, anda masih memerlukan suntikan penggalak untuk mengukuhkan imuniti badan anda terhadap penyakit tersebut. Suntikan penggalak Tdap adalah disyorkan kepada sesiapa sahaja yang berumur 11 hingga 64 tahun.

Kemunculan semula wabak pertusis di Amerika Syarikat adalah satu peringatan tentang kepentingan untuk memaksimumkan perlindungan imunisasi anda. Epidemik pertusis di Amerika Syarikat pada tahun 2012 merupakan satu peringatan yang teguh tentang kepentingan suntikan penggalak dan mengapa ia harus diambil secara serius. Satu kajian pada baru-baru ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang tidak menerima vaksin DTaP adalah 23 kali lebih berisiko untuk mendapat batuk kokol daripada kanak-kanak yang menerima vaksin. Kita harus melakukan perkara yang sama di Malaysia kerana terdapat kes-kes pertusis yang dikesan dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mempunyai batuk berpanjangan yang tidak terkawal.

Langgani surat berita pengasuhan kami.

Komen